July 20, 2026

Penjagaan Orang Tua: Tanggungjawab Atau Pilihan?

Apabila usia ibu bapa semakin lanjut, keperluan menjaga mereka turut meningkat sama ada suka atau terpaksa. Tanggungjawab ke atas ibu bapa bukan hanya muncul apabila mereka sudah berusia, tetapi lebih utama apabila mereka diuji dengan penyakit atau kemalangan yang menyebabkan mereka memerlukan bantuan, sokongan dan penjagaan rapi berterusan. Di sinilah terserlah tanggungjawab, kasih sayang dan pengorbanan seorang anak.

Dalam banyak keadaan, anak-anak tiada pilihan kerana merekalah yang sepatutnya tampil memikul amanah menjaga ibu bapa, dua insan yang banyak berkorban dalam membesarkan mereka. Islam sendiri menekankan penjagaan dan penghormatan kepada ibu bapa, terutama ketika usia tua.

Maksud:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai berumur tua dalam jagaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar (seperti ‘ah’), dan janganlah kamu menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

(Al-Isra’ 17: 23-24)

Dalam kebanyakan keluarga, wanita sering menjadi individu utama yang memikul tanggungjawab ini, sama ada sebagai anak perempuan, isteri atau menantu. Ibu bapa juga lebih mengharapkan bantuan dan sokongan daripada anak perempuan. Tidak dinafikan bahawa ada anak lelaki yang melakukan tanggungjawab tersebut dengan sangat baik.

Mengapa wanita menjadi penjaga utama? Seolah-olah peranan tradisional dalam keluarga. Mungkin sebab sifat keibuan, empati yang tinggi dan banyak terlibat dalam urusan harian keluarga. Maka apabila ibu bapa memerlukan penjagaan, peranan ini secara semula jadi diserahkan kepada wanita.

Kadang-kadang, dalam usia 80 tahun atau 90 tahun, ibu bapa masih boleh bangun dan berjalan, atau mampu mengurus diri sendiri dengan baik tanpa bantuan penjagan yang rapi. Kita sebagai anak hanya perlu memantau keadaan diri dan kesihatan mereka. Mungkin perlu menyiapkan makan pakai sahaja. Keadaan ini tidaklah begitu membebankan.

Saat teruji mental dan fizikal serta emosi apabila ibu bapa sudah tidak boleh mengurus diri mereka sendiri disebabkan oleh penyakit kronik seperti strok, Parkinson, kemalangan atau keuzuran yang perlu penjagaan rapi. Semua urusan harian mereka perlu dibantu.

Lebih mencabar jika wanita yakni penjaga utama itu sendiri adalah warga emas. Fizikalnya tidak lagi mampu untuk mengangkat tubuh ibu atau bapa. Jika ibu atau bapa berusia 90 ke atas, biasanya anak-anak juga telah mencapai umur 60 ke atas. Bayangkan kemampuan mereka yang tidak berapa kuat mengurus ibu bapa seorang diri. Begitu juga jika wanita itu adalah seorang isteri, sama ada berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.

Keadaan ini memerlukan penyesuaian gaya hidup dengan segera, serta menggunakan masa dan sumber yang ada bagi mengutamakan penjagaan ibu bapa mereka. Di samping memenuhi keperluan harian dan tanggungjawab sedia ada, wanita sering mendapati dirinya memikul beban tambahan sebagai penjaga. Ramai yang bergelut dalam mengimbangi semua tuntutan, sehingga akhirnya keletihan, stres, bahkan kemurungan.

Ada yang membuat keputusan besar seperti berhenti kerja, semata-mata demi memberikan penjagaan sepenuhnya. Tidak kurang juga yang terpaksa membuat pilihan dengan linangan air mata, menghantar ibu atau bapa ke rumah penjagaan orang-orang tua atau pusat rehabilisasi. Atas sebab-sebab tertentu, mereka tidak mampu menjaga ibu atau bapa yang memerlukan penjagaan rapi. Ini kerana merasakan tiada pilihan lain yang boleh diandalkan.

Perjalanan ini adalah perjalanan yang penuh cabaran dan tekanan. Sokongan daripada semua adik-beradik, suami dan anak-anak sangat diperlukan. Begitu juga majikan bagi wanita yang bekerja.

Apakah wanita perlu menanggung amanah ini sendirian? Tidak!

Mintalah bantuan daripada ahli keluarga terdekat, pakar yang berpengalaman atau kenalan terdekat yang mampu meringankan beban yang ditanggung. Tanggungjawab ini memerlukan kesabaran tinggi, pengurusan masa yang cekap, dan sokongan fizikal serta emosi. Bantuan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga sokongan moral, ketenangan, panduan dan ruang.

Wanita perlu berani memohon pertolongan daripada suami, anak-anak dan adik-beradik. Menjaga ibu bapa bukan tanggungjawab seorang diri. Memang kita sering mendengar pepatah “Ibu boleh jaga sepuluh anak tapi sepuluh anak belum tentu boleh jaga seorang ibu.”

Menjaga warga emas yang tidak boleh mengurus diri dan diuji pula dengan penyakit kronik seperti strok, demensia, diabetis, Parkinson dan lain-lain, bukanlah mudah. Kalau warga emas itu ibu bapa suami, maka suamilah yang sepatutnya bersuara dalam meminta bantuan. Begitu juga sebaliknya.

Wanita yang menjadi penjaga utama bukan superwoman. Bukan mahu melarikan diri daripada tanggungjawab, tetapi tubuh dan minda mereka juga memerlukan rehat. Kesihatan diri dan kebahagiaan keluarga sendiri perlu diutamakan juga. Keluarga terdekat perlu membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh penjaga wanita. Tidak boleh lepas tangan. Tolong tanpa perlu bertanya atau minta izin.

Kadang-kadang, ibu bapa tidak mahu berpindah ke tempat lain. Namun, masih ada cara untuk membantu penjaga wanita. Sebagai contoh, adik-beradik boleh datang mengurus dan menjaga ibu bapa sementara penjaga wanita boleh berehat atau keluar bercuti bersama keluarga sendiri. Kesefahaman dan kerjasama yang baik antara adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak amat penting dalam urusan penjagaan ibu bapa.

Apabila tanggungjawab dipikul bersama, ia bukan sahaja dapat meringankan beban dan menggembirakan hati penjaga utama (wanita), malah kebajikan, keselesaan dan keperluan ibu bapa sentiasa terpelihara. Penjaga utama mampu mengurus pelbagai amanah dengan lebih baik demi kesejahteraan semua pihak. Ini adalah kunci dalam memastikan penjaga utama rasa dihargai dan tidak terbeban. Hubungan kekeluargaan juga akan lebih erat.

Tidak ada balasan bagi kebaikan melainkan kebaikan (juga).

(Ar-Rahman 55:60)

Setiap ahli keluarga baik lelaki mahupun wanita, perlu mengambil kira masa anjal di tempat kerja, serta peningkatan sistem sokongan formal dan informal bagi membantu wanita yang menjadi penjaga utama. Tambahan pula jika wanita itu perlu berkerja demi menyara keluarga sendiri. Semua sama-sama mengharungi dilema dan cabaran dalam penjagaan ibu bapa.

Menjaga ibu bapa yang sudah berusia adalah satu pengorbanan yang mendatangkan kepuasan jiwa. Apabila mereka meninggal dunia, hadir rasa syukur kerana kita diberi peluang untuk berbakti dan menyantuni mereka pada saat mereka paling memerlukan. Berbaktilah kepada mereka selagi masih ada peluang. Kasih sayang, pengorbanan dan khidmat yang dicurahkan hari ini akan menjadi kenangan yang paling berharga apabila mereka tiada lagi.

Norlaily Aminudin

Bangi, Selangor