November 25, 2026

Kenyataan Media PENAWAN

Kenyataan Media

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN)

Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita pada 25 November 2026

Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kes Keganasan Rumah Tangga di Malaysia semakin meningkat saban tahun. Daripada angka 7,116 kes pada 2024, meningkat kepada 7,391 kes pada tahun 2025. Dan setakat September 2026, 5,862 kes telah dilaporkan untuk tahun 2026.

Setiap individu baik lelaki mahupun perempuan berhak berasa selamat berada di mana-mana sahaja terutamanya di ruang rumah sendiri. Namun tidak semua mangsa ada daya upaya atau sumber kekuatan untuk meluahkan atau menyampaikan cerita sedih dan sadis yang berlaku dalam rumah tangga mereka kepada pihak ketiga. Maka, menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat untuk cakna dan ambil tahu, bertindak dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya keganasan dalam rumah tangga di sekeliling mereka.

PENAWAN ingin seluruh masyarakat sedar bahawa:

Isu keganasan rumah tangga bukan isu dalam kelambu yang harus ditutup oleh mangsa atau orang sekeliling mangsa.

Isu keganasan rumah tangga bukan hanya boleh dikesan melalui bukti-bukti fizikal seperti luka dan kecederaan sahaja. Isu keganasan rumah tangga boleh merangkumi gangguan secara emosi dan mental.

Isu keganasan rumah tangga bukan boleh mendatangkan keburukan kepada pemangsa dan mangsa saja, malah kepada individu lain yang berada berdekatan seperti kanak-kanak, remaja dan malah orang dewasa yang lain.

Selain mangsa sendiri, ahli keluarga terdekat, jiran-jiran, rakan-rakan dan kenalan yang mengenali dan menyedari akan berlakunya kes tersebut harus memainkan peranan mereka sebagai ahli masyarakat untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

PENAWAN sekali lagi ingin menyeru seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam menangani isu keganasan rumah tangga, demi masa hadapan anak-anak kita yang lebih selamat dan terpelihara.

Ayuh sertai PENAWAN sebagai Rakan Strategik untuk hadir ke Seminar Intervensi Keganasan Rumah Tangga 2.0 anjuran Wanita IKRAM Selangor seperti ketetapan berikut:

SEMINAR INTERVENSI KEGANASAN RUMAH TANGGA 2.0

📅 5 Disember 2026 (Sabtu)

🕣 8.30 pagi – 1.00 tengah hari

📍 Elissa Garden Hall, Terminal Bersepadu Gombak

🎟️ Yuran penyertaan: RM10

🔗 Pendaftaran: https://bit.ly/SIKRT2026

Semoga dengan kehadiran anda semua, dapat menambahkan lagi kesedaran dan memberi maklumat penting dalam menangani isu keganasan rumah tangga dalam masyarakat kita.

Nur Atiqah Yahya

Pengerusi PENAWAN