November 21, 2024

Kenyataan Media PENAWAN sempena Hari Kemerdekaan 67

Malaysia Madani: Jiwa Merdeka

Assalamu’alaikum

Warahmatullahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera,

Pada hari yang penuh bersejarah ini, Malaysia sekali lagi menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-67 dengan tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”.

Tema ini bukan sahaja mencerminkan semangat kemerdekaan yang telah kita kecapi selama ini, malah tema ini memperingatkan kepada kita tentang peri pentingnya pembentukan masyarakat madani yang berjiwa merdeka.

Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN) sentiasa berada dalam arus perdana bagi mengetengahkan isu wanita dan masyarakat umum melalui berbagai genre penulisan.

Kita menyedari bahawa penulis mesti bersikap lebih peka, tajam pemikiran dan pantas serta sentiasa cakna, berinformatif dan kreatif. Maka menjadi tanggungjawab kita bagi mengangkat usaha-usaha dalam mengisi erti kemerdekaan yang sebenar selaras dengan nilai dan tatasusila budaya serta agama.

Penulisan yang sarat dengan mesej, saranan dan pandangan yang berorientasikan kepentingan rakyat adalah sumbangan yang besar ertinya bagi mengintegrasikan wanita dan seluruh masyarakat Malaysia secara saksama dalam proses pembangunan masyarakat Madani.

Para penulis adalah cermin masyarakat, merakam sejarah dan pencetus perubahan dalam negara. Era digital ini memudahkan kita menggunakan platform yang lebih luas untuk menyebarkan idea dan pandangan melalui karya yang berkualiti dan pelbagai.

Perlaksanaan tindakan dalam usaha membangunkan Malaysia Madani dan jiwa merdeka adalah tanggungjawab semua lapisan masyarakat.

Setiap individu adalah agen perubahan. Dengan mengamalkan nilai-nilai murni seperti kejujuran, keadilan dan kesederhanaan, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan berdaya saing. Jiwa merdeka bukan sahaja bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada penjajahan minda dan jiwa.

Agensi kerajaan memainkan peranan yang kritikal dalam pembentukan Malaysia Madani. Dengan dasar-dasar yang inklusif dan berwawasan, kerajaan dapat menyediakan platform yang kondusif ke arah pembangunan masyarakat yang berjiwa merdeka.

Kita bersama-sama berganding bahu untuk mencapai visi Malaysia Madani yang kita impikan.

Semoga tindakan dan pelaksanaan bagi menterjemahkan segala dasar dalam bentuk program dan projek oleh semua pihak yang terbabit iaitu kerajaan, badan- badan bukan kerajaan ( NGO), sektor swasta dan lain-lain dapat direalisasikan dengan jayanya.

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-67 kepada semua rakyat Malaysia.

Bersama-sama kita membina Malaysia yang lebih gemilang.

Sekian, terima kasih.

Puan Mahayati Ibrahim

Pengerusi Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita Nasional (PENAWAN)