Thu. Apr 25th, 2024

Sebuah Perjuangan Tanpa Noktah

Agenda Pemerkasaan Wanita: Sebuah Perjuangan Tanpa Noktah

Wanita atau sinonimnya perempuan merupakan manusia daripada salah satu kategori jantina di dunia seperti ibu, isteri dan anak gadis yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang kehidupan. Kepesatan kemajuan telah mengubah cara pandang kedudukan dan peranan wanita dalam sejarah manusia yang dulunya terbatas dalam pelbagai aspek dan bidang. Hal ini kerana wanita turut dilihat sebagai penyumbang dalam pembangunan negara berdasarkan kebolehan, kemahiran, pencapaian, kejayaan dan kesungguhan yang melonjakkan lagi wanita untuk terus menjadi manusia yang berharga dan bukan lagi diperguna. Justeru, kita perlu memastikan bahawa tiada seorang pun yang tercicir dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam pelbagai bidang. Selaras dengan salah satu daripada tujuh belas matlamat yang diutarakan oleh United Nations Development Program (UNDP) iaitu Kesaksamaan gender di dalam Sustainable Development Goals (SDG) yang bertujuaan untuk mencapai kesaksamaan dan pemerkasaan menjangkaui aspek dan bidang.

Pemerkasaan wanita telah giat dijalankan saban tahun oleh pelbagai agensi dan mendapat sokongan dan kerjasama yang baik oleh semua pihak. Pengkhabaran ini dilihat sebagai satu signal yang baik untuk dikongsi. Sejajar dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dimana fokus utamanya adalah untuk melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, membangunkan potensi dan memberdayakan wanita dalam semua sektor. Pemerkasaan ini akan menghasilkan impak luar biasa hasil kolaborasi gandingan gender dalam komuniti yang saling melengkapi antara satu sama lain dan bukan lagi dilihat daripada lensa persaingan yang tidak sihat. Ini kerana tanpa mengira latar belakang kita akan saling menghulur tangan membantu dan meluaskan usaha merealisasikan hasrat tersebut dalam pelbagai bidang termasuklah pendidikan, sosial, ekonomi, teknologi, kemajuan masyarakat dan jawatan kepimpinan bagi menjamin kemakmuran hidup bersama.

Pemerkasaan Wanita dalam Politik

Selari dengan salah satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 iaitu kesaksamaan gender dalam pelbagai aspek dan bidang, Malaysia dilihat perlu lebih proaktif memperkasakan penyertaan wanita khususnya dalam bidang politik. Pelantikan lima orang wanita sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan baru-baru ini memperlihatkan satu kemajuan dan harus diiktiraf dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita dalam politik. Antaranya Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi bersama dua lagi wajah baharu iaitu, Fadhlina Sidek yang menyandang tugas sebagai Menteri Pendidikan serta Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan. Mereka ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan kelayakan akademik serta diakui berkredibiliti dan boleh memacu pentadbiran ke arah yang lebih baik. Walaubagaimanapun, usaha tersebut masih belum memenuhi sasaran minimum tiga puluh peratus penglibatan Wanita dalam kelompok pembuatan keputusan politik yang dicetuskan sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Terdapat pelbagai agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan yang senada bergerak sebagai ejen perubahan dalam merealisasikan agenda wanita dalam politik. Antaranya Pusat Wanita Berdaya Selangor (PWB) yang merupakan program di bawah Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga. Sebanyak 56 Dun yang telah mempunyai PWB disamping terdapat 10 Modul Program Kemahiran dan Modul Program Pembangunan Kapasiti yang telah dirangka oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar (JPPD). Inisiatif pelaksanaan ini selaras dengan objektif program tersebut iaitu untuk memantapkan kepimpinan wanita dalam pembuatan keputusan di semua peringkat masyarakat dan menggalakkan penglibatan wanita di dalam sosio-ekonomi dan politik dalam masyarakat.

Agenda pemerkasaan wanita ini turut mendapat perhatian yang serius oleh kerajaan negeri Pahang apabila buat julung kalinya membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) 2022-2026 yang bertujuan memperkasa keupayaan wanita. Kesedaran ini tercetus apabila penglibatan Wanita di negeri tersebut khususnya dalam dalam konteks kepemimpinan politik, badan berkanun dan korporat masih jauh ketinggalan. Inisiatif ini menfokuskan kepada sepuluh bidang tumpuan utama iaitu pendidikan, pekerjaan, kekeluargaan, agama, keusahawanan, warisan dan seni budaya, kepimpinan, undang-undang, teknologi dan kesihatan disamping mempunyai penggerak utama mewakili agensi kerajaan dan disokong oleh agensi swasta dan NGO. Agenda ini memperlihatkan perkembangan yang baik dalam memberi ruang yang adil kepada wanita sebagai pemimpin dalam pembangunan negara sekali gus membawa harapan besar terutama dalam agenda memperkasakan gender.

Di samping itu, wanita perlu membuktikan kemampuan diri, meneroka peluang baharu, mencungkil bakat dan meningkatkan ilmu pengetahuan kepimpinan serta menyokong agenda kerajaan untuk membentuk kepimpinan dalam diri khususnya. Bagi mereka yang sudah berada dalam landasan yang betul dalam dunia politik, serlahkan bakat kepimpinan dan komited dalam kerja yang dilakukan tanpa sebarang kontroversi intergriti untuk membina sokongan Kerjasama gandingan gender yang sihat dalam meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik untuk menjamin keharmonian negara dalam arena politik Malaysia.

Pemerkasaan Wanita Dalam Menangani Kemiskinan Haid (Period Poverty)

Dalam makalah yang berjudul Polemik Kemiskinan Haid di Malaysia yang ditulis oleh Dr Norhafizah Abdul Halim dalam Portal Malaysian Research & Education Foundation atau MyREF menyatakan bahawa Malaysia antara negara yang aktif dalam mengetengahkan isu kemiskinan haid dan lebih tertumpu kepada golongan Wanita luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar. Walaupun isu ini masih pada tahap yang terkawal berbanding negara lain seperti India, Bangladesh dan Afrika, usaha yang berterusan dan sistematik tetap perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Kemiskinan haid bukanlah satu isu yang baru dalam kalangan masyarakat kita. Menurut Dr Nor Faiza Mohd. Tohit, Dr Sh Fatimah AlZahrah Bt Syed Hussien, Dr. Szariannie Sulaiman, & Dr Rohaiza Rokis melalui kajian yang berjudul Kemiskinan Haid: Krisis Kesihatan Awam Yang Perlu Diakhiri menerusi Prosiding Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2021 (PERKKS 21) pada 16-17 November 2021 mentakrifkan kemiskinan haid melalui empat elemen utama iaitu keadaan apabila seseorang individu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita (pad) atau tampon, kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi untuk menguruskan haid, ketiadaan tempat pelupusan tuala wanita yang telah digunakan dan limitasi atau ketiadaan dari aspek ilmu pengetahuan berkaitan sistem reproduktif dan seksual.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita turut menjadi cabaran dalam menangani isu kemiskinan haid ini. Ramai dalam kalangan masyarakat berhadapan dengan kehilangan pekerjaan untuk meraih sumber pendapatan bagi menampung keperluan diri dan keluarga. Keperluan asas seperti makanan harian menjadi sasaran utama masyarakat pada waktu ini. Hal ini menyebabkan terdapat kekangan untuk menyediakan keperluan asas yang lain terutamanya keperluan asas wanita iaitu penyediaan tuala wanita. Bukan itu sahaja, ketika sesebuah negara menghadapi krisis bencana alam seperti banjir, masalah kemiskinan haid ini turut berlaku dan menjadi cabaran bagi golongan yang terkesan. Situasi ini menyebabkan terjejasnya bekalan kelengkapan haid dan kemudahan untuk menguruskan haid. Justeru, kegagalan dalam menangani isu kemiskinan haid menyumbang implikasi yang besar terhadap kesejahteraan fizikal, mental dan emosi golongan terbabit.

Menyedari hakikat ini, usaha sama telah diperlihatkan oleh beberapa pertubuhan kerajaan, organisasi awam dan sukarelawan ke arah menangani cabaran ini. Langkah proaktif pelbagai pihak seperti golongan pakar, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) giat membincangkan isu serta permasalahan berkaitan kemiskinan haid sekaligus mencari alternatif penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan ini. Banyak pengkhabaran positif yang terpapar di dada akhbar berkenaan pemberian hak golongan ini untuk mendapatkan akses yang baik berbentuk keperluan bekalan, pendidikan dan pengurusan haid. Antaranya, menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri ketika merasmikan Forum Wanita dan Gadis (MWGF) 2022 memberitahu bahawa pemberian tuala Wanita akan dilakukan secara bersasar kepada Orang Asli, golongan B40 dan golongan yang tidak berkemampuan. Demi menyahut usaha kerajaan sebelum ini yang telah memperuntukkan bantuan bulanan berbentuk kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja Wanita B40 yang dibentang dalam bajet Belanjawan 2022, inisiatif ini juga perlu dilaksanakan, diteliti semula dan dimasukkan dalam bajet Belanjawan 2023. Keseriusan menangani isu kemiskinan haid ini telah memperlihatkan Kerajaan Selangor melalui pembentangan Belanjawan 2023, telah memperuntukkan RM200,000 untuk memberdaya kaum wanita, termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma, menjadikan negeri Selangor negeri pertama memberikan tuala wanita percuma.

Jika diteliti dari sudut pendidikan pula, usaha ini mendapat sokongan dan kerjasama NGO bagi menangani isu kemiskinan haid seperti NGO BUNGA Pads yang aktif memberikan pendidikan kesihatan dan agama berkaitan pengurusan haid kepada golongan wanita yang kurang berkemampuan di Sabah dan Sarawak. Disamping itu juga, terdapat sebuah Gerakan kemiskinan haid Malaysia yang dikenali sebagai Peduli Merah yang merupakan sebuah usaha kolektif pencerahan isu kemiskinan haid di Malaysia di bawah seliaan Dr Sharifah Fatimah AlZahrah Al-Attas, pensyarah Sosiologi dan Antrapologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tujuan kempen ini adalah untuk menyampaikan maklumat yang selaras dan tepat mengenai kemiskinan haid selari dengan Manifesto Haid Setara yang diperkenalkan dari sudut pendidikan iaitu Memperkasakan Pendidikan Haid Setara melalui modul yang dirangka merangkumi aspek pendidikan kitaran haid, kebersihan, pendidikan seksual dan anatomi reproduksi perempuan, fiqh perempuan dan penggunaan tuala Wanita yang didedahkan secara meluas. Peduli Merah juga giat mengadakan kempen seperti Kempen Rakan Jalanan, Bicara Awam #Peduli Merah, sumbangan tuala Wanita kepada komuniti Rohingya, Sumbangan mangsa banjir di Banting, diskusi dan seminar melibatkan pelbagai agensi dan institusi pendidikan. Keseriusan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak dalam membasmi kemiskinan haid perlu disokong sepenuhnya dan digerakkan secara bersama untuk meningkatkan pemerkasaan Wanita terhadap kesedaran pendidikan haid kepada semua rakyat di Malaysia tanpa sebarang stigma dan tribulasi.

Pemerkasaan Wanita dalam Pendidikan

Dalam mendepani cabaran yang mendatang, ilmu pengetahuan amat penting untuk bertindak sebagai perisai dalam diri seseorang. Bahkan ilmu diibaratkan seperti cahaya yang menerangi kegelapan. Tanpa cahaya ilmu pasti kehidupan kita sentiasa dalam kegelapan kejahilan, mundur dan tidak bertamadun. Malah, bukti sesebuah negara bertamadun adalah pada pengaplikasian ilmu pengetahuan oleh bangsanya. Maka, setiap manusia, lelaki atau perempuan, tua atau muda, tidak kira bangsa dan warna kulit layak untuk mendapat hak kepada pendidikan. Justeru, sesebuah negara juga perlu bertanggungjawab memastikan setiap rakyatnya mendapat hak pendidikan untuk memperoleh ilmu pengetahuan melalui sistem pendidikan yang berkualiti demi membangunkan diri, bangsa dan negara.

Pemerkasaan wanita tidak hanya terhad dalam konteks kebajikan, malah meliputi semua aspek termasuklah Pendidikan. Menyoroti realiti wanita dalam landskap Pendidikan, Malaysia adalah negara yang amat menitiberatkan hak berpendidikan kepada semua rakyatnya. Hal ini termaktub dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak berkenaan pendidikan yang menjelaskan bahawa tidak boleh wujud diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan dan dalam memberikan bantuan kewangan. Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara UiTM, Profesor Dr. Roziah Mohd Janor menerusi Webinar Dialog Kepimpinan Muda dalam Akhbar Utusan Malaysia pada 15 Januari 2022, berkongsi statistik sebanyak 129 juta Wanita tidak bersekolah dan hanya 42 peratus negara yang mencapai kesetaraan gender bagi sekolah rendah. Nafas lega sebagai tanda syukur kerana Malaysia tidak tergolong dalam kelompok negara yang mana wanitanya ketinggalan dalam pendidikan. Hal ini kerana, kerajaan telah sekian lama menguatkuasakan dasar mewajibkan semua rakyat ke sekolah.

Cabaran memperkasakan wanita dalam pendidikan perlu ditangani bersama. Ini kerana, isu diskriminasi hak pendidikan wanita dan anak-anak gadis adalah isu global. Pada 20 Disember 2022 yang lalu dunia dikejutkan dengan isu yang dicetuskan oleh Kerajaan Taliban Afghanistan menerusi satu pengumuman oleh Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem yang telah memutuskan pengharaman terhadap mahasiswa wanita untuk menyambung pengajian di peringkat universiti awam dan swasta secara serta merta. Keputusan ini adalah susulan daripada tindakan menyekat kanak-kanak perempuan untuk menghadiri sekolah rendah dan menengah pada Mac 2022 diikuti dengan larangan wanita memasuki taman permainan dan menggunakan pusat gymnasium serta penyekatan terhadap wanita untuk terlibat dalam bidang kerjaya professional. Ideologi yang cukup ekstrem ini telah mendiskriminasi hak wanita untuk berpendidikan sehingga mengarahkan sekolah-sekolah perempuan supaya ditutup. Dasar ini telah mendapat kecaman oleh pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap tindakan kerajaan Taliban Afghanistan dan desakan demi desakan diberikan agar mereka menarik balik dan mengembalikan semula akses wanita negara itu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Hal ini kerana, dasar tersebut hanya akan melebarkan jurang daya saing di antara gender dari sudut peluang pekerjaan berkualiti, status ekonomi dan sosial sekaligus membantutkan pertumbuhan dan kemajuan negara.

Justeru, pelbagai usaha perlu diambil bagi melengkapkan wanita dengan pendidikan serta menggalakkan penerapan kemahiran dan pengaplikasian pengetahuan tinggi supaya wanita mampu berdaya saing dalam arus globalisasi. Pemerkasaan agenda Pendidikan Untuk Semua yang diperkenalkan oleh The United Nations Educatinal, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) bermatlamatkan memastikan semua rakyat mendapat hak pendidikan tanpa mengira keupayaan dan ketidakupayaan, jantina, keadaan sosial dan ekonomi, latarbelakang etnik dan budaya,serta agama menjadi tanda aras Kementerian Pendidikan Malaysia sekaligus menyahut prinsip agenda ini untuk membangunkan modal insan yang holistik.

Di Malaysia, peningkatan tahap pendidikan akademik dalam kalangan wanita amat membanggakan. Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) bagi tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), sub-indeks pencapaian pendidikan bagi wanita melakar skor 1.059 dengan kadar enrolmen kasar wanita dalam semua peringkat pendidikan rendah, menengah dan tertiari adalah lebih tinggi berbanding lelaki dengan kadar literasi lelaki dan wanita adalah hanya 0.3 mata peratus. Pelbagai faktor memperlihatkan pelajar Wanita mampu mendominasi pencapaian akademik. Menurut Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din seorang Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam akhbar Berita Harian bertarikh 18 Ogos 2020 menjelaskan bahawa pelajar wanita mempunyai keupayaan dalam menguasai pembelajaran dan secara psikologinya, mereka mempunyai kebolehan menggunakan otak melalui dua hala yang membolehkan mereka menguasai maklumat dengan lebih banyak serta mampu membuat pertimbangan dengan lebih baik. Kelebihan ini bukan bertujuan untuk menandingi kebolehan pelajar lelaki, tetapi untuk membuktikan keupayaan Wanita agar mereka dapat mencungkil potensi diri untuk terus belajar.

Pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2022, Prof Dr Saedah Siraj, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya merupakan ahli akademik yang komited menyumbang kepada pembangunan keluarga dan kanak-kanak terutamanya dalam bidang pendidikan, aktif dalam penghasilan buku dan penyelidikan mengenai Wanita dan kanak-kanak dan beliau merupakan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Negara telah dinobatkan sebagai Ikon Wanita bagi kategori Pendidikan. Pencapaian wanita dalam pendidikan memberi seribu satu harapan buat anak muda untuk menyuntik semangat, galakan dan sumber inspirasi kepada mereka agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran untuk menggapai cita-cita yang diinginkan.

Tidak terjangkau dek akal apabila mengimbau keadaan wanita di Afghanistan yang disekat haknya untuk berpendidikan. Bagai tiada sinar dibalik lorong yang gelap. Justeru, pemerkasaan wanita dalam berpendidikan perlu bermula daripada akar umbi dan tanggungjawab ini perlu digalas oleh setiap individu, komuniti, institusi pendidikan, pihak kerajaan dan swasta serta perubahan ini tidak lain tidak bukan perlu diperjuangkan oleh diri wanita itu sendiri. Kesedaran ini perlu disusuli dengan tidakan dan pelan yang sistematik dalam mewujudkan sistem pendidikan yang saksama.  Sistem pendidikan yang saksama menggalakkan pembangunan hidup seperti pengurusan diri, komunikasi, pemikiran kritis yang diperlukan oleh golongan muda untuk berjaya. Kejayaaan dalam memperkasakan pendidikan yang berkualiti ini akan menutup jurang kemahiran, mengembangkan lagi potensi diri sekaligus melahirkan lebih ramai ikon wanita yang berperanan sebagai rakyat yang produktif dalam membangunkan negara.

Pemerkasaan Wanita dalam Ekonomi dan Keusahawanan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dalam Malaysia Women and Girls Forum 2022 pada 15 Disember 2022 menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan tumpuan membina semula struktur sosial secara stratergik dan memperluaskan kuasa ekonomi untuk dimanfaatkan oleh semua keluarga di Malaysia. Disamping itu, dalam Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, sub-indeks penyertaan ekonomi melakar skor 0.738 dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita ditahap yang rendah iaitu 55.3 peratus berbanding negara Asia Tenggara seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus diikuti negara Thailand sebanyak 66.8 peratus. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia serta saranan pihak berkepimpinan ini, kita melihat bahawa agenda pemerkasaan wanita dalam bidang ekonomi dan keusahawanan di Malaysia perlu lebih diperjuangkan dan dipergiatkan.

Demi merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus giat memperkasa golongan wanita untuk menjana pendapatan melalui program keusahawanan Wanita Bangkit pada 13 September 2022 yang lalu dirasmikan oleh mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn World Trade Centre Kuala Lumpur. Program tersebut disertai oleh seramai 1500 orang wanita dengan libatsama Yayasan Kebajikan Negara dan Usanita. Perkongsian tip dan pengalaman, pameran perkhidmatan dan aneka gerai jualan adalah antara pengisian program tersebut. Inisiatif ini adalah langkah berterusan kerajaan untuk meningkatkan golongan wanita untuk melibatkan diri dalam aspek sosio-ekonomi. Disamping itu juga, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah menganjurkan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) yang diadakan untuk memperkasakan peranan wanita menerusi bidang keusahawanan. Turut dilaksanakan sebagai pengisian program tersebut seperti bual bicara bersama tokoh Wanita dan pakar usahawan, pameran dan jualan hasil produk usahawan KEMAS dan demonstrasi kemahiran.

Usaha ini turut mendapat perhatian daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) yang merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan untuk membangunkan dan memperkasa wanita di Malaysia. Selaras dengan visinya Memperkasa Wanita Malaysia (Empowering Women of Malaysia), kelab ini turut membantu memperkasa ekonomi ahlinya menerusi pelbagai program dan aktiviti berbentuk kursus, misi bantuan, seminar, festival usahawan dan banyak lagi bagi mewujudkan golongan wanita yang berdaya saing untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna seperti Kursus Sijil Kemahiran Malaysia Operasi Pemasaran dan Jualan anjuran KWIM Johor secara percuma untuk membantu wanita menaik taraf pendidikan perniagaan yang diceburi. Selain itu, KWIM juga akan melaksanakan Kursus Pendidikan, Motivasi dan Latihan Teknikal dalam Pemasaran Digital pada 19 Januari sehingga 22 Januari 2023 dibawah Program Transformasi Wanita Digital yang menfokuskan kepada teknik pengurusan perniagaan dan stratergi pemasaran digital.

Di Sarawak pula, usahawan wanita diseru untuk turut menyumbang kepada pertumbuhan negeri dan melibatkan diri dalam sektor ekonomi termasuklah pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan. Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), telah menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dalam Majlis Perasmian Persidangan Keusahawanan Wanita Dewanita (DUBS) 2022 untuk melaksanakan program pembangunan bagi meneroka peluang dan ruang untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita dan mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang baik bagi negeri tersebut.

Langkah merealisasikan hasrat murni kerajaan ini disahut baik oleh Institusi Pendidikan Tinggi yang komited dan tidak mahu ketinggalan dalam mengagendakan pemerkasaan wanita di Malaysia dalam aspek ekonomi dan keusahawanan. Di peringkat universiti, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mewujudkan jaringan Keusahawanan dan Kepimpinan Wanita (WELL) melalui Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) dengan Kerjasama Women Leadership Foundation (WLF), Women Institute (WI), Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) dan pelbagai persatuan Wanita dan NGO. Pelaksanaan di bawah Program Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita 2022 ini bertujuan untuk membuat kajian dan menyumbang idea berkaitan kepimpinan dan keusahawanan wanita sekaligus membantu memperkasakan keusahawanan wanita di negeri Kelantan. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga senada dalam usaha pemerkasaan ini dengan penganjuran Program Memperkasa Wanita Dalam Keusahawanan dengan kerjasama dengan pemain industri untuk menyokong pembangunan komuniti wanita kearah melahirkan wanita yang kompetetif, berdaya maju dan berfikiran global.

Terdapat banyak lagi agensi-agensi yang melibatkan Badan kerajaan, kepakaran ahli akademik, NGO dan sukarelawan yang aktif melakukan anjakan paradigma demi melihat wanita Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dalam aspek ekonomi dan keusahawanan. Rentetan daripada pelaksanaan oleh pelbagai pihak menerusi anjuran pelbagai program yang menfokuskan kumpulan sasar iaitu golongan wanita dan gerak kerja yang dilaksanakan secara sistematik dilihat memberi nafas baharu untuk membantu lebih ramai wanita dari sudut sumber kewangan, menggalakkan lebih ramai usahawan baharu dan tenaga pengajar. Ia juga merupakan platform untuk usahawan wanita belajar, berkongsi dan memperkasakan antara satu sama lain, menyumbang idea serta merancang stratergi pembaharuan. Oleh yang demikian, agenda pemerkasaan ini juga perlu disambut baik, disokong sepenuhnya dan disertai oleh golongan wanita demi memajukan diri dan membangunkan negara.

Pencapaian dan kecemerlangan wanita tempatan dalam dunia keusahawanan dan perniagaan juga perlu dijadikan inspirasi seperti Puan Siti Fatimah Abdul Samat pengasas jenama baju Sabella dengan slogannya Baju Kurung Tak Perlu Gosok, Puan Siti Roihan pengasas Akademi Latihan berfokuskan latihan perniagaan yang dikenali sebagai Roihan Basaroy Academy, Noor Neelofa Mohd Nor selebriti tanah air dan usahawan terkenal dengan produk Lofalens, Naelofar Hijab dan Beautea Slim, dan Zamanila Tukiman penerima anugerah Ikon Wanita (Ekonomi) dalam Sambutan Hari Wanita 2022, serta ramai lagi figura wanita yang membanggakan dalam bidang keusahawanan ini untuk menjadi pemangkin usaha berterusan oleh golongan wanita. Kejayaan demi kejayaan yang ditonjolkan pasti ada permulaan pahit dan jerih yang menyuntik semangat untuk berkorban sehingga melakar nama di peringkat antarabangsa.

Wanita Mendepani Isu Sosial

Stereotaip gender di dalam institusi sosial telah mewujudkan persepsi mengenai wanita dalam pelbagai sudut. Sebagai contoh, kepercayaan bahawa wanita lebih sesuai menjadi surirumah dan hanya berperanan dalam hal-hal domestik daripada bekerja sangat berleluasa terutamanya daripada pelbagai lapisan masyarakat konservatif mahupun moden. Wanita juga dikatakan cenderung dengan sikap pasif dan lemah menjadikan ada posisi tertentu untuk wanita dalam ruang lingkup kerjaya professional. Kesan diskriminasi ini menjadikan wanita terdedah dengan gangguan seksual di rumah, sekolah dan tempat awam. Bahkan lebih membimbangkan kita menyaksikan banyak isu yang tercetus rentetan peristiwa gelap yang masih lagi tidak berkesudahan seperti penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan, keganasan rumah tangga dan pengeksploitasi wanita seperti pemerdagangan manusia.

Menyedari realiti yang berlaku, sokongan pelbagai pihak sama ada individu mahupun organisasi dalam memberi kesedaran, menyalurkan bantuan serta sokongan yang padu terhadap pemerkasaan wanita perlu giat dilakukan. Tanggungjawab yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pembangunan Wanita, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus komited memperkasakan wanita dari sudut sosial dengan menganjurkan Kempen Bersama Hentikan Keganasan Terhadap Wanita pada 25 November 2022 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran secara menyeluruh dalam menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkkan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 yang memberi perlindungan kepada sesiapa yang diganggu secara seksual tanpa mendiskriminasi sesiapa. Disamping itu juga, kerajaan menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling melalui Talian Kasih 15999 atau menerusi aplikasi Whatsapp 019 261 5999 untuk sebarang pengaduan dan laporan berkaitan salah laku melibatkan penderaan dan eksploitasi wanita. Sukarelawan Skuad Wanita Anti Jenayah atau dikenali sebagai Skuad WAJA adalah skuad sukarelawan di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Wanita (JWP) yang berperanan sebagai ejen kerajaan dalam komuniti bagi membantu meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat mengenai jenayah melalui program bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.

Dalam merealisasikan sebuah negara yang memperkasakan kesaksamaan gender, setiap individu perlu menyuntik norma dan kelaziman baru dalam sudut pandang kedudukan, peranan dan sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dan persekitarannya. Sikap prejudis dan streotaip yang disemai dan berakar kuat dalam benak fikiran masyarakat kita menyebabkan kemampuan dan keupayaan diri wanita sering dipersoal. Justeru, masyarakat mesti meninggalkan norma lapuk yang menghalang dan mengehadkan sumbangan bakat serta kepakaran wanita untuk perkembangan masyarakat.

Rentetan itu, sudah tiba masanya, wanita perlu keluar dari zon ketakutannya untuk perkasakan keupayaan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk lebih maju dan berani. Masyarakat juga tidak seharusnya berdiam diri serta perlu bersikap ambil tahu dan peduli dalam menangkis kezaliman dengan berkerjasama melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa. Pemerkasaan ini juga perlu bermula dari rumah dengan memberi pendedahan peraturan keselamatan kepada anak-anak seperti tidak berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali, tidak keluar tanpa berteman dan sentiasa memberitahu ibu bapa apa yang didengar dan dilihat. Disamping itu juga, ibubapa perlu memberi pendedahan mengenai jenayah seksual kepada anak-anak berkenaan sentuhan selamat yang dibenarkan, peka dengan keberadaan anak serta mengenalpasti perubahan tingkah laku seperti perlakuan lucah. Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat dan setiap ahli keluarga sepatutnya menyokong advokasi wanita dan bukannya menjadi penyebab kemunduran wanita. Hal ini berikutan terdapatnya isu penderaan seksual oleh bapa atau ahli keluarganya sendiri. Menjadi satu tanggungjawab untuk kita memelihara lima maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan maruah daripada sebarang bentuk ketidakadilan dan pencabulan hak. Wanita adalah insan yang perlu disantuni dan bukannya untuk dikasari.

Tuntasnya, meneliti satu demi satu usaha agenda pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek ini, kita melihat bahawa perjuangan ini perlu digerakkan dan direalisasikan bersama. Sikap ambil tahu dan cakna tentang isu yang berlaku disekeliling kita membantu meningkatkan kesedaran memperkasakan wanita sama ada melalui bantuan fizikal mahupun wang ringgit tanpa secebis rasa diskriminasi dan berat sebelah. Perjuangan nenek moyang dahulu telah membuktikan betapa perih dan pahitnya hidup apabila hak mereka tidak terbela bahkan ada yang bertarung nyawa menuntut hak mempertahankan wanita. Kini, kita tidak mahu generasi kita ditimpa nasib yang sama. Pemerkasaan wanita dalam pelbagai aspek ini bukan lagi tentang persaingan siapa lebih hebat, kuat dan mendominasi sesuatu perkara. Akan tetapi pemerkasaan ini berkisar tentang keupayaan setiap individu wanita yang dilihat bernilai dan berharga yang perlu digilap, dicungkil, diarusperdanakan dan dipacu untuk memberi bakti dan sumbangan kepada diri, keluarga, komuniti dan pembangunan negara.

Siti Nur Ismah Binti Fauji

Pemenang kedua Pertandingan Esei PenaWan

Tema: Pemerkasaan Wanita