Thu. Apr 18th, 2024

Hijab: Satu bentuk penindasan terhadap Wanita? – Mewariskan naratif hijab sebenar kepada cucu-cicit –

Pada April 2021, Al Jazeera melaporkan Dewan Senat Perancis telah mencadangkan undi untuk tidak membenarkan pemakaian hijab bagi Wanita Muslim berusia bawah 18 tahun di tempat awam. Walaupun keputusan belum dicapai, dan perkara ini masih belum dimasukkan dalam undang-undang negara itu, hal ini telah mendapat respons hangat dari seluruh dunia baik daripada golongan Muslim sendiri dan juga bukan Muslim. Kempen #handsoffmyhijab yang bermaksud ‘jangan sentuh hijab saya’ telah tular di media sosial sebagai protes terhadap usul itu. 

Ini bukan pertama kali kita dengar tentang penindasan kerajaan Perancis terhadap Islam dan Wanita berhijab khususnya. Presiden Perancis telah menarik sokongan terhadap wakil partinya, Sarah Zemmahi yang muncul berhijab dalam poster kempen parti mereka. Beliau mengutuk tindakan itu dan mengatakan pemakaian simbol keagamaan ketara sebegitu dalam poster dan dokumen kempen adalah bertentangan dengan nilai parti mereka. Zemmahi diminta untuk menukar poster kempen atau mereka akan menarik semula sokongan parti terhadap beliau.

Al Jazeera dalam portal berita atas taliannya turut berkongsi ciapan pengguna aplikasi twitter yang menggunakan tanda pagar #handsoffmyhijab dan menyebut had umur minimum untuk keizinan seks di negara itu ialah 15 tahun, sedangkan keizinan memakai hijab yang cuba dimasukkan dalam undang-undang ialah 18 tahun. Katanya lagi, ini ketara bahawa undang-undang ini bukan satu bentuk penindasan terhadap hijab, tetapi sebenarnya penindasan terhadap Islam. Seperti mana Wanita diberi kebebasan untuk tidak memakai hijab, keadilan dan kebebasan yang sama harus diberi kepada mereka yang berhijab.

Dengan kemajuan teknologi dan kemudahan media sosial tanpa sempadan, ramai yang sudah membuka mata terhadap isu hijab dan penindasan Wanita. Ramai Wanita bukan Muslim yang menyokong penentangan terhadap penindasan Wanita berhijab. Tetapi masih ramai juga yang memandang hijab sebagai satu bentuk kongkongan terhadap Wanita Muslim. Bagi mereka, Wanita Muslim seolah dipaksa oleh agama dan keluarga untuk memakai hijab dan menutup aurat. Bagi mereka, Wanita Muslim patut diberi hak untuk berpakaian mengikut cita rasa dan kehendak mereka sendiri, tanpa dikongkong oleh kehendak agama dan budaya. Konflik paksaan berhijab di negara Islam seperti Iran memarakkan lagi isu ini sekaligus memalitkan hijab dengan isu penindasan terhadap Wanita. Pendapat ini bukan sahaja disokong golongan bukan Muslim, malah ada Wanita Muslim sendiri yang turut menyokong pandangan ini dan malah kononnya memperjuangkannya untuk Wanita Muslim lain.

Adakah pandangan liberal ini akan mengganggu-gugat keharmonian warga Muslim dunia, dan Malaysia khususnya? Apakah itu pandangan liberal? Liberal bermaksud bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka dan tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran. Dunia hari ini melihat ramai Muslim di serata dunia yang tidak mengamalkan cara hidup sebenar. Malaysia juga berdepan isu serupa. Ada yang tidak menutup aurat dengan sempurna, malah ada yang tidak solat. Kita tidak menghukum golongan ini, sebaliknya kita harus cuba fahami dan selami masalahnya, dan cuba mengajaknya mengikuti fitrah dan cara hidup Islam yang sebenar. Namun hari ini kita lihat ramai manusia yang lebih suka meuar-uarkan kemaksiatan yang mereka lakukan. Jika mereka tidak solat, mereka berani membuat pengakuan terbuka tentangnya, dan menyatakan mereka tidak berasa kesal dengan perbuatan itu.

Begitu juga dengan halnya tidak memakai hijab atau menutup aurat dengan sempurna. Ramai Muslim yang cuba menormalisasikan kebebasan untuk tidak mengenakan hijab dan menutup aurat dengan sempurna. Bahkan ada yang mengajak orang lain untuk turut ikut sama berfikir secara liberal bersama mereka. Hal ini cukup membimbangkan dan boleh memberi impak negatif kepada generasi anak-anak dan cucu-cicit kita pada masa akan datang. Kita sebagai warga dewasa dan ibu bapa harus memainkan peranan penting bagi menyampaikan naratif pemakaian hijab sebenar yang sesuai dengan tuntutan Islam.

Setiap Muslim harus menjalani kehidupan yang dituntut oleh agama berlandaskan kefahaman yang betul. Anak-anak kecil bukan sahaja perlu diajar untuk berhijab hanya kerana ibu dan kakaknya memakai hijab, tetapi juga perlu diajar tentang kenapa mereka dituntut untuk berhijab oleh agama mereka. Mereka bukan sekadar perlu dibesarkan dalam suasana Islam, tetapi juga harus dibesarkan dengan pengertian dan kefahaman tentang persekitaran dan biah yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan keluarganya. Ramai Muslim yang gagal istiqamah dalam menjalankan kewajipannya kerana tiada kefahaman sebenar dan hanya mengikut-ikut apa yang diajar oleh orang sekeliling.

Islam tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia sesuka hati. Jika mengenali seseorang Muslim yang menolak untuk berhijab, Muslim yang lain tidak diajar untuk menentang, menghina atau memulaukan mereka. Islam ialah agama nasihat, dan mengajar pengikutnya untuk berpesan-pesan dan saling menasihati dalam kesabaran. Apabila kita mendidik anak kecil di rumah, nilai empati dan kefahaman terhadap cabaran Muslim lain yang berbeza-beza dengan cara hidup kita, turut harus diberi penekanan. Kita tidak mahu melahirkan anak-anak dan cucu-cicit yang hanya pandai mengurus kehidupan Muslimnya sahaja, tetapi ingin mereka membesar dan membetulkan masyarakat sekeliling bersama-sama. Dan untuk membetulkan dan mengajak masyarakat ke jalan yang benar memerlukan bukan sahaja kefahaman addin semata-mata, tetapi juga sifat dan nilai rahmah serta empati manusiawi. 

Dalam dunia teknologi tanpa batasan, anak-anak terdedah dengan pandangan liberal yang bebas diakses di mana-mana media sosial. Menjadi tanggungjawab golongan dewasa dan ibu bapa untuk menepis anasir-anasir liberal ini daripada pemikiran anak-anak. Anak-anak harus diajar untuk bukan sekadar membaca dan mendapatkan maklumat daripada media sosial, tetapi juga harus dididik untuk menganalisis dan menimbulkan persoalan pada setiap maklumat yang mereka dapat di media sosial. Diskusi dan perbincangan harus diterap dan dirancakkan bersama baik di rumah mahupun di sekolah, agar isu-isu dan pandangan liberal itu bukan diserap terus oleh anak-anak tanpa dianalisa terlebih dahulu. 

Konklusinya, kita sebagai warga dewasa dan ibu bapa harus terlebih dahulu faham dan hadam tentang isu hijab dan naratif hakiki yang ingin kita sampaikan kepada generasi akan datang. Jika kita seorang ibu dan bapa, nilai-nilai kefahaman sebenar tentang hijab dan Islam secara keseluruhan harus bermula dari pendidikan di rumah. Jika kita seorang guru dan pendidik di sekolah dan institusi pengajian, diskusi dan perbincangan tentang pandangan dan pemikiran liberal terhadap pemakaian hijab ini harus diberi perhatian dan dikembang giat bersama murid-murid. Kita mahu anak-anak dan cucu-cicit kita faham kenapa mereka berhijab, dan juga faham kenapa ada segelintir muslim lain yang tidak berhijab serta kenapa kita tidak boleh mendiskriminasikan mereka. Kita juga mahu mereka membesar dengan rasa empati dan tanggungjawab untuk membetulkan masyarakat lain yang hanyut dengan pemikiran liberal dan tidak sejahtera. Menjauhkan mereka dari anasir-anasir di sosial media bukan penyelesaian yang tepat, sebaliknya mereka harus dididik untuk pandai dan arif menggunakannya sebagai alat untuk memperbetul dan menyampaikan naratif yang sebenar kepada masyarakat secara rahmah.

Oleh Nur Atiqah Yahya

Sumber rujukan:

Al Jazeera (9 April, 2021). ‘Law against Islam’: French vote in favour of hijab ban condemned from https://www.aljazeera.com/news/2021/4/9/a-law-against-islam 

TIME (19 Mei, 2021). Who Gets to Wear a Headscarf? The Complicated History Behind France’s Latest Hijab Controversy from https://time.com/6049226/france-hijab-ban/