December 7, 2024

Aku wanita aku kaum hawa

Yang memang rapuh hatinya

Aku wanita aku punya cinta

Selayaknya manusia

Sebahagian Lirik Lagu “Wanita” Nyanyian Siti Nurhaliza

https://lirik.kapanlagi.com/artis/siti-nurhaliza/wanita/

PENGENALAN

SEBAHAGIAN lirik lagu berjudul “Wanita” tersebut merupakan wacana memahami maksud diksi wanita.  Daripada lirik tersebut difahami bahawa wanita itu kaum hawa yang memiliki kerapuhan hati.  Namun di sebalik kerapuhan itu ada ketegasan sebagai manusia bak kata pepatah batu hitam tidak bersanding kerana wanita itu memiliki rasa cinta yang tinggi.

Prof Dr. Muhaya

Sebagai contoh, Dr. Muhaya merupakan Wanita Islam pertama Malaysia mendapat pengiktirafan ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) di Edinburgh kerana kecintaan yang tinggi terhadap ilmu.  Pemilik rasa cinta yang tinggi, siapakah sebenarnya wanita itu?  Kamus Dewan mendefinisikan wanita itu sebagai perempuan iaitu lawan kepada lelaki, kaum ibu peneman kaum bapa dan kaum puteri yang bangkit menyaingi kaum putera.

Dr Wan Wardatul Amani 

http://irep.iium.edu.my/profile/2165

Dr Wan Wardatul contoh wanita yang bangkit menyaingi kaum lelaki hingga menjadi wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Ketua Projek NASA. Selaras dengan makna diksi bangkit iaitu sedar, bergerak mencapai kemajuan, wanita perlu bangkit mendepani iaitu berada di barisan hadapan dan berusaha agar tidak ketinggalan.   Justeru sering mendahului sebagai menyahut tuntutan wanita Muslimah seperti bait pantun berikut.

Berbuah ramah pohon kuini,

  Pohon dokong harum aroma;

               Wanita Muslimah bangkit mendepani,                    

              Dasar didukung perjuangan diutama.

DASAR

Wanita perlu bangkit memecahkan ruyung mendepani cabaran bertitik tolak atas landasan Dasar Wanita Negara.  Dasar tersebut fokus akan isu, peluang, cabaran masa kini dan masa hadapan. Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini membantu wanita menikmati pembangunan negara yang seimbang dan lestari.  Dengan objektif melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni, dasar ini memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan perlaksanaan pembangunan wanita agar wanita sentiasa berpijak di bumi nyata.

Dasar Wanita Negara

https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/DASAR%20WANITA%20NEGARA.pdf

Dasar Wanita Negara ini mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing (Beijing Platform for Action), Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration).

Dasar ini berbantu Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi mencapai matlamat Dasar Wanita Negara. Menerusi strategi yang meliputi 13 sektor iaitu ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap wanita, kesihatan, pendidikan dan latihan, sains dan teknologi, pembuat keputusan, mekanisme, jentera dan institut pembangunan wanita, media, alam sekitar, sukan, dan kebudayaan, moga dasar ini berjaya mencapai matlamat.

https://www.jpw.gov.my/ms/mengenai-jpw/dasar-polisi/dasar-wanita-negara-dan-pelan-tindakan-pembangunan-wanita

WANITA MUSLIMAH

Setiap wanita yang bangkit mendepani itu perlu memiliki peribadi wanita muslimah.  Mengapa?  Wanita muslimah ialah wanita yang beragama Islam, akur segala perintah Allah SWT.  Sejak kedatangan agama Islam, kedudukan dan darjat wanita telah diangkat dan dimuliakan berbanding ketika zaman jahiliyah.  Hal ini mendapat sokongan global apabila ada hari meraikan Wanita Sedunia.

Poster Sambutan Hari Wanita Sedunia

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-wanita-sedunia-satu-penghargaan-kepada-wanita-350524

Pujangga menukilkan wanita muslimah adalah perhiasan dunia dan lebih mulia daripada bidadari di syurga. Rasulullah SAW bersabda bahawa perhiasan utama di dunia ialah wanita. 

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah”.  Hadis Riwayat Muslim. 

Menjadi wanita muslimah yang sentiasa bangkit mendepani ialah cita-cita setiap wanita.  Wanita muslimah ingin dikasihi Allah SWT dan orang-orang di sekitarnya.  Mari kita telusuri apakah yang perlu didepani oleh wanita menerusi bait syair berikut

Wanita Muslimah insan pilihan,

           Memperkasa peradaban itu kewajipan,

              Cabaran ekonomi sosial dan kerohanian,

       Gigih berjuang berlandas ketakwaan.

APAKAH YANG PERLU DIDEPANI WANITA? 

Banyak cabaran wanita dalam mendepani abad ke-21 ini.  Antaranya ialah:

  1. Cabaran Memperkasa Adab dan Peradaban
http://hanputra.blogspot.com/2012/09/adab-dan-peradaban-karya-pengitirafan_2569.html

Percayakah anda dari rahim wanita muslimah itulah lahir sebuah adab dan peradaban? Peradaban ialah keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani masyarakat.   Sebagai wanita muslimah, Allah SWT telah menciptakan mereka seindahnya daripada segi fizikal, hati, adab, pemikiran dan kebolehan melahirkan.  Maka bersulam keindahan minda, wanita muslimah mendepani pelbagai tanggungjawab dalam memperkasa kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa dan masyarakat.  Antaranya ialah:

  1. Memastikan rahimnya berkualiti agar generasi yang dilahirkan juga berkualiti sekaligus memperkasa peradaban. 
  2. Melestarikan keturunan atau pewaris sebagai agenda utama.  Oleh itu wanita perlu memahami peranan dan fitrah masing-masing.  Wanita perlu kembali kepada tujuan penciptaan manusia agar lestari keturunan.  Wanita memiliki kekuatan mempesona.  Mereka adalah wanita hebat penuh inspirasi seperti Khadijah binti Khuwailid, Fatimah Az-Zahra, Maryam binti Imran, dan Asyiah binti isteri Fir’aun serta Aisyah binti Abu Bakar.
  3. Kekal dalam landasan ketakwaan, pantang terpengaruh dan terjerat dengan gaya hidup yang membinasakan.
  4. Membangun generasi yang mentauhidkan Allah swt melalui pembangunan sebuah keluarga sakinah berlandaskan nilai-nilai Islam. Sebagai wanita, seharusnya kita menyambut misi ini dengan menjadi ibu yang berilmu.  Ibarat kita menyemai anak pokok, kita perlu ada ilmu asas pertanian.  Kita perlu pastikan semaian dibuat di tanah yang baik demi hasil yang baik kelak.  Wanita yang berilmu sahaja yang dapat menyemai generasi pewaris terbaik.  Wanita berilmu yang akan mencetak generasi emas, penerus agama dan bangsa, generasi yang akan menjadi pemimpin di masa depan.   
  5. Ikon yang dapat menginspirasikan ramai umat menuju kebaikan.  Sebagai ikon, wanita perlu dilindungi.  Namun begitu realiti adalah sebaliknya.  Banyak orang cuba memaksa dan menyusahkan ikon wanita muslimah.  Hal ini bertentangan dengan Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 19: “Wahai orang-orang beriman. Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka…..”
  6. Mendepani fitnah. Wanita muslimah mudah sekali difitnah.  Fitnah paling besar yang didepani wanita muslimah ialah tuduhan untuk menjatuhkan maruah mereka.  Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 23: “Sungguh, orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan baik, beriman dengan tuduhan berzina, mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan mereka akan mendapat azab yang besar”.  Oleh itu mari kita lihat peranan wanita menghadapi cabaran fitnah dalam bersosial.
  1. Cabaran Sosial

Sosial sinonim dengan masyarakat pelbagai etnik, agama, budaya dan kemasyarakatan.  Wanita perlu bangkit bersama tangan yang walaupun lembut menghayun buaian tetapi  gagah berani mendepani cabaran sosial yang diciptakan oleh masyarakat.  Kunci perubahan sosial adalah perubahan dalam cara wanita memandang dunianya sendiri.  Sebagai contoh bagaimana wanita berdepan banyak masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, kelunturan kesantunan, dadah, hiv, seks bebas dan banyak lagi.

Dalam keadaan sosial dunia amnya dan negara khasnya yang sedang sakit, wanitalah yang paling awal perlu menghulur tenaga untuk merawat penyakit global itu.  Wanita perlu mencontohi peribadi Nusaybah binti Ka’ab yang merupakan penganut Islam terawal,  memiliki sifat terpuji dan bangkit mendepani membantu Rasulullah berdakwah di sekitar Madinah.

Mungkin kita tidak sehebat Nusaybah.  Namun begitu, sejarah menyaksikan kita semua memasuki gerbang dunia melalui insan bergelar wanita. Kita menghuni rahim ibu sembilan bulan lamanya yang membolehkan kehidupan tercipta.  Sungguh sebuah keajaiban telah terjadi.

  1. Cabaran Ekonomi

Sorotan lalu menunjukkan kejayaan wanita Mah Meri dalam ekonomi menerusi aktiviti keusahawanan melonjakkan pembangunan diri mereka. Kejayaan mereka merupakan penanda aras wanita semua kaum dalam memastikan komuniti Orang Asli diangkat sebagai komuniti yang berdaya maju di Malaysia. (Mohamad Anis, et.al, 2018)

Wanita  merupakan  sebahagian  besar  daripada  populasi  masyarakat  Malaysia.  Menurut  sumber Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2022 anggaran penduduk wanita Malaysia ialah 16,197,100 (49.47%). 

Penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dilihat sebagai sesuatu muamalah yang positif terhadap perkembangan ekonomi negara.  Statistik  Persatuan  Pedagang  dan  Pengusaha  Melayu  Malaysia (PERDASAMA) pada tahun 2022 menunjukkan 80% usahawan berdaftar adalah golongan wanita. 

Sorotan lalu menunjukkan sumbangan  besar kaum  wanita  kepada  ekonomi negara sememangnya telah  lama diiktiraf. Wanita  merupakan tunggak  utama  dalam membentuk  ekonomi generasi  Malaysia  di  masa  hadapan. 

Laporan  turut menunjukkan  statistik  tenaga  buruh  wanita  di Malaysia  telah  meningkat  kira-kira  7,760,000 berbanding  7,720,000  pada  tahun  2022  daripada jumlah  keseluruhan  penduduk  wanita  di  Malaysia.  Maka teruskanlah perjuangan anda wahai wanita seperti pesanan gurindam ini.

Kalau hari ini wanita mengalah,

Ekonomi masa depan tidak bermaruah.

Ingat pesan para ulama’,

Dalam muamalah teluskan irama

PENUTUP

Akhirnya saya tegaskan cabaran yang wanita hadapi itu menguji ketahanan jiwa, fizikal dan mental mereka.  Wahai wanita, pantangkan berserah dan putus asa.  Wanita mesti berani berpencak di gelanggang dugaan, percaya diri dan sentiasa menghulur tangan, memelihara mulut agar maruah bangsa seharum kasturi.  Dengarkan madah ini tentang wanita.

Wanita berani bermadah kerana dunia mendengarnya.

Wanita berani melangkah kerana semangat Nusaybah membugar rohnya

Dan hari ini wanita  berani berdakwah sehingga orang lain mencemburui wanita muslimah setelah Islam angkat martabatnya yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

SUSUNAN

DR NAZA SANI AGUS

BANGI