Sat. May 4th, 2024

Sembang Santai

‘Isu-isu masyarakat yang menggugat. Apa yang mampu diubat?’

Alhamdulillah telah berlangsung pada 23 Julai 2023 program berbentuk ‘Sembang Santai’ bertemakan ‘Isu-isu masyarakat yang menggugat. Apa yang mampu diubat?’ Program bertempat di Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya ini telah dihadiri hampir 50 peserta bersemuka dan juga dalam talian (online).

Perkongsian bersama aktivis dan seorang ‘enabler’ masyarakat Datin Fauziah Ramly memberi satu suntikan inspirasi dan motivasi untuk terus berbakti kepada masyarakat. Sembang Santai ini diharapkan dapat membuka mata dan minda semua akan isu-isu yang melanda masyarakat kita.

Banyak yang boleh dipelajari daripada apa yang disampaikan.

Wanita berusia 76 tahun ini tidak mengenal erti penat lelah. Dalam usia sebegini pun masih ke sekolah-sekolah, ke institusi-institusi, termasuk institusi pengajian tinggi malah sampai ke penjara untuk menyebarkan ilmu dan membelai mereka supaya menjauhi kemungkaran dan kembali ke pangkal jalan.

Turut hadir bersama Datin ialah Rashidi, seorang anak muda lelaki OKU Penglihatan. Dijadikannya sebagai anak angkat, Rashidi dengan penuh kasih sayang diberikan keyakinan diri, kemahiran agar mampu berdikari dalam menyara hidup. Juga hadir ialah Meg Richy, seorang juru psikoterapi wanita.

Datin Fauziah (lebih selesa dipanggil umi atau kak Fauziah) mengatakan semua orang mampu berperanan untuk menyedarkan masyarakat dan bergerak ke arah mencari penyelesaian dalam menangani penyakit dalam masyarakat. Institusi atau agensi, orang awam, penjawat awam, agensi kerajaan malah para agamawan perlu menggembeling tenaga bersama-sama secara erat menangani segala isu masyarakat yang menggugat.

Tambah beliau lagi, kepentingan ilmu perlu ditekankan kepada setiap lapisan masyarakat terutama pemimpin masyarakat yang perlu memimpin berpandukan fakta, data dan bijaksana bukan semata-mata mengikut emosi.

Datin Fauziah juga berpesan agar kita menjadi seorang ‘enabler’ yang membantu dan membuka peluang baik untuk orang lain. Bukannya ‘influencer’ sebab bimbang termasuk perangkap sifat riya’ dan ujub dalam jiwa.

Beliau juga mengingatkan segala amal harus dilakukan hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. bukan kerana harapkan sanjungan dan pujian. Jangan mudah berputus asa dalam mengerjakan amal kebajikan walaupun diejek, diherdik dan dicaci.

Di akhir program, peserta didengarkan satu puisi yang amat menyentuh hati daripada Rashidi bertajuk ‘Emak’. Puisi ini didedikasikan khusus untuk ibunya yang telah dijemput ilahi akibat Covid.

Meg juga turut memberi sedikit perkongsian berkaitan dengan soalan daripada peserta. Perkongsian daripada Meg juga amat menginspirasikan para hadirin.

Turut bersama menjayakan program ialah:

Surirumah Rahmah(SRR)

Teratai (Teratak Rahmah Wanita Islam))

Malaysians Against Pornography(MAP)

Persatuan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM)

AGENDA