Tue. Mar 19th, 2024

Nilai Insan Yang Hilang Dalam Keluarga

Sekali lagi kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak, adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya pada 29 Januari yang lalu. Apa yang lebih memilukan, kanak-kanak malang ini baru sahaja diserahkan beberapa bulan kepada ibu kandungnya semula oleh keluarga angkat yang telah memeliharanya sejak berumur 2 tahun.

Sungguh tidak tergambar betapa hancurnya perasaan insan mulia yang telah menjaganya bagaikan menatang minyak yang penuh apabila mendapat berita tentang kematian anak angkat yang dirindui itu. Lebih memilukan lagi, tragedi malang itu dilakukan oleh orang yang paling dipercayai dan paling layak menjaganya.

Alangkah sedihnnya apabila manusia bernama  ibu dan bapa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, sanggup mendera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang lemah.  Di manakah nilai seorang insan dan kasih sebagai seorang ibu dan bapa?

Ternyata pertalian darah itu bukan tiket untuk menjamin kesejahteraan hidup seorang kanak-kanak, yang memerlukan perlindungan dan kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu dan bapa.

Semoga pelaku yang bertanggungjawab di atas kematian adik Amir akan mendapat balasan yang setimpal.

Dunia selamat untuk kanak-kanak

Berita dan kes penderaan seperti ini bukanlah pertama kali berlaku di negara kita. Bahkan sudah berapa ramai kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa penderaan sehingga ada yang kehilangan nyawa. Kepada siapa lagi anak-anak ini ingin berlindung jika orang yang paling dipercayai sanggup menyakiti dan mencederakan mereka. Sudah hilangkan perikemanusiaan kita sehingga sanggup merampas masa depan seorang kanak-kanak?

Kanak-kanak adalah aset penting negara. Menurut Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2019 dianggarkan terdapat 9.3 juta kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah di Malaysia. Jumlah ini menghampiri 30% dari penduduk di negara ini. Namun, saban tahun pula kita menyaksikan peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Lebih menyedihkan kebanyakan kes-kes penderaan kanak-kanak ini dilakukan oleh mereka yang diberi tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak itu sendiri.

Sehingga September 2020,  sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak direkodkan di negara ini. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan jumlah itu melibatkan empat jenis kategori penderaan iaitu fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

Angka yang dinyatakan  di atas bukan suatu angka yang kecil walaupun kerajaan menyatakan ada penurunan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Adakah negara kita mampu menjadi dunia selamat untuk kanak-kanak dengan bilangan kes penderaan sebegini?

Kerajaan melalui jabatan dan agensinya harus mengambil langkah yang lebih proaktif seperti menyediakan tempat selamat di kawasan kediaman berisiko tinggi seperti di perumahan B40 di mana isu pengabaian dan penderaan ini sering berlaku. Kerajaan perlu lebih agresif dalam melancarkan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu penderaan dan keganasan dalam komuniti setempat. Kerjasama dengan pelbagai pihak perlu dilaksana dan diselaras dengan sebaiknya agar segala usaha pencegahan dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Disamping itu juga, kerajaan perlu mengkaji polisi berkaitan keibubapaan yang dipraktikkan di negara maju, antaranya seperti yang telah dipraktikan di England, dengan memberi pendidikan keibu bapaan wajib bagi ibu bapa muda. Laporan dari Astro Awani pada tahun 2015 menunjukkan bahawa rata-rata ibu bapa tidak mengetahui mengenai peruntukan dan implikasi yang termaktub di dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Polisi yang lebih holistik dan melibatkan pelbagai kementerian perlu dirangka, memandangkan isu pengabaian kanak-kanak berkait rapat dengan masalah kewangan, pengangguran dan kesihatan mental ibu bapa. Hukuman lebih berat perlulah dilihat sebagai jalan terakhir setelah semua langkah proaktif telah dijalankan.

Semarakkan Fungsi Sebuah Institusi Keluarga yang Utuh

Institusi keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan sesebuah masyarakat. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga maka akan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahir dan dibentuk dalam masyarakat itu. Sekiranya institusi keluarga berpecah belah maka kesan sosial dan kesan ekonominya akan pasti dirasai oleh masyarakat dan generasi berikutnya. Oleh itu, maju atau mundurnya sesebuah negara adalah berpunca daripada institusi keluarga.

Peranan institusi keluarga dalam sebuah institusi sosial atau masyarakat juga telah diperakui di peringkat antarabangsa. Deklarasi Hak Manusia Sejagat pada tahun 1948 (Artikel 16 [3]) mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam masyarakat (United Nations, 1948). Menerusi deklarasi ini, institusi keluarga berhak mendapat bantuan dan perlindungan daripada pihak berwajib dan kerajaan.

Selain daripada cabaran institusi keluarga, isu-isu sosial yang melanda di setiap peringkat perkembangan manusia daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas juga perlu diberi perhatian. Setiap kitaran dalam sesebuah institusi keluarga mempunyai isu dan cabaran tersendiri. Daripada peringkat kanak-kanak seperti isu penderaan dan pengabaian sehinggalah isu warga emas seperti kesunyian, cabaran yang wujud secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan sesebuah institusi keluarga.

Keutuhan dan kesejahteraan sesebuah keluarga adalah amat penting bagi pembangunan yang sihat, progresif dan harmoni sesebuah negara. Justeru, institusi keluarga ini perlu diperkukuh, diperkaya dan diperkasakan dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang terkini bagi mendepani segala cabaran di era baharu ini. Bagi memastikan keutuhan keluarga dihasilkan maka keluarga tersebut perlu mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Keluarga yang tegak diatas landasan aqidah dan iman (kepercayaan agama), beribadah dan berbuat kebajikan.
  1. Ketua keluarga dan setiap anggotanya berfungsi dengan baik, iaitu mampu mengendali isu-isu pembangunan fizikal, mental, ekonomi, sosial, dan kerohanian keluarga
  1. Keluarga yang bersistem, bersifat anjal (flexible) dan akomodatif dalam menghadapi cabaran dan konflik keluarga serta mampu menghadapi ideologi dan pemikiran yang boleh meruntuhkan kerukunan keluarga.

Keluarga yang utuh ini juga dapat memastikan bahawa sesebuah keluarga itu menjadi resilien kepada sebarang perubahan situasi dan zaman.  Sehubungan itu, adalah wajar setiap anggota di dalam institusi keluarga diberi perlindungan oleh masyarakat dan kerajaan. Segala peraturan dan perundangan perlu menegakkan keadilan dalam sistem kekeluargaan serta mampu mempermudahkan proses penyelesaian masalah dan perselisihan keluarga.

Selain itu, usaha dan inisiatif dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan agensinya, pihak NGO serta ahli komuniti dan anggota keluarga perlu diperhebatkan agar segala masalah gejala sosial, kes penderaan dan keganasan akibat keruntuhan nilai dalam keluarga dapat dibendung seperti yang terhasrat dalam Dasar Keluarga Negara.

Peranan masyarakat menjamin keselamatan kanak-kanak

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), telah menggariskan beberapa hak asasi kanak-kanak iaitu termasuklah hak mereka untuk hidup dengan memperoleh semua perkara asas untuk kelangsungan hidup mereka. Selain itu, kanak-kanak juga mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan daripada semua jenis penganiayaan dan penderaan selain hak membangunkan peribadi melalui pelajaran serta hak untuk terlibat dalam proses membuat keputusan dalam isu pendidikan, perubatan mahupun hak untuk bersuara. Oleh itu, menjadi keutamaan semua pihak untuk memastikan hak seorang kanak-kanak dipenuhi dengan sewajarnya dalam apa jua keadaan sekali pun.

Masyarakat perlu proaktif dalam membina persekitaran komuniti selamat untuk kanak-kanak lebih-lebih lagi di musim pandemik COVID-19. Intervensi awal oleh jiran tetangga komuniti setempat amat penting bagi mengelakkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun seksual menjadi semakin parah sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa kanak-kanak.

Cabaran hidup institusi keluarga hari ini dengan adanya tekanan dalam pelbagai aspek menjadikan rumah bukan lagi tempat yang paling selamat buat seorang kanak-kanak. Di sinilah terletaknya peranan anggota masyarakat dalam memastikan kanak-kanak di persekitaran tempat tinggal mereka selamat.

Seharusnya tidak wujud istilah “jaga tepi kain orang”, sebaliknya semangat bak seperti pepatah Melayu lama, “beranak seorang menjaga beramai” harus disemai dalam diri setiap anggota masyarakat kerana ini dapat menyedarkan kita bahawa tanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup seorang kanak-kanak itu perlu digalas oleh seluruh anggota masyarakat. Masyarakat perlu membuang sifat individualistik, keakuan dan tidak mahu “busybody” urusan keluarga orang lain, demi kemaslahatan untuk menjaga dan melindungi golongan yang tertindas dan mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Tidak ada gunanya kita menuding jari kepada mana-mana pihak apabila terjadinya kes-kes menyayat hati seperti ini. Sudah tiba masanya setiap dari kita memainkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap anggota keluarga dan masyarakat berfungsi dengan sewajarnya. Ayuhlah kita sama-sama menjadi frontliner dalam usaha mencegah sebarang bentuk penderaan dan keganasan demi membina komuniti yang selamat dan sejahtera untuk semua.

Tulisan oleh Nik Khatijah Nik Mud, Pasukan Advokasi Keluarga Utuh, Pertubuhan IKRAM Malaysia.