November 23, 2024

JADI cikgu? Tiadapun dalam kamus kehidupanku.

Sebenarnya selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku sekadar mengisi semua borang untuk ke universiti dan maktab pergurun. Sebenarnya impian aku hendak masuk ke universiti.  Namun kita hanya merancang, akhirnya aku terpilih untuk masuk ke maktab. 

Alhamdulillah selepas masuk ke maktab, barulah terbuka pintu hati untuk belajar menjadi cikgu. Aku biasa dengar kata-kata pujangga ‘ Guru ibarat lilin yang membakar diri menerangi kegelapan’. Semasa studi  aku tidak merasai itu semua, tetapi apabila telah betul-betul menjadi pendidik, baru aku dapat memahami maksudnya yang sebenar.  Hal tersebut cukup memaknai kehidupanku selepas itu. 

Semasa aku mengisi borang permohonan ke maktab perguruan, aku memohon subjek Matematik dan Reka Bentuk & Teknologi (RBT). Aku sangat suka Matematik tetapi ternyata bukan rezkiku. Rezeki aku pada RBT. RBT adalah kursus major  aku di maktab. Aku ingatkan RBT ini lebih kepada lukisan kejuruteraan sebab aku sangat minat melukis. Rupa-rupanya  RBT ialah subjek Kemahiran Hidup (KH). 

RBT adalah bidang kemahiran seperti bertukang, memasak, menjahit dan melukis. Melukis pulak perlu menggunakan software autocad. Allah bagi dua dalam satu kepada aku. Dahulu pernah terdetik di dalam hati,  tukang jahit antara yang tersenarai dalam karierku. 

Alhamdulillah Allah memberi pakej kepadaku, dengan menjadi cikgu aku dapat belajar sedikit sebanyak tentang ilmu menjahit. Manakala kursus minorku ialah Pendidikan Jasmani  (PJ) dan Bahasa Melayu. 

Aku belajar di Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn (IPTHO). Semasa aku mula masuk ke sini, nama institut ini dinaiktaraf. Dahulu institusi ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Batu Pahat. 

Di IPTHO akan ada tutor untuk setiap kelas. Mereka akan mengambil berat tentang pelajar sepanjang tempoh pengajian.  Kami memanggil tutor dengan panggilan mama kerana beliau cadangkan begitu. Tetapi apabila berada di dalam kelas, kami bahasakan tutor kami dengan namanya, Puan Fuziah. Aku memang admire dengan mama.

Walau bagaimanapun, ada sahaja dalam kalangan kami  yang tidak menyukai beliau, tetapi bagi aku, mama telah menggalas tanggungjawab sebagai ibu kedua kami sebaiknya. Sebarang masalah kami akan kongsikan dengan mama. Mama akan memberikan nasihat dan pendapat yang cukup menenangkan kami. 

Kursus perguruan ini memakan masa selama lima tahun setengah. Satu tahun setengah bermula dengan pra. Sekiranya lulus, baru ditawarkan untuk ijazah sarjana muda selama  empat tahun. Aku bermula tahun 2008-2013. 

Terlalu banyak kenangan indah semasa aku belajar di sini. Antaranya, aku bersyukur kerana dapat bertemu dengan Ummi Pauziah. Ummi Pauziah juga pensyarah di IPTHO.  Tarbiah yang mendidik aku menjadi diriku yang sekarang. Walapun  asasnya aku dari sekolah agama dan sudah biasa dengan perkataan ‘usrah’ tetapi tidak sama seperti yang aku peroleh di IPTHO. Allah hadirkan  ummi untuk aku kenal jalan dakwah ni. Pertama kali aku ‘ didekati’ ummi, aku sempat keluar usrah. Sehinggalah aku diketuk kembali dengan satu moment. Nyaris aku menyimpang dari kebiasaan aku sebelum ini. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan aku 😭. Aku kembali meneruskan perjuanganku bersama teman-teman yang lain dalam jalan dakwah ini. 

Ada dua perkara yang aku rasa paling tidak menyeronokkan di sini. 

Pertama, aku kena belajar Bahasa Inggeris(BI). Setiap kali kelas BI, jantungku terasa berdebar-debar dan seperti mahu terkeluar kerana aku perlu speaking. Nervous tapi nak tak nak terpaksa juga belajar. 

Manakala perkara kedua ialah kelas autocad. Kelas ni kelas yang membuatkan aku menangis. Aku merasakan autocad sangat susah. Walaupun aku suka melukis, tapi aku perlu melukis dengan menggunakan komputer. Aku memang tidak mahir menggunakan komputer. Setiap kali orang lain dapat  buat apa yang disuruh oleh pensyarah, aku akan menggelabah dan nervous sebab aku tidak dapat ‘pick up’ apa yang pensyarah ajar. Susah sampai aku menangis semasa belajar. Tetapi alhmdulillah, akhirnya aku lulus juga subjek ini. 

Masih segar dalam ingatan, sebelum tamat belajar, aku berbincang dengan Ummi tempat yang sesuai untuk aku memulakan kerjaya. Ummi mencadangkan aku memilih Johor supaya aku boleh meneruskan dakwah di Johor. Jadi, pilihan pertama aku adalah Johor. Seminggu sebelum penempatan keluar, Kementerian Pelajaran mengumumkan aku di tempatkan di Johor. 

Pada  29/3/14, keputusan telah keluar. Aku ditempatkan  di Sekolah Kebangsaan Pendas Laut. Terus aku google dan membuat carian  di FB nama sekolah berkenaan. Aku jumpa FB Sekolah ni. Belek, dan tengok gambar-gambar sekolah tersebut.

‘Wahhh, untuk sampai ke sekolah ni, aku perlu menaiki bot! Macam tak percaya di Johor Bahru . Ingatkan di pedalaman’ detik hatiku. 

Aku terus menghubungi sepupuku yang berkerja  di area Skudai, memaklumkan tentang penempatanku. Berbekalkan kata-katanya, aku pasrah dengan kehendak-Nya. Mungkin inilah tempat terbaik untuk aku berbakti. Aku tidak kisah ke sekolah walaupun dengan menaiki bot sekalipun, sebab aku sudah biasa dengan sungai. Bagi aku yang  penting, aku berjaya ditempatkan untuk mengajar. Batch aku antara yang awal  mendapat tempat mengajar berbanding batch sebelum kami.  Mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan  untuk mendapat tempat mengajar. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. 

Hari pertama ke tempat mengajar, guru besar mengambilku di Sekolah Kebangsaan Skudai. Aku mengikuti kereta beliau dari belakang untuk ke Sekolah Kebangsaan Pendas Laut. Hutan di kiri kanan sepanjang perjalanan ke sana, Sehinggalah sampai ke penghujung jalan, bot sudah menunggu kami. Aku dan famili dipersila naik sehinggalah sampai ke sekolah tersebut. 

‘Wow, tak sangka sekolahnya begini!’. Aku teruja setelah melihat sekolah itu. Kagum pun ada, sebab tak sangka dapat pengalaman sebegini. Aku sampai ke sekolah sudah  tengahari untuk melapor diri. Sekolahnya kecil sahaja. Satu bangunan atas tanah, yang menempatkan kelas, pejabat dan bilik Guru Besar. Bilik guru berada di sebelah atas sedikit daripada bangunan kelas kerana kawasan sekolah itu berbukit. 

Aku belum melawat persekitaran cuma memandang sekilas lalu sahaja sebab datang hanya untuk melapor diri . Semasa melapor diri, aku sempat berkenalan dengan beberapa guru dan kerani. Mereka semua ramah. Salah seorang darinya telah menolong menyediakan tempat tinggal untukku. Aku akan menyewa rumahnya. Allah mudahkan aku memperoleh tempat tinggal. Alhmdulillah. 

Hari pertama persekolahan, aku berkenalan dengan guru-guru dan murid-murid.  Aku sangat nervous dan rasa janggal. Aku agak pendiam juga sepanjang menjadi guru baru di situ. Walhal, guru-guru semua sangat baik dan peramah. Aku cuba untuk ‘masuk’ dalam suasana tersebut walaupun terasa kekok. 

Untuk pengetahuan, sekolah ini tidak ada kelas individu. Satu kelas dibahagi dua. Muridnya memang tidak ramai. Paling kurang, satu darjah cuma ada tiga orang murid sahaja, OMG. Guru pula mengajar sebelah sebelah sahaja. Memang pengalaman yang tidak akan aku lupa sampai bila-bila. 

Dan sekarang ia telah menjadi kenangan yg abadi. Aku tidak akan dapat merasa lagi suasana sebegitu. Semuanya telah lenyap dan luput. Sekolah tersebut terpaksa berpindah tapak. Kami akan diberikan sekolah yang lebih besar dan beberapa kemudahan lain yang disediakan. 

Paling sedih sebab sudah tidak dapat merasai lagi keindahan tepi laut dan keseronokan menaiki bot. Akanku simpan kemas-kemas kenangan indah dalam memoriku. 

Sekolah ini kebanyakannya  anak-anak nelayan. Pendapatan diperolehi melalui hasil laut. Murid-murid di sini masih boleh dikawal kenakalannya tidak seperti di bandar. 

Alhmdulillah, luaran mereka okay cuma dalaman mereka sangat tidak okay. Kebanyakan murid-murid tidak solat. Tanya punya tanya rupanya ibubapa mereka pun tidak solat. Inilah cabaran kami sebagai guru di sini. Rohani mereka sangat kurang. Setiap kali mengajar, kami sentiasa menerapkan jiwa mereka berkaitan dengan kehidupan beragama. 

Pengalaman yang paling mencabar sepanjang tujuh tahun di sini ialah memastikan murid-murid menerapkan nilai-nilai yang kita sudah ajar. Ia bukan sesuatu yang mudah. Mereka sekejap sahaja sudah lupa apa yang kita sampaikan. 

Kami perlu selalu cakap dan ingatkan. Jika tidak, mereka akan kembali kepada perangai lama. Memang jenuh, cemuih kata orang utara,  sampai berbuih mulut. Mana yang ingat, ok lah. Mana yang tidak ingat, aku sudah mula bertukar menjadi singa. 

Ibrah yang aku peroleh berdasarkan pengalaman di sini, 

1)Persekitaran memainkan peranan kemenjadian seseorang murid. 

2) Tidak boleh memandang enteng dengan setiap masalah yang dihadapi murid. 

3) Kawal perasaan walaupun tahap kesabaran semakin merudum apabila berhadapan dengan murid yang nakal. 

4) Perlu selidik apabila murid memberi keterangan terutama berkaitan dengan pergaduhan/tuduhan mencuri 

5)  Terapkan nilai agama semasa mengajar walaupun mata pelajaran tidak berkaitan dengan agama. 

6) Tunjukkan contoh teladan yang baik kepada murid-murid  terutama apabila bercakap. Kita elakkan menggunakan kata-kata kesat/kurang enak didengar. 

7) ‘Masuk’ dalam kasut murid ‘ apabila mereka hendak berkongsi tentang permasalahan/cerita mereka. 

Nukilan

Dyaa Yusof