December 3, 2024

Secangkir Teh Pengubat Rindu

Setiap kali aku menggunakan cerek comel ini, aku pasti teringatkan ayahku. Cerek ini dibeli semasa kali terakhir aku berhari raya bersama ayah. Sudah 9 tahun ayah pergi meninggalkan aku. Terlalu banyak kenangan bersama ayah.

“Adik nak buat teh tarik ya?” aku bertanya sebaik sahaja melihat anakku memasukkan sesuatu ke dalam cerek berkenaan.

“Ermm,” tangan adik lincah memasukkan serbuk teh ke dalam cerek comel dan ditenggekkan di atas dapur. Dia renehkan perlahan-lahan serbuk teh berkenaan. Adik kata lebih sedap rasa tehnya jika direnehkan sebelum dibancuh dengan susu.

“Secangkir teh pengubat rindu,” aku tersenyum memandang adik.

“Wah mama, nak tulis novel ke?, macam tajuk novel Saiful Islam je,” adik tergelak-gelak.

“Eh mana ada. Saiful Islam punya secangkir teh pengubat letih. Mana sama!”

“Ya lah tu, mama adik takkan tiru orang punya”

“Dik, masih ada teh lagi tak? Mama rasa macam banyak lagi, tak nampak pulak,” aku mencari di sekitar dapur comel kami.

“Ala mama, banyak lagi baru je adik guna separuh, nun dalam troli dalam bekas kuning,” adik memuncungkan bibir menunjukkan tempat dia menyimpan separuh bungkusan lagi serbuk teh berkenaan.

“Bukan apa, ingat yang sebungkus kat rumah bawah tu nak beri kepada makde, dia kata dah lama teh yang mama beri dulu habis. Dia kan ‘hantu’ teh, hari-hari minum the,” aku selalu mengusik kakak aku dengan kata-kata itu. Kami akan gelak ketawa bersama.

“Ok je mama, berilah. Lagipun kalau kita je memang lambat habis. Lagipun kan mama suka memerap nun di sana,” adik mengusik aku yang suka sangat berhibernasi di Cameron Highland.

“hi!hi!hi!…cari ilham,” aku sengaja memukaukannya.

“Mama ni, nak pergilah tu.”

Ternyata aku tidak mampu untuk bercuti keluar negara seperti kebanyakan kawan aku. Bagi aku tempat seperti Cameron Highland sudah memadai untuk aku merasai dinginnya suhu. Manakala jika aku ingin menikmati suasana lebih sunyi, aku akan pergi ke Fraser Hill. Di Fraser Hill, aku boleh memanah dan berjalan kaki berkilometer semata-mata untuk aku dapat hayati nyanyian burung-burung pelbagai jenis dan warna. Florapun tetap memikat hati kerana kebanyakan tumbuh-tumbuhan di Fraser Hill adalah terdiri dari tumbuh-tumbuhan liar.

“Masih ingat lagi tak cerek tu mama beli kat mana?” aku sengaja mengajak adik menjejaki nostalgia semalam.

“Mana adik ingat,” adik melerekkan matanya.

“Cerek itu adalah cerek yang mama beli untuk atok Milo,” aku mengingatkan adik kembali. Aku membahasakan ayah aku dengan panggilan atok Milo untuk dipanggil cucu-cucunya. Ayah peminat tegar milo disamping teh susu kegemarannya.

So?”

“Sudah lama atok pergi, bila mama beritahu atok cerek ni mama beli untuk dia, dia suruh mama bawa balik ke rumah kita.”

“Ooo masa tu mungkin adik kat luar rumah tak? pergi tengok buah manggis, buah rambutan sementara tunggu atok ambil parang untuk ke kebun. Rumah atok banyak pokok buah-buahan, seronok kan mama?”

“Ya, seronok sangat. Selalu atok akan beri kepada jiran. Atok kata beri-beri je, tak payah jual. Kelapapun sama. Sampai sekarang orang ambil free je kelapa atok.”

“Mama rindu atok ya?” Adik memerhati tepat ke wajahku.

Aku hanya menganggukkan kepala. Suaraku sudah tidak mampu melewati kerongkong. Ada perasaan terbuku di kalbuku. Rindu datang menerpa. Rindu yang cukup panjang. Apatah lagi aku tidak sempat melihat wajahnya buat kali terakhir. Aku tiba di tanah perkuburan setelah jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Aku hanya terlewat setengah jam dari masa pengkebumiannya.

“Su, sabar itu pahit, tapi yakin ianya penawar dan pecetus kebahagiaan buat orang yang sabar.” Masih terngiang-ngiang suara ayah berpesan kepadaku. Pada masa itu, aku menghulurkan cerek comel yang berisi air teh susu kepadanya untuk kami sama-sama menikmati hidangan petang.

Anisah Mat Asi

17/3/2022