November 22, 2024

Romantisnya Berumahtangga

Penulis: Suami Biasa

“Saya pastikan isteri saya ikut apa yang saya kata. Kita tak boleh kena queen control.”

Seringkali, inilah jawapan yang lazim diterima apabila Sang Suami ditanya, “Ada bantu isteri dalam urusan di rumah?”

“Oh! I tak naklah jadi hamba pada isteri. Itu kerja orang perempuan. Kita ni mesti tunjuk kita ni jantan. Barulah isteri takut pada suami.”

Aku juga suami. Namun dalam hatiku terdetik, “Patutnya, isteri bukan takut pada suami, tetapi hormat pada suami. Isteri lakukan apa yang dilakukan di rumah bukan kerana takutkan suami, tetapi sayangkan suami. Sayang itu pun kerana Allah swt. bagi mendapatkan keredhaan Allah swt. Manakala suami pula membantu isterinya bukan kerana takutkan isteri tapi lebih kerana mahukan keredhaan Allah swt. Barulah cantik hubungan suami isteri.”

Masing-masing suami dan isteri berlumba-lumba beramal demi meraih cinta Allah s.w.t. Apabila Allah sayang, rumahtangga akan bahagia. Barulah tercapai suasana ‘Rumahku Syurgaku’.

Apabila suami berjauhan, isteri akan telefon selalu. Suami juga rindu mahu kembali. Aku teringat ibuku yang sentiasa teringatkan suaminya yang sudah lama meninggal dunia. Ibuku sering menceritakan perkara ni padaku.

“Abah ngko dulu, apabila kerja kat Sarawak, selalu hantar surat. Hampir setiap dua hari ada surat. Sampai posmen pun perasan.”

Aku tersentak. Pada masa tu manalah ada whatsapp. Telefonpun tidak ada. Hanya surat jadi pengganti diri.

Begitulah cantiknya hubungan suami isteri hingga terkesan dalam jiwa Sang Anak. Anak tidak belajar daripada apa yang dikatakan, tetapi daripada apa yang dilakukan. ‘Action Speaks Louder Than Words’.

Mari kita kaji contoh keindahan akhlak Rasulullah S.A.W. yang tercipta bukan semata-mata kerana ingin menjaga hati isteri, sebaliknya keindahan akhlak ialah fitrah yang terbit jauh dari lubuk hati. Daripada keindahan hati itu, terpancar segala keindahan setiap umat manusia yang memandang, bahkan keindahan akhlak berkenaan diakui semua makhluk Allah SWT.

Di medan jihad, Baginda S.A.W ialah panglima perang pemberani sementara di rumah, beliau adalah sosok yang romantis dan lembut terhadap isterinya, sebagaimana dalam hadis:

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى. رواه الترمذى
Artinya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR. At Tirmidzi).

Aisyah berkata : “Pernah aku minum, sedangkan aku pada saat itu sedang haid. Kemudian aku memberikan minuman tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dari bejana yang sama, di mana beliau menempelkan mulutnya persis di tempat bekas aku minum, lalu beliau minum.” (H.R. Muslim)

Suami seharusnya mengemudikan rumahtangganya seperti Rasulullah saw. Cukup romantis dan membahagiakan. Bukan hanya harapkan isteri menjadi seperti Aisyah r.a namun dirinya bagaimana? Masih di takuk lama, asyik mencontohi orang tuanya yang kadangkala jauh dari apa yang dianjurkan dalam Islam. Rasulullah S.A.W. seharusnya dijadikan teladan. Kelak nanti anak-anak akan mudah mengikuti jejak langkah kita dan akhirnya terdorong menghayati akhlak Rasulullah S.A.W.