November 21, 2024

Isteri Disuruh Sujud Kepada Suami?

Kali ini saya akan cuba mengupas sepotong hadis yang selalu dianggap sebagai merendahkan darjat wanita. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang perawi seperti at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibn Majah yang bermaksud: “Sekiranya aku (harus) menyuruh seseorang sujud kepada seseorang, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad di TanganNya seorang perempuan itu tidak menunaikan hak Tuhannya selagi dia tidak menunaikan hak suaminya. Dan sekiranya suami mengajaknya bersama (melakukan persetubuhan) ketika berada di atas belakang binatang tungganganpun, janganlah dia menolaknya.” Hadis ini diperakui sebagai Hasan Sahih oleh al-Albani.

Daripada hadis tersebut, kita dapat mengutip beberapa pengajaran:

Pertama: Hadis ini sebenarnya lanjutan daripada satu peristiwa di mana Muaz bin Jabal RA yang setibanya dari Syam terus sujud kepada Nabi SAW. Baginda bertanya,

“Apakah yang kamu lakukan ini wahai Muaz?”

“Semasa saya berkunjung ke Syam, saya mendapati penduduknya sujud kepada paderi-paderi dan pendeta-pendeta mereka. Lalu saya bertekad di dalam hati saya akan lakukan perkara yang sedemikian kepada tuan.” Jawab Muaz.

Rasulullah SAW pun bersabda,

“Jangan kamu lakukan! Sekiranya aku (harus) menyuruh seseorang sujud kepada seseorang, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.….” Sehingga akhir hadis.

Melalui Hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan bahawa tiada seorangpun yang berhak disembah kecuali Allah SWT semata-mata. Baginda hanyalah seorang manusia biasa yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu daripada Allah. Justeru, baginda tidak berhak disembah.

Baginda menyebut “Sekiranya aku (harus) menyuruh seseorang sujud kepada seseorang, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya”. Maknanya, kalau boleh, tetapi tidak boleh. Maka tidak timbullah isu isteri kena sujud kepada suami sebab perbuatan itu tidak harus dan tidak boleh. Satu-satunya yang boleh dan berhak untuk kita sujud kepadanya, hanyalah Allah SWT sahaja.

Kedua: masalah kewajipan isteri melayani kehendaki suami, khususnya dalam hubungan kelamin. Terlebih dahulu kita kena kembali kepada takrif serta tujuan pernikahan. Fuqahak mentakrifkan pernikahan ialah “Aqad yang menghalalkan persetubuhan dan melahirkan hak serta tanggungjawab terhadap satu sama lain.”

Sedia maklum bahawa Islam mengharamkan zina dan liwat dengan pengharaman yang cukup tegas dan keras. Pada masa yang sama, Islam mengiktiraf keinginan nafsu syahwah yang tertanam di dalam diri manusia, sama ada lelaki mahupun wanita. Mana mungkin Islam tidak mengiktirafnya, pada hal syahwah itu Allah sendiri yang menciptakannya.

Maka, untuk memenuhi keinginan itu, Islam mensyariatkan pernikahan. Pernikahanlah satu-satunya cara yang dihalalkan untuk manusia, lelaki dan wanita menjalin hubungan seksual. Melakukan hubungan seksual adalah satu daripada hak dan tanggungjawab yang wajib dipenuhi terhadap satu sama lain. Dalam bab tanggungjawab suami terhadap isteri, bukankah selalu disebut: memberi nafkah zahir dan batin. Ertinya jika semua nafkah zahir; tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman mencukupi, masih belum sempurna tanggungjawabnya jika tidak memberi nafkah batin.

Dan lebih daripada itu, di kala mereka mengadakan hubungan untuk memuaskan syahwah masing-masing itu, Allah catatkan detik itu sebagai ibadah yang diberi ganjaran pahala. Subhanallah.

Jadi, memenuhi keinginan seksual bukan sahaja dituntut ke atas isteri untuk memenuhi keinginan suami. Sebaliknya suami dituntut dan diwajibkan untuk memenuhi keinginan isteri. Sehinggakan kita dapati para fuqahak membincangkan secara panjang lebar tentang kekerapan yang wajib ke atas suami memenuhi syahwah isteri, ada yang berkata empat hari, empat bulan, enam bulan dan sebagainya.

Dr Abdul Karim Zaidan mentarjihkan pendapat Ibn Taimiah yang mengatakan tiada had masa tertentu. Sebaliknya bergantung kepada keadaan dan kemampun kedua-dua pihak.

Beliau juga menyebut, menjadi tanggungjawab suami untuk mengambil kira waktu-waktu dan keadaan yang sesuai dengan diri masing-masing ketika hendak melakukan hubungan seksual. Sekiranya dia berasa lemah atau tidak berdaya untuk melakukannya, hendaklah dia berikhtiar merawat dan mengambil ubat untuk mengatasi kelemahan itu.

Saya bentangkan semua ini adalah untuk mengelak salah faham sesetengah pihak daripada hadis di atas. Seolah-olah isteri hanyalah alat atau bahan pemuas hawa nafsu suami semata-mata. Pada hal Islam itu indah dan adil. Patutkah kita menilai dan menghukum ajaran Islam berdasarkan satu hadis sahaja? Lihatlah secara menyeluruh dan hubungkan nas-nas antara satu sama lain dengan adil, saksama dan harmoni.

Ketiga: Kembali kepada hadis di atas, Nabi SAW menyebut bahawa isteri wajib akur walaupun sedang berada di atas belakang unta. Tujuan baginda adalah memberi penekanan tentang pentingnya memenuhi tuntutan syahwah yang Allah telah halalkan dan menjadikannya satu ibadah. Bayangkan jika suami tidak mendapat kepuasan dan layanan yang secukupnya daripada isterinya yang halal, ke manakah runtunan nafsu itu hendak dihalakan?

Namun pada masa yang sama suami tidak harus melupakan apa yang dituntut oleh Allah kepadanya, iaitu melayani dan menggauli isteri dengan cara yang baik. “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’ 4:19)

Apakah dikira layanan yang baik kalau meminta tanpa mengira keadaan, tempat dan masa?

Kesimpulan, fahami ajaran Islam dengan melihat nas-nasnya secara yang syumul dan menyeluruh. Jangan menjadi seperti si buta yang menilai gajah berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh tangannya sahaja.

Allahu A’lam. Wa’alaiHi at-tuklan.

Di atas ini adalah gambar hiasan salah seorang anak/menantu ajk PenaWan

Nukilan Ustazah Maznah bt Daud