“Encik. Boleh saya nak jumpa? Saya ada hal nak ceritakan sesuatu…”
Hassan terkejut. Gementar juga. Sebab yang hantar mesej itu seorang wanita. Kamisah namanya. Biasanya kalau wanita yang hubungi untuk bertemu, Hassan akan minta isterinya untuk turut serta membantu bagi mengelakkan fitnah.
Hassan tiba di Pasaraya seperti yang dijanjikan.
“Puan, saya perkenalkan. Ini isteri saya,” Hassan memulakan bicara.
Setelah memperkenalkan diri, Kamisah menyingsingkan lengan bajunya dan menunjukkan bekas lebam di tangan akibat didera oleh suaminya. Panjang juga dia mengisahkan bagaimana suaminya sering memukulnya.
Suaminya seorang yang panas baran. Mereka tinggal bersama dengan ibu mertuanya. Rupanya arwah bapa mertuanya sering memukul isterinya… Agaknya contoh daripada bapanya diturunkan pada anaknya.
Hassan bukanlah berpengalaman sangat dalam hal rumah tangga ini… Tetapi dia pernah ikuti kursus kaunseling keluarga satu ketika dulu dan ada juga rajin membaca berkenaan dengan permasalahan keganasan rumah tangga.
Berasaskan pengetahuan dan pengalaman yang ada Hassan membuat beberapa cadangan.
“Apa kata, puan banyakkan membaca Ayat Kursi dan al-Quran di rumah. Ini bagi melemahkan pengaruh syaitan yang selalu menghasut suami dan keluarga.”
“Layan suami dengan baik dan sentiasa berdoa untuk beliau. Jangan lawan cakap beliau atau bertengkar dengan beliau.”
Hassan teringat hadis Nabi daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu menjadikan rumahmu itu seperti kubur (tidak pernah kamu sembahyang sunat ataupun membaca al-Quran dan ibadat lain di dalamnya). Sesungguhnya syaitan akan lari dan menjauhkan diri daripada mana-mana rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (HR Muslim)
Keesokan harinya Hassan mesej pada Kamisah bertanyakan khabar.
“Encik… Dalam masa 24 jam nampak kesannya, alhamdulillah. Dia tiba-tiba hendak hantar saya ke tempat kerja. Sebelum ini saya pergi sendirian.”
Hassan berdoa, “Ya Allah … Engkaulah Yang Maha Berkuasa. Aku ini hanya hamba-Mu yang lemah. Sesungguhnya Engkaulah yang mampu mengubah hati manusia.”
Beberapa hari berlalu. Maka pada satu hari semasa Hassan menggerakkan program remaja di taman perumahan dekat rumahnya, Hassan menjemput anak-anak Kamisah agar terlibat sekali.
Hassan terkejut, bukan sahaja Kamisah yang menghantar anak-anak mereka, suaminya turut juga menghantar sama. Yang lebih mengejutkan lagi ialah si suami ingin turut serta dalam mendengar ceramah yang Hassan hendak sampaikan, ‘Al-Quran dan Sains’ tajuk ceramahnya.
Dalam satu slot ceramahnya, Hassan menunjukkan klip video penguin. Hassan menceritakan pada anak-anak, bahawa penguin ini adalah bapa mithali… betapa penguin jantanlah yang mengeramkan telur selama empat bulan semasa penguin betina sibuk mencari makanan.
Sungguh menakjubkan kisah penguin ini. Hassan jelaskan, jika penguin betina ditakdir mati semasa mencari makanan, penguin jantan akan terus menerus menjaga anaknya sehingga akhirnya mati demi menyelamatkan anaknya.
Mesej yang disampaikan amat dalam maksudnya bagi suami Kamisah. Hassan sengaja panjangkan sikit penceritaan kisah penguin jantan ini. Kebetulan suami Kamisah tak tahu pun isterinya datang mengadu berkenaan kisah penderaannya.
Moga mereka hidup aman damai selepas ini. Hassan tidak pula mendengar apa-apa berita dari mereka semenjak dari insiden ceramah itu tadi.
Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah menyampaikan dengan sebaik mungkin. Allah yang merubahkan hati manusia mengikut ilmu-Nya kerana Allah Maha Mengetahui akan hamba-hamba-Nya.
Cerpen oleh: Dr Hishamuddin Alham, mantan Pensyarah Kanan, UTM Skudai
*Nota: Cerpen ini berasaskan kisah benar tetapi nama-namanya adalah rekaan semata-mata agar tidak serlahkan aib empunya badan.
More Stories
Pengiktirafan MBBY
Anak adalah aset berharga, saham terbesar dunia akhirat
Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak