November 21, 2024

ISTERI YANG DILAKNAT PARA MALAIKAT

Hari ini saya akan mengulas satu hadis yang zahirnya sangat kontroversi, sangat tidak bertimbang rasa dan tidak mesra wanita.

Kalau tidak percaya, cubalah baca:

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi isterinya tidak datang, maka suami itu tidur dalam keadaan memendam kemarahan, malaikat laknat isteri tersebut sehingga ke pagi.”
Muttafaq ‘alaih.
(Riadhus-Solihin, no 281, ms 115)

Hadis ini selalu dilihat dari sudut kewajipan isteri taat kepada perintah suami. Apa sahaja kehendak serta permintaan suami wajib dipatuhi, full stop.

Adakah benar begitu? Adakah benar Islam menetapkan hubungan antara suami isteri seperti hubungan ketenteraan antara jeneral dengan anggota tentera di bawahnya?

Tidak sama sekali. Allah SWT telah membina hubungan suami isteri di atas landasan rahmah dan mawaddah. Allah jadikan mereka berdua sebagai pasangan yang membawa panji-panji ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan terhadap satu sama lain yang diungkapkan dengan satu perkataan yang cukup indah, SAKINAH.

Dalam melayari bahtera rumahtangga di lautan hidup yang sentiasa bergelora, Allah telah mengamanahkan kepada suami untuk menjadi kapten yang diberi nama QAWWAM. Sebagai qawwam, suami bertanggungjawab melindungi ahli keluarga dari segala perkara yang tidak baik, perkara-perkara yang menyusahkan, apa lagi yang mencelakakan.

Sebagai qawwam, suami wajib menjaga isteri dengan penuh rahmah, membelainya dengan mawaddah, memayunginya dengan sakinah.

Suami yang pengasih dan cinta kepada isterinya, apakah akan tergamak menjadi sebab kepada isterinya dilaknat para malaikat? Sampai hatikah dia mengajak isteri ke tempat tidur tanpa mengambil kira suasana dan kondisi isteri?

Sesungguhnya suami yang mempunyai sifat rahmah pasti tahu bahawa hubungan kelamin bukan bertujuan untuk memenuhi nafsunya semata-mata. Sebaliknya ia merupakan saat memadu cinta antara mereka berdua. Ia tidak boleh dilakukan dengan cara perintah ala tentera; perintah dan taat. Sebaliknya, ia mesti didahului dengan membina suasana, memahami keadaan serta kesediaan pasangan terlebih dahulu. Jika ini dilakukan dengan sebaik-baiknya sudah tentu isteri tidak akan menolak dan terhindarlah dia dari dilaknat.

Suami yang mengajak tanpa mengambil kira keadaan serta kesediaan isteri adalah suami yang tidak sayang kepada isterinya dan sengaja menjadi sebab untuk isterinya dilaknat. Dan pada masa yang sama dia juga telah menderhakai Allah SWT yang memerintahkannya melayani isteri dengan cara yang baik. “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’ 4:19)

Kesimpulannya, kita tidak boleh memetik satu nas tertentu daripada al-Quran atau Hadis, lalu kita terus buat kesimpulan bahawa inilah ajaran Islam tanpa kita kaitkan dan padankan dengan nas-nas lain yang saling berkaitan antara satu sama lain. Sesungguhnya Islam itu indah. Rahmah untuk semua tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.

Nukilan Ustazah Maznah Daud