Sat. Apr 27th, 2024

Kenyataan Media PenaWan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024

8 Mac 2024

Sempena meraikan Hari Wanita pada 8 Mac 2024 ini, PenaWan mengucapkan ‘Selamat Hari Wanita’ kepada semua wanita di Malaysia. Di antara tujuan sambutan ini adalah untuk meraikan , mengiktiraf dan memberi penghargaan terhadap pencapaian wanita dalam membangunkan negara Malaysia tercinta ini menerusi pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik, kebudayaan, seni dan pendidikan tanpa mengira perbezaan budaya, etnik, pemikiran dan kasta.

Hal ini selari dengan tema sambutan 2024, ‘Wanita Dijulang Negara Terbilang’.

PenaWan menyokong inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) bersempena dengan sambutan Hari Wanita ini. Di antaranya: Peningkatan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan. Toleransi sifar keganasan terhadap wanita.

Peningkatan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi.

Penambahbaikan persekitaran bagi menjamin kesejahteraan wanita.

Usaha ini perlu diperkasakan dengan sokongan melalui kerjasama agensi-agensi kerajaan dan NGO seiring dengan agenda mengarusperdanakan kesaksamaan terhadap wanita untuk saling melengkapi dalam membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk menyumbang dalam pembangunan negara.

Dalam bidang pendidikan, peratusan wanita dalam sistem pendidikan kekal mendahului lelaki di mana peratusan di peringkat rendah 98.4 peratus, peringkat menengah 94.5 peratus dan peringkat tertiari pula 47.5 peratus. Dengan nisbah antara lelaki dan wanita Malaysia sekitar 109:100 pada pertengahan Julai 2022, hampir 70 peratus mereka yang berada di institusi pengajian tinggi utama negara terdiri daripada wanita. Maka potensi yang ada pada mereka seharusnya dimanfaatkan untuk mencerdaskan masyarakat dalam mencapai wawasan Malaysia Madani. Sumbangan wanita dalam konteks pendidikan menyebabkan berlakunya peralihan masyarakat daripada pra-celik kepada celik.

Hal ini dapat dilihat menerusi peranan seorang ibu sebagai pendidik ulung seperti yang disebut dalam pepatah Melayu, “tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia.”

Moga aspirasi tema tahun ini berjaya melonjakan peranan wanita sebagai tonggak utama dalam pembangunan sosial masyarakat samada sebagai ibu, pekerja, ketua keluarga, ketua masyarakat, penggerak komuniti profesional, dan pemimpin global.

Diharapkan agar sumbangan besar wanita dalam pelbagai sektor bukan sahaja berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa namun yang menjadi impian besar kita adalah membangunkan generasi yang baik dan memberi kebaikan kepada ummah.