Sat. Apr 27th, 2024

Tahniah Ahli PenaWan!!

Pada pagi Ahad 10 Mac 2024, bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam (atau dikenali sebagai Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor – PPAS) telah berlangsung suatu majlis yang amat bermakna untuk Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PenaWan).

Dr Umi Kalthum Ngah (Pembimbing dan Fasilitator PenaWan) dan Nur Atiqah Yahya (mantan Setiausaha PenaWan) telah hadir ke Majlis Penyampaian Buku Terpilih oleh Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja atau Malaysian Board on Books for the Young (MBBY) – Malaysian Chapter of International Board on Books For the Young (IBBY).

Senarai buku dipilih berdasarkan 3 kategori:-

1. Ilustrasi

2. Penulisan

3. Penterjemahan

Daripada penerangan pada sesi tersebut oleh Ketua Juri (Prof. Dr. Sidin bin Ahmad Ishak yang mengepalai 7 orang juri lagi), 126 buku diterima oleh MBBY. 52 disenarai pendekkan, dinilai dan dibuat pemilihan berdasarkan kriteria yang digariskan oleh IBBY.

Akhirnya 14 tajuk berada dalam senarai buku terpilih MBBY 2023 dan dimuatkan dalam katalog MBBY 2024.

Setiap satu kategori pula satu tajuk terpilih bagi dicalonkan ke dalam senarai IBBY Honour List.

Buku hasil terjemahan Nur Atiqah Yahya (atau nama penanya, Atiqyahya) pula bertajuk Suzume, berjaya meraih kategori Terjemahan buku ke IBBY Honour List.

Buku ‘Kembara At-Teeni’ (Dr Umi ), terbitan Al Amin Edu Oasis pula telah terpilih antara 14 tajuk itu dalam kategori Penulisan.

Buku ini ditulis dengan bantuan geran MyCreative Ventures, PENJANA, MCMC, Malaysia tahun 2020/2021. Terbit tahun 2022. Buku ditulis menggunakan teknik adaptasi daripada karya asal ’35 Batu Nautika’ sehingga menjadi satu karya asli (ori).

Turut mendapat pengiktirafan sijil kepujian MBBY ialah Buku Bergambar ‘Usah Cepat Mengalah Pit!’ yang diterbit sendiri (Swaterbit) dibawah bimbingan Swaterbit Kids Books – SKB (Cik Mimi Salleh) yang mendapat Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia 2023.

Sebagai tambahan buku-buku Kabur, Kunci, Kontra, Cekal dan Rencah oleh seangkatan ahli-ahli PenaWan juga mendapat sijil kepujian Penerbit, termasuk dalam kategori Penulisan, 50 karya terpilih MBBY.

Tahniah kepada penerima anugerah dan kepujian.

Untuk maklumat selanjutnya, jemput ke https://mbby.org/mbby-news-press-statement/