Fri. Apr 26th, 2024

SEMEKAR HARAPAN

Difficult.” Spontan perkataan itu keluar dari mulut Doktor Ahmad Khan Pakar Neurosurgeon KPJ.

“Kenapa Doktor?” tanya kami serentak.

“Ini confirm minigioma, ia biasa berlaku tapi bagi kes puan, agak sukar. Kedudukan tumour ini berhampiran dengan beberapa saraf,” kata Doktor Ahmad Khan tanpa berselindung.

“Doktor, bagaimana dengan pembedahan biasa maksud saya, buka skull?” tanya suami mahukan kepastian.

“Ok, saya suka berterus terang, kalau buka skull pun belum tentu boleh buang semua tumour tu. Kalau saya buatpun mungkin kena operate dua kali. Lepas itu 30% sahaja yang mungkin boleh dibuang.” Doktor Ahmad memandang kami sambil menunjukkan imej MRI.

Aku terpaku di kerusi. Aku tahu ini bukan perkara mudah. Ia melibatkan diri sendiri. Ia melibatkan hidup aku. Kemungkinan hidup aku totally berubah. Aku sedar sungguh bila aku disahkan brain tumour.

Dalam pada yang sama, doktor membilang setiap risiko yang mungkin aku tanggung pasca pembedahan.

“Puan, saya cakap terus terang sajalah, moga puan dan suami faham. Puan mungkin kehilangan penglihatan dan pendengaran sebab tumour ini berhampiran dengan saraf berkenaan.

Puan juga mungkin kehilangan deria rasa dan kemungkinan akan paralise. Aku tersentak dengan kata-kata itu, dan kami menatap wajah antara satu sama lain.

“Bagaimana dengan gamma knife surgery doktor?” tanya suami penuh harapan.

“Saya tahu gamma knife, tapi saya sekadar tahu tidak ada kepakaran tentangnya” Doktor Ahmad Khan jujur mengakui.

“Doktor, kami bercadang untuk buat rawatan dengan kaedah gamma knife, di Malaysia ini hanya ada satu iaitu di Gleneagles Hospital Ampang,” suami mengharapkan penilaian positif dari Doktor Ahmad Khan.

“Ok, kita cuba,  saya cuba hubungi Gleneagles.”

Kami dimaklumkan oleh Doktor Ahmad Khan bahawa ketua tim gamma ialah Doktor CC Pin. Doktor Safari tidak terlibat dengan Gamna Knife.

“Doktor Safari ini junior saya dahulu,” respon Doktor Ahmad Khan apabila suami menyebut nama Doktor Safari.

“Sekarang Doktor CC Pin di luar negara, 14 hari lagi baru balik Malaysia,” kata Doktor Ahmad lagi.

Kami dibekalkan dengan laporan untuk ke Hospital Gleneagles Ampang.

Selepas urusan dengan Doktor Ahmad Khan, kami bergegas mengisi perut. Manakala suami bergegas menunaikan solat jumaat.

“Mama, pedas ke lauk itu,” tanya Muna anakku dengan wajah polosnya.

“Emm… memang pedas,” aku mengiyakan. Walhal aku tidak dapat menahan sedih bila melihat wajahnya.

Aku bukan tidak boleh terima apa yang ditakdirkan. Aku sedar  tiada tempat untuk aku lari kecuali kembali kepada Allah. Aku pasrah dan reda atas segala yang aku dengar daripada pakar  neurosurgeon tadi.

Cuma aku tidak dapat menahan sedih bila melihat anak perempuanku. Dia masih mentah. Masih belajar. Tentu dia sangat tertekan dengan keadaanku.

Aku selalu sahaja memberi kata-kata semangat kepadanya. Berusaha, bertawakkal dan serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Tetapi ketika aku diuji dengan harapan yang begitu tipis, kenapa aku menangis? Aku mempersoalkan diriku sendiri.

Aku menyelak lembaran memori. Terpahat dalam memoriku tentang maksud hadith, bahawa seorang mukmin itu dalam keadaan baik. Dia tetap bersyukur atas kurniaan Allah. Dia tetap bersabar bila diuji.

Aku membuat carian di Youtube…

“Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

“Mengapa mama tersenyum seorang diri,” tanya Muna. Tanpa aku sedari dia memerhati gelagat aku.

“Tak ada apa adik,” tangan aku spontan mengesat airmata yang masih bersisa.

Oleh Anisah Mat Asi

[Coretan ini berasaskan pada kisah benar]