

Anis menikmati lirik lagu “hitamlah hitam si tampuk manggis” dengan seribu rasa berbaur nun di sudut hati. Lirik lagu itu tidak mampu mengubat lara jiwa kerana keluarga meminta Anis meninggalkan daerah hitam yang dianggap tidak selamat kepada dirinya. Parah jiwanya. Petang itu Anis merenung sekumpulan semut yang kelihatan menghitam menghurung gula dalam balang gula yang lupa ditutup rapat sambil melurut rambutnya yang hitam ikal mayang berkontra dengan warna kulitnya yang putih. Hitam rambut Anis memang menawan.