December 7, 2024

“Cikgu, jika Yusuf hendak balik, tolong beritahu saya, saya boleh ambil,” pesan Mama Yusuf.

“Baik puan, mari Yusuf ikut cikgu” cikgu mengajak Yusuf masuk ke dalam Tadika Bestari.

Bye-bye Yusuf” Mama, Ayah dan Yusro adik Yusuf melambaikan tangan. Yusuf membalas lambaian mereka bertiga.

Yusuf mula menunjukkan mimik muka sedih. Mamapun  berat hati melepaskan Yusuf untuk ke tadika. Tetapi demi kebaikan Yusuf, Mama kena tabahkan hati. Cepat-cepat Mama meninggalkan perkarangan tadika tersebut.

Mama segera kembali ke rumah yang terletak lebih kurang 10 minit dari tadika Bestari. Sampai sahaja di rumah, Mama ke dapur untuk mengambil pakaian di mesin basuh. Mama memasukkan satu bakul lagi pakaian yang belum berbasuh ke dalam mesin. Sementara menunggu basuhan ke dua siap,

“Jom Yusro, temankan Mama sidai kain” Mama membawa bakul berisi kain  ke tempat sidaian.

Sambil menyidai kain, Yusro yang baru berumur dua tahun menarik-narik baju Mama. Mama memandang muka Yusro. Yusro mula minta didokong.

“Sekejap ya Yusro, Mama nak siapkan ini dulu, ni baju siapa?” Mama cuba menarik perhatian Yusro.

“Nek…nek…nek (bahasa Yusro menunjukkan Yusro hendak menyusu)” Yusro masih menarik baju mamanya. Umpan Mama tidak mengena kali ini.

“Uihh, bunyi apa tu bising kat luar?” Mama cuba mengalihkan perhatian Yusro kepada angsa jiran di sebelah rumah mereka.

Yusro membulatkan matanya. Dia mengintai di sebalik grill sambil matanya liar mencari angsa yang membising semacam itu.

“Ok dah siap, jom” Mama menarik tangan Yusro masuk semula ke ruang dapur. Mama memeriksa baki nasi di dalam periuk.

“Ooo ada lagi, reheat je, kari daging semalam masih berbaki,  hari ini masak sayur kailan ikan masin sedap juga.” Getus hati mama.

Manakala ayah Yusro memerap di bilik semenjak balik dari menghantar Yusuf ke tadika. Ayah kepada sepasang anak kecil ini sememangnya bekerja sendiri. Jadi Ayah akan membantu Mama pada waktu rehatnya. Kebiasaan Ayah akan menghabiskan masa 1-2 jam untuk melayan clientnya terlebih dahulu.

Yusro telah terlelap sebaik sahaja dia dapat menyusu. Dapatlah Mama berehat seketika sambil menanti basuhan kain kali ke dua selesai.

“Nanti biar abang sidai semua kain-kain tu” bisik Ayah kepada Mama. Jadi Ayah tidak mahu mengganggu lena Yusro. Kalau Yusro terjaga, nanti semua kerja terbengkalai.

Mama masih membayangkan keadaan Yusuf di tadika. Adakah dia menangis, mengasingkan diri, malu, takut dan sebagainya. Adakah Yusuf akan memaklumkan kepada cikgunya apabila dia perlu ke tandas? Dia baru sahaja bebas sepenuhnya daripada memakai diapers. Hal itu cukup membimbangkan Mama.

“Ahh, tak boleh jadi ni, baik aku masuk dapur, pinggan mangkuk di sinki belum berbasuh” Mama bingkas dari sisi Yusro yang lena dibuai mimpi.

“Takpe sayang, abang sedang basuh ni” Ayah rupanya sudah berpencak silat di sinki dapur.

“Ohh, terima kasih abang,”

“Sama-sama kasih hi!hi!” Ayah tersengih sambil menyuakan pinggan untuk disusun Mama.

“Sunyi je rumah ni ya bang, Yusuf macam manalah kat tadika tu, tadi dah pesan kat cikgu, jika Yusuf nak balik, call je kita” Mama meluahkan.

“Takpe je sayang, biar anak kita belajar bersosial, bukannya kita nak dia mengadap buku sepanjang hari di tadika. Tentu ada aktiviti yang menyeronokkan”

“Betullah bang, tetapi apabila difikir balik, sayang rasa serba salahpun ada, dia baru je empat tahun”

“Sat je pun, nanti jika apa-apa cikgu call lah kita” Ayah berkejaran ke bilik tidur apabila tiba-tiba Yusro terjerit-terjerit menangis.

Sengaja Ayah mengambil alih tugas Mama bila Yusro terjaga dari tidur. Jika Yusro terpandang Mama, alamatnya Mama tidak boleh membuat satu apapun.

Selepas memasak dan mengemas dapur…

“Abang, jomlah jenguk Yusuf, dah tiga jam ni” Mama masih gundah.

“Yusropun dah bangun, jomlah”

“Tadipun Yusro mencari-cari abang dia, bila dia tak jumpa, mulalah bad mood” Mama menyarung tudung sambil memimpin tangan Yusro menuju ke kereta.

Sebaik sahaja Yusuf masuk ke dalam kereta, Mamanya terus bertanya.

“Tadi Yusuf cakap dengan cikgu nak balik, nak call mama, cikgu kata tak boleh,” air mata Yusuf sudah tergenang di pelupuk matanya.

“Kenapa cikgu kata tak boleh?” Tanya Mama sambil mengusap kepala Yusuf.

“Cikgu kata masa belum tamat, Yusuf tak nak pergi school hu!…hu!..hu!” Yusuf melepaskan kesedihan yang sekian lama dipendamnya.

“Ok…ok, Mama faham. Takpe, nanti Mama tanya cikgu ya?” Mama cuba memujuk Yusuf. Sebenarnya Mama sedang memujuk hatinya sendiri.

Mama mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah melahirkan Yusuf. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, tetapi mereka nekad untuk tidak menghantar anak mereka kepada pengasuh. Saban hari ada sahaja kes menyayat hati yang menimpa anak-anak di nurseri. Itu yang menjadi igauan ngeri kebanyakan ibu bapa muda termasuk Mama dan Ayah Yusuf.

Empat tahun dahulu…

“Ok ke abang keputusan sayang?” Mama membelai tangan kecil Yusuf yang lena di pangkuan.

“Ok apa pulak? Kan kita dah bincang habis-habisan kelmarin” Ayah memandang tepat ke muka Mama.

“Ialah, kita tiada sumber pendapatan tetap, jadi sayang dah tak boleh bantu abang lagi” Mama sudah tidak dapat menahan sebak. Ada titisan jernih satu demi satu menitis dari pipinya.

“Dah..dah. Jangan fikir sangat, adalah rezekinya, kan Allah itu Maha Kaya” Ayah noktahkan keputusan mereka.

“Betul tu, tapi sayang betul-betul serba salah” Mama masih bersendu.

“Apa Nabi SAW ajar bila Fatimah puteri Nabi mengadu tentang kesusahan mereka?” Ayah membelai lembut tangan Mama.

“Ya, ya…Ingat bang.”

Daripada ‘Ali bin Abi Thalib RA ketika menceritakan kisah Fatimah RA binti Muhammad SAW. Pada suatu hari, Fatimah RA mendatangi Nabi SAW untuk meminta diberi pembantu (hamba), apabila mereka mengetahui adanya tawanan perang. Rasulullah SAW berkata kepada anaknya, Fatimah RA,

أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

“Mahukah kamu berdua jika aku tunjukkan kepada sesuatu yang lebih baik daripada seorang pembantu? Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali, dan tahmid 33 kali. Maka ini adalah lebih baik daripada seorang pembantu…”

                                                                                                                   (HR. Bukhari &  Muslim).

“Mama…Mama, tengok tu Yusuf nampak” Yusuf menunjukkan jari ke arah kapal terbang di langit biru.

“Mana?” Mama menyeka airmata dengan jari jemarinya sambil membuang pandangan ke luar tingkap kereta.

Seketika Mama telah dibuai nostalgia silam. Peristiwa itu seolah-olah ditayangkan satu persatu di depan mata. Tanpa disedari, rupa-rupanya kereta telah memasuki halaman rumah mereka.

Anisah binti Mat Asi

Feb 2022