December 7, 2024

Melebur Ego

Terasa diri betul belaka,
Cukup petah berkata-kata,
Hujah pula bak air deras yang mengalir,
Menghentam batu batan di hilir,
Menerjah dinding tebing sehingga runtuh,
Membongkar pepohonan di sekeliling,
Menghanyutkan lumpur dan pasir.

Wajah yang tampan dan jelita,
Bangga diperaga,
Terasa diri paling menawan pada abad ini,
Pakaian ranggi dan bertumit tinggi,
Tiada lagi sopan santun dan berbudi,
Apatah lagi pengikut puji melangit tinggi,
Terasa bak putera puteri.

Kereta berjenama berderetan di garaj,
Bila lagi nak dipamer?
Di facebook, twitter dan istagram,
Tak cukup itu, sosek di whatapps dan telegram,
“Siapa boleh kalahkan aku?,
Aku kaya, inilah titik peluh usaha aku sendiri”,
Nafsu dan syaitan membisikkan,
Perbuatan salah diperindahkan.

Ada pula yang ramai pengikut,
Semua kata-katanya diturut,
Walaupun melampaui hukum dan adat,
Taksub membuta tuli,
Semua perilaku dianggap sakti,
Kata-kata bak para wali,
Dosa pula seperti lalat di pinggir kuali.

Kan sudah dibilang,
Ladang ribuan hektar merata,
Lembu, kambing tak usah nak kira,
Pasaraya pula bak cendawan tumbuh,
Projek mega nun di hutan belantara,
Itu belum lagi jawatan pengerusi di syarikat ternama.
Kau apa ada?

Firaun ada segala…
Kekuasaan, kekayaan dan pengikut yang ramai,
Akhirnya kembali kepada Tuhan,
Bila nyawa sudah sampai ke kerongkongan ,
Sudah tiada guna lagi penyesalan,
Walaupun terungkap
“Aku beriman dengan Tuhan Musa dan Harun”
Akhirnya melebur egonya,
Namun nasi telah menjadi bubur.

Nukilan AMA