Istilah sabar sinonim dengan musibah dan ujian yang menimpa seseorang. Tiada penawar yang lebih mujarab kala ditimpa musibah kecuali sabar. Orang yang sabar, menerima berita gembira secara langsung daripada Allah SWT yang menjanjikan ganjaran serta anugerah yang amat bernilai.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, serta (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.
Allah SWT menyatakan bahawa orang yang sabar akan dikurniakan dengan ganjaran tanpa hisab.
Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah maksud ganjaran tanpa hisab itu?
Menurut kaedah umum, setiap satu kebaikan diberikan pahala 10 kali ganda sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).
Dalam bab menginfakkan harta pada jalan Allah, ganjarannya adalah 700 kali ganda sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
Jadi, setiap amalan itu ada kiraan pahalanya 10 kali ganda, 700 kali ganda dan sebagainya kecuali sabar. Ganjaran sabar tidak terkira dan tidak ada had.
Ada satu kisah menarik yang menginspirasikan mengenai kelebihan sabar yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Kisah ini diceritakan dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah r.a yang berkata: “Ibnu ‘Abbas r.a berkata kepadaku, ‘Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita daripada kalangan penghuni syurga?’”
Aku menjawab: “Ya, sudah tentu.”
Beliau berkata: “Wanita berkulit ini pernah datang menemui Nabi lalu berkata, ‘Sesungguhnya aku ditimpa penyakit sawan, dan ketika aku diserang penyakit itu auratku kadang-kadang terbuka. Maka doakanlah aku kepada Allah.”
Baginda SAW bersabda: “Jika engkau mahu, bersabarlah dan bagimu syurga, Dan jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.”
Wanita itu berkata: “Aku memilih untuk bersabar.” Kemudian, dia berkata lagi: “Tetapi sesungguhnya akan tersingkap auratku ketika diserang penyalit itu. Maka doakanlah kepada Allah agar tidak tersingkap auratku.”
Lalu Nabi SAW mendoakannya.”
Bayangkan, wanita itu datang bertemu Rasulullah SAW meminta Baginda mendoakannya, mungkin setelah berikhtiar dengan pelbagai cara untuk menyembuhkan penyakitnya. Siapa yang tidak mahu sembuh daripada sakit? Apatah lagi sakit yang sering menyerang tanpa dapat dikawal sehingga terbuka aurat yang kadang-kadang berlaku di hadapan khalayak?
Rasulullah SAW memahami hal ini. Lantaran itu, Baginda tidak menasihati wanita itu supaya bersabar dan memberi jaminan masuk syurga. Sebaliknya, Baginda memberi tawaran kepadanya untuk memilih menanggung kesakitan itu sepanjang hayatnya yang tidak diketahui selama mana? Mungkin 40, 50 atau 60 tahun? Namun, wanita itu tidak teragak-agak untuk memilih syurga meskipun terpaksa menanggung sakit sepanjang hayatnya.
Apakah wanita itu tidak berpeluang mendapat syurga jika dia memilih untuk sihat? Pastinya ada. Banyak amalan yang boleh dilakukan bagi meraih syurga jika badan sihat. Namun dengan bersabar menanggung satu penyakit ini, dia dijamin syurga, telah diberi kunci untuk masuk ke syurga. Maka, wajarkah dia menolaknya?
Pengajaran buat kita: Jangan berputus asa dan berdukacita jika ditimpa musibah. Ambil iktibar daripada kisah wanita berkulit hitam dalam hadis tersebut. Kisah ini memberi iktibar supaya kita harus berubat dan berdoa untuk sembuh. Namun jika sakit berterusan, bersabarlah. Mungkin itu satu laluan yang Allah SWT buka buat kita menuju ke syurga-Nya.
Nukilan:
Maznah Daud
Shah Alam
2 Muharram 1448/18 Jun 2026

More Stories
Wanita Tonggak Ummah: Menyinari dunia dengan Iman dan Inspirasi
Perkasanya Wanita
Kuasa Wanita