November 23, 2024

Hitam-Hitam Si Tampuk Manggis

 

Anis menikmati lirik lagu “hitamlah hitam si tampuk manggis” dengan seribu rasa berbaur nun di sudut hati.  Lirik lagu itu tidak mampu mengubat lara jiwa kerana  keluarga meminta Anis meninggalkan daerah hitam yang dianggap tidak selamat kepada dirinya. Parah jiwanya.  Petang itu Anis merenung sekumpulan semut yang kelihatan menghitam menghurung gula dalam balang gula yang lupa ditutup rapat sambil melurut rambutnya yang hitam ikal mayang berkontra dengan warna kulitnya yang putih.  Hitam rambut Anis memang menawan.

Semut Menghitam Menghurung Gula

Anis bercadang membancuh kopi hitam buatan tangan Mak Cik Kiah jiran sebelah yang memiliki mata hitam yang indah sebagai minuman pada petang yang indah itu.  Tiba-tiba “Pon poon…” hon motosikal Uncle Roti yang hitam birat kulitnya serta hitam berkilat kulit kepalanya memecah lamunan Anis.  Anis bergegas keluar untuk membeli kuih pau berinti pulut hitam yang warna intinya agak menarik ala hitam kerak dodolsebagai hidangan minum petang.  

Terpandang kulit kepala Uncle Roti tanpa rambut, Anis terkenang peribahasa rambut sama hitam hati lain-lain yang menurut Cikgu Ali guru Bahasa Melayu bermaksud manusia itu walaupun dari keturunan yang sama iaitu Adam Alaihissalam namun hati tetap tidak sama.  Anis senyum sendiri.  Macam mana nak tahu hati Uncle Roti kalau rambut pun tiada.  

“Adik manis, apa pasal senyum-senyum ini petang?”.  Eh, Uncle ni perasan pulak 
aku senyum, desis hati Anis.  

Rambut Sama Hitam, Hati Lain-Lain

Sesuai dengan kerjaya sebagai editor, Anis sering menyorot Kamus Dewan.  Entah kenapa beliau berasa ingin mendalami diksi  hitam malam itu.  Sorotan dalam Kamus Dewan mendapati kata  hitam itu ertinya suatu warna seperti arang.  Sebagai contoh dalam ayat berikut: Muka patung yang putih menjadi hitam seperti arang apabila diconteng dengan arang hitam untuk menimbulkan suasana seram.  Ayat ini membawa maksud warna kulit muka patung yang putih diconteng dengan arang hitam telah menimbulkan suasana kontra dan menyeramkan. 

Anis akur hidup memang penuh warna-warni.  Hitam putih kehidupan memang telah tertulis sejak azali.  Bergantung pada diri sendiri untuk berusaha membuang warna hitam yang mewarnai hidup bukan berserah sahaja.  Kita sebagai hamba-Nya perlu akur dengan takdir yang akan memperkaya pengalaman dan mematangkan diri.  Tentu kita tidak mahu terus dibayangi kanvas hitam kusam dalam melayari bahtera kehidupan.  

Hitam Putih Kehidupan

https://ubksmkjk.blogspot.com/2013/08/hitam-putih-kehidupan.html

Anis mengalih pandangan kepada gambar hitam putih di kaca televisyen yang menayangkan filem Allahyarham P.Ramlee.  Filem dengan gambar hitam putih itu mengimbau kenangan lalu sewaktu Anis kecil.   Pada waktu itu mereka akan ke rumah Mak Long untuk menonton televisyen hitam putih beramai-ramai.

Anis terkenang akan permintaan ibunya yang hampir berupa arahan meminta beliau meninggalkan daerah tersebut.  Tidak sampai  hati Anis untuk hitam dikatakan putih dan putih dikatakan hitam.  Itu berdusta namanya.  Anis tidak mahu jadi hitam seperti gagak walaupun  tiada yang mencelupnya demi mengikut hati dan memenuhi kemahuan sendiri.  

Bukan rahsia lagi, kisah tunang Anis bermain kayu tiga telah tersebar.  Pada fikiran Anis sepatutnya orang dalam percintaan tidak mudah dipisahkan ibarat hitam mata itu takkan boleh bercerai dengan putihnya.  Bagi Anis, biarlah kisah hitam ini menjadi rahsia hidupnya.  Anis tidak ingin membesar-besarkannya lagi kerana hal tersebut boleh menghitamkan nama baik keluarga tunangnya.  Namun begitu, siapalah Anis untuk menutup mulut tempayan.  Hal tersebut tersebar dengan cepat. 

Mengimbau waktu persekolahan lalu, Anis pernah mendengar kalimat ini daripada almarhumah Cikgu Zaidah.  Kata Cikgu Zaidah jangan disangka sesuatu yang buruk itu selamanya kurang harganya malahan yang cantik itu adakalanya kurang berharga bak kata pepatah hitam-hitam kereta api, putih-putih kapur sirih.  Anis terus berfikir.  Apakah perlu dilulur air matanya dan membiarkah daerah yang dikasihi ini dihitamkanbuat selama-lamanya tanpa memikirkan untuk kekal malahan pergi dan tidak kembali ke sini lagi.  

Seikhlas Manggis

Anis yakin dia telah cuba menjadi seikhlas manggis dalam melayari alam pertunangannya.  Ibarat manggis yang walaupun hitam warnanya tetapi tidak pernah menipu akan isi kandungannya. Dalam ralit memuhasabah diri, menimbang arahan ibu dan kehendak hati, Anis bingung lalu terlena.

DR. NAZA SANI AGUS

JOHOR BHARU