Sun. Apr 28th, 2024

Umpama Rebung

“Ni dah bulan Syaaban, tak lama lagi nak puasa Ramadan,” Ibu bercakap kepada Hani semasa dalam perjalanan ke sekolah di pagi itu. Hani baru sahaja memasuki tahun satu di sebuah sekolah bersepadu di bandaraya berkenaan.

“Ibu, Hani nak puasa juga, best kan Ibu?” Hani terbayang masakan ibunya yang sangat menyelerakan terutamanya semasa berbuka.

” Ehh bagusnya anak Ibu, tahun ni puasa penuh ya?” Ibu tersenyum memandang Hani.

“Bu, jika Hani lapar sangat, boleh tak Hani minum je, tak makan. Dikira puasa juga kan bu?”

“Mana aci. Ingat lagi tak apa yang Ayah cakap semalam?”

“Ingat-ingat, tapi kawan Hani cakap ayah dia puasa, ayah dia minum, dia sebut IF. IF tu apa Ibu? Tu kira puasa juga ke bu?”

“IF tu maksud intermittent Fasting. Dia tak sama dengan puasa bulan Ramadan. Puasa Ramadan tak boleh makan, tak boleh minum dari Subuh hingga Maghrib. Tak boleh cakap perkataan yang tak elok. Tak boleh marah-marah tak tentu pasal, tau?”

“Habis tu tak boleh cakaplah ya bu?” Hani menatap ibunya yang sedang memandu.

“Boleh, bila nak cakap, bercakap yang baik-baik aje,” Ibu meleret melihat Hani yang sudah bersedia dengan beg sekolahnya.

“Dah sampaipun. Sekejap ya sayang, Ibu nak parkir kereta kat bawah pokok tu ya?”

Sebaik diparkir, Ibu keluar daripada kereta sambil mengenggam erat tangan Hani. Tangan kiri Ibu menjinjit beg Hani. 

Hani sudah tidak sabar masuk ke kelas bersama kawan-kawannya. Langkahnya dipercepatkan sambil menarik-narik tangan ibunya.

“Hani pergi dulu Ibu,” cepat saja Hani mencium tangan ibunya.

“Sayang, belajar rajin-rajin ya. Anak Ibu kan baik,” Ibu mencium ubun-ubun Hani.

“Assalamualaikum Ibu, bye-bye.” Hani sudah berlari-lari anak menuju ke kelas.

“Wa’alaikumussalam, bye bye babe,” Ibu membalas lambaian Hani sambil tersenyum.

Ibu mengatur langkah menuju ke kereta. Masih terngiang-ngiang di telinga Ibu ayat al-Quran yang dibaca oleh Ayah semasa tazkirah semalam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS. al- Baqarah 2:183)

Kisah ibu dan anak kecil antara tanda keterujaan sebahagian besar masyarakat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia dalam menunggu kehadiran Ramadan. Kini Ramadan sedang kita lalui. Sudah beberapa hari  kita telah menyambut bulan yang penuh keberkatan ini. Hadirnya setahun sekali membawa seribu satu keseronokan dalam menjalani ibadah puasa. Pelbagai kenangan manis tersemat di album kehidupan setiap kita yang bergelar muslim. Begitu juga kenangan pahit pastinya tidak terkecuali. Kemanisan dan kepahitan kenangan yang datang bertamu setiap Ramadan tiba membuatkan kita merinduinya. Apatah lagi janji Allah yang tiada tolok bandingnya. Antaranya Lailatul Qadr iaitu suatu malam yang sangat istimewa hanya terdapat di dalam bulan Ramadan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ ەۙ خَيْرٌ مِّنْ اَلْفِ شَهْرٍۗ

“Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS al-Qadr 97:3)                             

Dalam keghairahan kita menjalani ibadah puasa, sebagai ibu bapa:

  1. Keikhlasan niat perlu ditancapkan ke dalam sanubari ahli keluarga terutama kepada pasangan dan anak-anak.
  2. Suburkan budaya di dalam keluarga kecil kita dengan saling memaafkan, bertaubat dengan dosa-dosa lalu, memperbanyakkan istighfar,  meningkatkann ibadah/hubungan dengan Allah SWT dengan qiamulail, bersedekah, memperbanyakkan bacaan al-Quran disamping mentadabburnya. Jika mampu, berusaha menghafal ayat-ayat al-Quran walaupun sedikit.
  3. Melatih anak-anak bangun sahur. Rebutlah keberkatan di bulan Ramadan dengan bersahur.
  4. Dalam keadaan lapar dan dahaga, kita mungkin mudah hilang sabar apabila berhadapan dengan kerenah anak-anak. Sedaya mungkin kita cuba menahan marah dan bersabar terutama ketika berada di bulan Ramadan. Dalam masa yang sama kita memupuk perasaan sabar itu kepada anak-anak.
  5. Elakkan pembaziran terutamanya dalam menyediakan juadah atau membeli juadah.

Ibu terutamanya, sangat berperanan dalam membimbing anak-anak kecil yang baru belajar untuk berpuasa. Melatih anak-anak kecil berpuasa memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi. Pun begitu latihan kepada mereka perlu berperingkat agar mereka merasa seronok ketika dapat sama-sama berpuasa dan berbuka dengan orang yang lebih dewasa daripada mereka. Hargai mereka dengan memberi pujian dan hadiah yang berpatutan kepada mereka dalam usaha mereka untuk berpuasa.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selamat Memburu Lailatul Qadr.

Anisah Mat Asi

Mac 2022