Wed. Apr 24th, 2024

Isteri Berhak Tuntut Nafkah Yang Tidak Diberi Suami

Penulis: Syafiqah Abdul Razak (Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates)

Hukum syarak dan undang-undang telah menjamin kemaslahatan wanita untuk menuntut hak mendapatkan nafkah termasuk jumlah yang tertunggak ketika mereka bergelar isteri kepada seorang lelaki.

Merujuk kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya berdasarkan Seksyen 59(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang tertakluk kepada hukum syarak.

Selain itu, Seksyen 69 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga memperuntukkan tuntutan tunggakan nafkah.
“Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.”

Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi undang-undang orang itu. Maka, nafkah zahir boleh diminta daripada suami secara baik semasa dalam pernikahan. Jika suami gagal memberi nafkah, maka isteri berhak menuntut nafkah di Mahkamah Syariah.

Pemberian nafkah merupakan tanggungjawab suami yang perlu dipenuhi dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat jika gagal dilunaskan dengan sempurna. ALLAH SWT berfirman: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah al-Nisa, ayat 34)

Merujuk Kitab Al Fiqh Al-Manhaji, antara nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isterinya ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Bagaimanapun, kadar nafkah yang perlu diberikan berdasarkan kemampuan seorang suami berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Talaq, ayat 7. Penting bagi suami dan isteri memahami tanggungjawab masing-masing supaya pernikahan yang dibina dipenuhi mawaddah, sakinah dan rahmah.