Tue. Apr 23rd, 2024

LANGKAH BENDUL

Oleh; Wan Maryam Wan Zulkifli

Aku tak pernah dengar mengenai adat langkah bendul dengan terperinci. Tapi aku tahu kewujudan adat langkah bendul ini. Kalau ikut betul-betul tak silapnya serba berdiri? Apa yang dimaksudkan dengan serba berdiri tu pun aku tak tahu.

Cuma, apa yang pernah aku saksikan ia dilaksanakan dengan begitu cantik dan tidak membebankan. Bila aku baca tulisan yang condemn adat langkah bendul, si penulis hanya fikirkan kekarutan adat dan bebanan di pihak lelaki.

Tetapi, semua orang lupa. Hakikatnya pemberian dalam adat ini sedikit tak banyak mengubat lara saudara yang lebih tua yang belum bertemu jodohnya. Masyarakat tidak akan berhenti bertanya. Lebih teruk jika dicemuh hanya kerana jodoh belum tiba.

Saudara yang lebih tua ada liku hidup dan punya alasan tersendiri. Dia juga menanggung bebanan perasaan yang tak mungkin mampu dimengertikan oleh sesiapa termasuk ibubapa dan kawan-kawan rapat. Namun mungkin mampu difahami oleh orang-orang yang senasib — itupun jika serupa keadaannya.

Hadiah itu sebagai simbolik penghargaan atas yang pengorbanan yang tidak diketahui; khususnya perasaan. Ia juga boleh dijadikan permulaan yang baik – perkenalan antara ipar. Hadiah itu juga sebagai sokongan moral kepadanya untuk mendepani hari-hari yang mendatang. Hadiah itu mungkin mampu menjernihkan kekeruhan rasa tersembunyi sepanjang proses tersebut.

Ketahuilah, saudara yang lebih tua, sekalipun dia rasional, tinggi ilmu agamanya juga punya perasaan. Jika dia tidak redha, mungkin itulah punca masalah rumahtangga si adik di kemudian hari. Berikan hadiah yang berharga sekalipun tidak mahal.

Apabila yang muda berkahwin dahulu, tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada saudara yang lebih tua, terutama pergaulannya, sikapnya, cara berfikir. Bantulah saudara yang lebih tua ini menutup pintu-pintu godaan syaitan terutama perasaan kekesalan. Bantu dia menambah iman kepada Tuhan. Bantu dia bersangka baik.

Akhiran, adat yang baik, laksanakanlah. Ia bukan syariat tetapi besar impaknya. Memberi hadiah adalah galakan dari Rasulullah. Namun, janganlah membebankan.