Sat. Apr 20th, 2024

Engkau Abangku …Bhg 1

“Mak, boleh Mimi tanya?” Soal Mimi teragak-agak.

Sudah beberapa hari dia mengumpulkan kekuatan untuk melontarkan soalan yang berligar-ligar di dalam fikirannya. Dia hairan kenapa ibunya berubah secara tiba-tiba?

Murung. Diam. Bila ditegur, dia hanya menjawab dengan isyarat sama ada mengangguk, menggeleng atau isyarat dengan tangan. Apa yang tak kena? Adakah dia telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya?

Selepas bersara beberapa bulan yang lalu, ibunya sangat ceria dan aktif dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan bersama persatuan penduduk setempat. Hanya beberapa hari kebelakangan ini dia tiba-tiba berubah.

“Mak, tolonglah! Kenapa mak macam ni? Kalau Mimi salah, Mimi minta maaf,” rayu Mimi dengan sebak. “Kalau mak sakit, Mimi boleh bawa mak ke klinik.”

Ibunya memandang tepat ke wajah Mimi. Dia mengusap-usap tangan Mimi yang diletakkan di atas pahanya.

“Mak banyak dosa, Mimi…” akhirnya Hajjah Balqis mula bersuara dengan diiringi deraian air mata.

“Mak, semua kita banyak dosa. Tetapi keampunan Allah lebih luas daripada dosa hambaNya yang bertaubat.” Mimi memeluk erat tubuh ibu kesayangannya. Membiarkan ibunya memuntahkan segala yang terbuku di dalam hatinya melalui tangisan semahu-mahunya.

“Mimi janji tak akan membenci mak, selepas mak ceritakan apa yang menjadi rahsia mak selama ini?”

“Allahu Akbar! Mak, siapalah Mimi untuk menghukum mak? Sedangkan Allah sendiri mengampuni mak! Bukankah mak telah bertaubat dengan taubat nasuha?” Jawapan Mimi yang berhikmah itu seperti siraman embun pagi yang membasahi jiwa yang benar-benar dilanda nestapa.

“Mak ceritalah apa masalah yang mengganggu fikiran mak. Insyaa Allah Mimi dan Abang Fudin akan berusaha menunaikan apa saja hajat Mak. Percayalah!”

Hajjah Balqis menceritakan kepada Mimi. Ketika berusia belasan tahun dulu dia bergaul dengan budak-budak nakal. Terjebak dengan segala macam maksiat sehingga mengandung anak luar nikah….

“Sebelum ini mak ingat, selepas bertaubat nasuha mak sudah terlepas dari dosa itu. Tapi …” suara Hajjah Balqis terhenti seketika. Dia melepaskan satu keluhan yang berat.

“Kenapa mak? Yang Mimi faham, bila sudah bertaubat dosa kita dihapuskan…”

“Masa bertadarus di surau minggu lepas, kami membaca surah an-Nisaa’ beserta dengan terjemahannya. Apabila sampai kepada ayat ke 11 yang bermaksud, “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan…..”

“Mak bertanya ustazah yang membimbing kami bertadarus itu, maksud anak dalam ayat itu anak yang lahir dari perkahwinan yang sah sahaja ke? Kalau seorang perempuan melahirkan anak luar nikah, adakah anak itu berhak menerima pusaka juga?”

“Apa ustazah jawab, mak?” Soal Mimi seperti tidak sabar untuk mengetahui jawapannya.

“Ustazah kata, anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya. Atau mudahnya tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya. Oleh itu dia tidak boleh mewarisi apa-apa harta dari lelaki itu. Namun perempuan yang melahirkannya tetap ibunya yang sah. Maka dia berhak mewarisi harta ibunya dan ibunya berhak mewarisi hartanya.”

Mimi terkedu.

“Mak risau, kalaulah anak mak tu masih hidup, bagaimana hendak sampaikan harta pusaka peninggalan mak kepadanya? Walaupun sedikit, tetap wajib disampaikan kerana itu haknya!”

Diam seketika.

“Tapi yang lebih mak risaukan…” Hajjah terhenti. Dia menatap wajah Mimi. Lama sekali seolah-olah mahu membaca isi hati Mimi.

“Apa, Mak?”

“Mak risau Mimi tak boleh terima sebab bahagian yang Mimi akan dapat lebih sedikit berbanding dengannya!”

“Mak ni, apa pula fikir macam tu? Mimi tau, rezeki kita di Tangan Allah. Apa guna banyak kalau ia tidak halal untuk kita?”

“Allahu Akbar! Syukurnya. Lega hati mak bila dengar Mimi cakap macam tu.”

“Mak usah risaukan Mimi. Sekarang lebih baik kita fikirkan bagaimana nak cari anak mak tu!”

“Hemm… itu yang mak pening memikirkannya.”

“Mak ingat tak di mana mak lahirkan dia dan apa yang berlaku selepas itu?”

“Selepas mendapat tahu mak mengandung, arwah nenek kau hantar mak ke rumah perlindungan dan pemulihan remaja yang nakal macam mak ni. Di situlah mak mendapat kesedaran kembali ke jalan yang benar. Semua anak yang dilahirkan di situ akan diserahkan kepada keluarga angkat. Dan kami tidak dimaklumkan siapa dan di mana keluarga angkat yang mengambil anak-anak kami?”

“Mak masih simpan kah alamat rumah perlindungan tu?”

“Ada.”

“Kalau begitu, senanglah, mak.”

“Senang?”

“Mimi dengan Abang Fudin boleh pergi ke rumah perlindungan itu dan bertanya tentang keluarga angkat yang ambil anak mak.”

“Sudah lebih 40 tahun. Adakah mereka masih menyimpannya? Entah-entah rumah itu pun sudah tidak ada lagi?”

“Kita usaha, mak!”

“Tapi…”

“Kenapa, mak?”

“Mimi jangan pergi selagi mak masih hidup!”

“Kenapa? Mungkin ini satu peluang untuk mak bertemu dengan anak mak?”

“Mak tak mahu jumpa, Mimi. Mak tak tahu apa pandangannya terhadap mak? Mungkin dia benci dan menyimpan dendam terhadap mak? Nanti mak akan lebih tertekan dan menderita sepanjang hayat. Biarlah mak tidak jumpa dan tidak tahu. Sekarang mak sudah rasa tenang kerana Mimi akan laksanakan amanah menyampaikan harta pusaka mak kepadanya. Moga-moga dia masih hidup.”

Bersambung ……

Dinukilkan oleh Ustazah Maznah bt Daud