Assalamu’alaikum. Jazakumullahu khaira kepada semua sahabat yang sudi membaca dan memberi pendapat tentang sebahagian cerpen yang saya poskan lewat petang semalam. Untuk yang sedang menanti sambungannya, terimalah….
Setahun kemudian….
Mimi dan suaminya baru keluar dari rumah perlindungan dan pemulihan remaja dengan penuh rasa syukur. Pihak pengurusan masih menyimpan semua rekod para pelatih yang pernah tinggal di situ serta rekod keluarga angkat yang mengambil anak-anak dari situ. Mereka menyedari pentingnya menjaga keturunan dan hubungan darah antara anak dengan ibu yang melahirkan. Justeru, jika ada ibu-ibu yang ikhlas datang mencari mereka akan memberikan kerjasama dengan syarat mereka tidak boleh lagi menuntut anak dari keluarga angkat masing-masing.
Misi seterusnya ialah mencari keluarga angkat anak mak.
“Assalamu’aikum,” Saifuddin memberi salam.
Selepas tiga kali, barulah muncul seorang lelaki dalam lingkungan usia 45 tahun.
“Wa’alaikumus-salam. Cari siapa?”
“Ini rumah Encik Zafran?”
“Ya, saya. Encik berdua ni, siapa?” Tanya Zafran kehairanan.
“Kami ada hajat nak jumpa Encik Zafran…”
“Hajat? Hajat apa?” Zafran berasa ragu-ragu untuk menerima tetamu yang tidak dikenali itu. Macam-macam boleh berlaku pada zaman yang serba-serbi sukar dijangka sekarang ini.
Mimi dan Saifuddin berpandangan menunggu pelawaan tuan rumah.
“Kalau Encik Zafran rasa keberatan untuk mempelawa kami masuk, kita bincang di luar pun tak mengapa.” Saifuddin memberi cadangan.
Melihat kesungguhan tetamu yang datang untuk menyampaikan hajat, Zafranpun mempelawa mereka berdua masuk.
1001 satu persoalan menerjah mindanya.
“Kami dari rumah Haji Darus tadi.”
“Haji Darus, ayah angkat saya tu?”
“Ya!”
“Kenapa dengan dia?”
“Tadi Encik Zafran kata, dia ayah angkat Encik Zafran, kan?”
Zafran benar-benar kebingungan. Siapa sebenarnya hamba Allah berdua ni? Apakah maksud di sebalik soalan itu?
“Ya. Walaupun statusnya ayah angkat tapi bagi saya, dialah ayah saya dunia akhirat dan Mama Hajjah Masyitah itulah ibu saya dunia akhirat.”
“Encik Zafran tak pernah tanya tentang ibu kandung Encik?”
“Bohong la kalau saya kata, saya tak pernah terfikir tentang ibu kandung. Tetapi demi menjaga perasaan mereka yang membesar dan mendidik saya dengan cukup baik, saya pendamkan saja. Namun dalam hati sentiasa berdoa semoga Allah pelihara ibu yang melahirkan saya dan mengampuni segala dosa-dosanya.” Kelihatan air jernih bergenang di kelopak matanya.
Mimi tidak boleh menahan sebak. Dia mengelap air mata yang mengalir deras membasahi pipi.
“Encik Zafran, kami datang sebagai memenuhi wasiat arwah mak supaya menyampaikan harta peninggalannya kepada yang berhak menerimanya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran.”
“Apa maksud saudara? Saya tidak faham?”
“Isteri saya ni, satu-satunya anak perempuan arwah mak. Dia adik Encik Zafran seibu.”
Zafran terlopong. Matanya terhala ke arah Mimi yang tidak henti-henti mengesat air mata.
“Sebagai anak kepada arwah mak, Encik Zafran mempunyai hak untuk menerima sebahagian harta peninggalannya.”
Zafran masih belum mengeluarkan kata-kata walau sepatah. Dia seperti sedang bermimpi.
“Betul, abang. Inilah dokumen-dokumen harta peninggalan mak. Kami memerlukan kerjasama abang untuk proses pindah milik. Mimi tidak mahu mengambil harta yang bukan milik Mimi walaupun sedikit.” Mimi baru bersuara dalam sedu sedannya.
Zafran terkesima. Tiada sepatah kata terkeluar dari bibirnya. Dia membongkok sujud syukur kepada Yang Maha Esa. Bukan kerana akan menerima harta pusaka yang dia sendiri tidak tahu jumlahnya. Tetapi kerana Allah menghantarkan insan-insan berhati mulia ke dalam hidupnya meskipun dia lahir ke dunia ini tanpa dirancang dan dikehendaki oleh orang yang melahirkannya.
Dinukilkan oleh Ustazah Maznah bt Daud
More Stories
Pengiktirafan MBBY
Anak adalah aset berharga, saham terbesar dunia akhirat
Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak