Ramai menyangka keganasan rumah tangga hanya berlaku apabila seseorang dipukul atau berlaku pertengkaran di dalam rumah. Hakikatnya, penderaan boleh berlaku secara senyap tanpa meninggalkan kesan fizikal. Ia boleh hadir melalui ugutan, penghinaan, kawalan yang melampau, malah melalui telefon bimbit dan media sosial.
Justeru, setiap wanita perlu memahami bahawa keganasan rumah tangga mempunyai pelbagai bentuk dan tidak seharusnya dipandang ringan.
Kes Semakin Meningkat
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, jumlah kes keganasan rumah tangga yang direkodkan oleh pihak polis meningkat daripada 5,507 kes pada tahun 2023 kepada 7,116 kes pada 2024, dan 7,391 kes pada 2025.
Namun, angka ini hanyalah kes yang dilaporkan. Ramai mangsa masih memilih untuk berdiam diri kerana takut, malu atau berharap pasangan akan berubah.
Laporan Women’s Aid Organisation (WAO) turut menunjukkan peningkatan kes yang dikendalikan oleh organisasi itu. Lebih membimbangkan, penderaan menggunakan teknologi (ICT) seperti mengugut, menghendap, memantau lokasi atau mengawal pasangan melalui telefon dan media sosial semakin meningkat dari tahun ke tahun. Data menunjukkan bahawa wanita merupakan mangsa majoriti, sekitar 73 peratus, manakala golongan suri rumah dikenalpasti sebagai antara yang paling berisiko.
Namun begitu, lelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Apa Maksud Keganasan Rumah Tangga?
Di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, keganasan rumah tangga merangkumi pelbagai bentuk penderaan:
Penderaan fizikal yang melibatkan perbuatan seperti memukul, menolak atau mencederakan pasangan;
Penderaan emosi dan psikologi termasuk menghina, memaki, mengugut, memalukan, mengawal kehidupan pasangan atau sengaja memulaukan mereka sehingga menjejaskan kesihatan mental. Ada mangsa akhirnya percaya bahawa semua yang berlaku adalah salah dirinya sendiri;
Penderaan kewangan berlaku apabila pasangan mengawal semua wang, menghalang mangsa bekerja, tidak memberi nafkah yang mencukupi atau mengambil harta dan simpanan mangsa sehingga mereka bergantung sepenuhnya kepada pelaku;
Penderaan seksual adalah memaksa pasangan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan, termasuk dalam perkahwinan.
Selain itu, menghalang pasangan keluar rumah, melarang mereka berhubung dengan keluarga atau rakan-rakan, merosakkan harta benda, serta mengugut atau mengawal melalui telefon dan media sosial, juga merupakan bentuk keganasan rumah tangga.
Ramai mangsa tidak menyedari bahawa mereka sedang didera kerana tiada kesan lebam pada tubuh. Sebenarnya, penderaan emosi boleh meninggalkan luka yang jauh lebih lama dan dalam daripada kecederaan fizikal.
Berani Melapor Adalah Langkah Pertama
Mahkamah di Malaysia semakin tegas dalam menangani kes keganasan rumah tangga. Dalam satu kes di Pasir Mas, Kelantan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM25,000 selepas mengaku bersalah menceroboh rumah, mengugut dan menyerang bekas isterinya.
Pun begitu, bagi kebanyakan mangsa, cabaran terbesar adalah membuat laporan. Rasa takut, malu, bimbang terhadap keselamatan diri dan anak-anak, atau tidak tahu ke mana hendak mendapatkan bantuan menyebabkan ramai terus berdiam diri.
Sebenarnya, membuat laporan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, ia adalah langkah berani bagi melindungi diri serta membuka jalan kepada kehidupan yang lebih selamat. Keberanian seorang mangsa juga mampu memberi harapan kepada wanita lain yang sedang melalui pengalaman yang sama.
Bantuan Sentiasa Ada
Bagi membantu mangsa, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan Program AkuWanita@Keganasan Rumah Tangga (AkuWanita@KRT) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh usaha pencegahan, pendidikan dan sokongan kepada mangsa.
Mangsa juga boleh mendapatkan bantuan di PRISMAnita yang terdapat di setiap Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN). Bagi mereka yang memerlukan bantuan segera, hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp: 019-261 5999 bagi mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan profesional.
Menghapuskan keganasan rumah tangga bukan tanggungjawab mangsa sahaja. Ia memerlukan keprihatinan keluarga, jiran, rakan dan seluruh masyarakat.
Tiada sesiapa boleh hidup dalam ketakutan di rumah sendiri. Dengan kesedaran, keberanian untuk melapor dan sokongan masyarakat, kita mampu memutuskan rantaian keganasan rumah tangga dan membina kehidupan yang lebih selamat, bermaruah dan sejahtera untuk semua.
Ir. Endok Sempo M Tahir
6 Julai 2026

More Stories
Penjagaan Orang Tua: Tanggungjawab Atau Pilihan?
Wanita Yang Memilih Sabar
Wanita Tonggak Ummah: Menyinari dunia dengan Iman dan Inspirasi