November 24, 2024

Banduan Akhir

Langkah Hani terasa longlai. Ini kali keenam dipanggil mahkamah. Mungkin kali ini Hani tahu, hukuman gantung sampai mati akan dijatuhkan juga setelah dipenjarakan selama enam tahun.

Mulut Hani tak henti-henti berzikir. Alhamdulillah, akhirnya Hani insaf jua. Beberapa minggu lepas, Hani dah kecewa untuk teruskan hidup.

“Hani kena yakin. Allah tu Maha Pengampun. Allah sahaja tempat kita mengadu,” mengimbau kembali kata-kata semangat Ummi.

Kini dalam hidup Hani ada dua insan yang sering memberi kata-kata semangat padanya – Ummi dan Ustazah. Sebenarnya Hani dah mula kecewa dengan bantuan Allah. Dia amat kecewa dengan kehidupannya.

“Mengapa saya dihukum kerana kesalahan yang tidak saya lakukan?!” Hani membentak.

Ustazah dan ummi tak ada jawapannya. Ini bukan ruang lingkup tugasan mereka. Mereka cuma memberi kata-kata pengharapan pada Banduan Akhir….kategori banduan yang melakukan jenayah berat yang telah melalui proses kehakiman selama bertahun-tahun, sebelum disabitkan kesalahan dan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah.

Hani mengimbas detik dan ketika semasa beliau diberkas polis. Hani seorang jururawat. Satu hari ada jenazah seorang kanak-kanak tiba di hospital. Hani memeriksa jenazah tersebut. Dia terkejut kerana itu adalah anak kepada teman lelakinya. Dia kenal sangat dengan budak tu.

Tiba-tiba beberapa anggota polis datang menyerbu masuk dan menangkap Hani atas tuduhan mendera dan membunuh kanak-kanak itu. Boleh agak siapa yang buat laporan sedemikian… Bapa budak tu sendiri, Johan.

Johan ni sudah bercerai tapi hidup macam orang muda dan memiliki beberapa orang teman wanita, Hani salah seorang teman wanitanya.

“Ustazah…ummi….saya dah banyak melakukan maksiat. Saya sering minum arak dan melakukan maksiat zina dan seumpamanya. Mungkin ini balasan Allah pada saya.”

“Sabar Hani. Selalu berzikir dan beri tumpuan pada Allah. Esok pembicaraan terakhir. Apa-apa pun Allah tu Maha Berkuasa dan Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya yang merintih.”

Hani anggukkan kepalanya. Kini Hani mula terfikir untuk benar-benar bertaubat dan harapkan pertolongan daripada yang Maha Esa.

“Ya Allah. Engkau tahu, aku tidak membunuh budak tu. Namun aku mengharapkan keampunan daripada-Mu atas kesalahanku yang lepas, atas maksiat yang aku pernah lakukan. Jika aku dijatuhkan juga hukuman gantung ni atas kesalahan yang aku tak buat, aku reda. Tapi aku tahu Engkaulah tempat aku mengharapkan keadilan. Jika tak dapat di dunia…di akhirat kelak.”

Ummi pernah menerima pesanan ringkas ini daripada Hani, “Kadangkala kita diuji dengan sesuatu yang tidak pernah kita duga. Kita memberontak, kita persoalkan kenapa kita diuji. Tanpa kita sedar, di sebalik ujian Allah itu terselit seribu satu hikmah.”

Ummi terharu menerima pesanan ringkas itu. Dia panjatkan kesyukuran pada Allah kerana Hani telah faham maksud ujian dan hikmah. Ummi reda tentang apa jua keputusan pengadilan esoknya. Kini Hani banyak mengingati mati dan berusaha melakukan taubat dan menambah amalan sunatnya.

Hani terkenang hadis yang pernah dipelajari daripada Ummi dan Ustazah.

Rasulullah SAW pernah ditanyakan seorang Ansar, “Wahai Nabi Allah! Siapakah orang yang paling bijak?” Baginda bersabda: “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan bersedia untuknya. Itulah orang yang bijak.” (HR Ibnu Majah)

Teringat juga ayat al-Quran surah Hud ayat 3 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus).”

Mahkamah sudah melakukan yang terbaik. Prinsipnya, biarlah lepaskan orang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Itu yang bertahun-tahun Hani berada dalam penjara dan akhirnya ditempatkan dalam bilik Banduan Akhir setelah didapati bersalah.

Rayuan demi rayuan telah diutarakan. Kini tibalah masa yang amat ditakuti oleh semua Banduan Akhir. Jika rayuan tidak diterima, tarikh ke tali gantung akan ditetapkan. Biasanya jika orang Islam, waktu banduan digantung antara jam 6.00 hingga 7.00 pagi.

“Cik Hani binti Bujang.”

“Ya tuan hakim,” jawan Hani dengan nada yang sayu. Dalam mahkamah cuma ada tunangnya sahaja yang menunggu dengan penuh kesetiaan. Ibu bapanya tidak datang kerana tinggal berjauhan.

“Setelah meneliti kes Cik Hani ini dan atas bahan-bahan bukti yang dikemukakan, dengan ini cik Hani dibebaskan.”

Hani macam tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Dia menoleh pada tunangnya. Dia perasan tunangnya menggerakkan bibirnya. Air mata berlinangan dipipinya.

“Awak dibebaskan.”

Mengapa keputusan hakim akhirnya menyebelahi Hani…sehingga sekarang Hani tak dapat menduga.

Hanya satu ungkapan sahaja yang keluar daripada mulutnya sambil mengesat air matanya yang tidak putus-putus berjujuran…”Alhamdulillah.”

*Nota: Cerpen ini berasaskan kisah benar tetapi nama-namanya adalah rekaan semata-mata agar tidak serlahkan aib empunya badan.

Cerpen oleh:
Dr Hishamuddin Alham
Mantan Pensyarah Kanan, UTM Skudai