December 3, 2024

Islam adalah agama rahmatan lil alamin. Islam diturunkan bagi menyempurnakan akhlak manusia serta mengatur tujuan hidup di dunia supaya menjadi lebih harmonis dan damai. Begitulah kehadiran Islam untuk memperbaiki darjat dan perlakuan manusia terhadap wanita. Allah SWT dalam al-Quran menjelaskan, kedudukan wanita dalam Islam sama dengan lelaki. Wanita diciptakan sebagai pasangan buat lelaki. Ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13) 

Islam membawa perubahan besar dan signifikan pada status wanita. Sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang hina. Kelakuan orang kafir Quraisy terhadap wanita sangatlah keji. Wanita seolah-olah tidak berhak untuk hidup. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan, sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah An-Nahl, ayat 58-59) 

Allah SWT juga menceritakan hal yang sama bagaimana orang-orang kafir sebelum kedatangan Islam memperlakukan wanita. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh.” (Surah At-Takwir, ayat 8-9) 

Pada zaman jahiliah, wanita tidak diberikan warisan kerana harta itu hanya untuk lelaki. Wanita sama seperti barang yang boleh dijual beli dan diwariskan. Seperkara lagi, ketika suaminya meninggal dunia, si isteri boleh diwariskan kepada orang lain sama seperti hartanya. Dalam Surah Ali-Imran, ayat 195, Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.” (Surah Ali-Imran, ayat 195) 

Begitu juga dalam sabda Rasullulah SAW yang bermaksud: 

“Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis berkenaan, jelas menunjukkan Islam memartabatkan wanita dan tidak membezakan mereka dengan lelaki khususnya dalam perkara membabitkan ibadat. Mereka mendapat ganjaran di sisi Allah SWT mengikut amalan masing- masing. Allah SWT memerintahkan bagaimana sepatutnya wanita diperlakukan menerusi firman-Nya yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa, ayat 19) 

Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah, yang akan membahagiakan syurga di dalam rumah tangga. Begitulah bait-bait lirik nasyid daripada kumpulan Inteam yang menyeru nasihat dan dakwah mengenai wanita solehah. 

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: 

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (Riwayat Muslim, No 715) 

Wanita solehah adalah seorang yang bertakwa. Dia melakukan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang. Menutup aurat mengikut syarak adalah antara suruhan Allah SWT kepada semua Muslimah. 

Ketika zaman jahiliah dalam masyarakat Arab, kedudukan wanita dipandang rendah dan tidak diberi belas kasihan kerana masyarakat pada zaman tersebut beranggapan wanita tidak mempunyai hak dan kebebasan dalam politik, ekonomi, dan sosial. 

Status wanita pada zaman tersebut merupakan yang paling bawah dalam hieraki sosial dan dikatakan sama taraf dengan golongan hamba. Kemunculan Islam telah memberi sinar kepada golongan wanita dan mengangkat martabat mereka. Walaupun terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan daripada segi peranan dan tanggungjawab namun mereka saling lengkap melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud: 

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain; Mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; Dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah, ayat 71) 

Kini, golongan wanita moden telah bangkit dan sedar tentang hak-hak mereka. Sedangkan Islam telah memperkasakan kedudukan wanita sejak datangnya Islam. Islam satu-satunya agama yang sejak awal telah meletakkan wanita pada satu kedudukan yang sangat mulia. Rasulullah SAW juga sering mengingatkan umat Islam menghargai dan memuliakan kaum wanita. Ini jelas dalam beberapa hadis. Antaranya ;

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita.” (HR Muslim) 

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” (HR Tirmidzi, dinyatakan shahih oleh Al Albani dalam “as-sahihah”) 

Islam juga memperkasakan wanita dengan peranan-peranan yang telah ditentukan oleh syarak. Ia merangkumi peranan wanita dalam rumah tangga, negara dan masyarakat. Peranan tersebut adalah: 

1) Ummu WA Rabbatul Bait (ibu pengatur rumah tangga) 

“Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan dmunta pertanggungjawaban atas pengurusannya.” (HR Muslim) 

2) Pendakwah 

“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajkan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang- orang yang berjaya.” (Ali-Imran, ayat 104) 

3) Berpolitik 

“Sesiapa saja yang bangun pagi dengan perhatiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namun tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin maka ia bukan dari golongan mereka.” (HR. Al Hakim) 

Wanita adalah aspek penting untuk kemajuan sesebuah keluarga, bangsa dan negara. Keadaan yang berlaku di dalam rumah sebenarnya cerminan kepada persekitaran yang berlaku di luar rumah. 

Istilah pemerkasaan wanita merujuk kepada persepsi untuk melihat wanita sebagai isteri dan ibu dilayan, dan bagaimana keadilan dipertontonkan kepada anak lelaki dan perempuan dirumah. 

Selain itu, pemerkasaan juga penting bagi meningkatkan tahap kesedaran wanita berkenaan kepercayaan, perwatakkan dan nilai. Bukan itu sahaja, pemerkasaan wanita juga dapat dibentuk melalui pendidikan, idea, kesedaran dan mobiliti bagi membolehkan wanita membuat keputusan sendiri dengan penuh keyakinan. 

Isu pemerkasaan wanita perlu terus diperjuangkan dan semua pihak tidak harus memandang remeh perkara ini. 

Seperti kita sedia maklum, usaha dalam memperkasakan wanita telah pun bermula sejak kedatangan Islam. Namun, kelemahan dalam penghayatan nilai-nilai Islam telah meruntuhkan kedudukan wanita dengan menyekat kebebasan dan hak yang sewajarnya diberikan kepada wanita. Islam akhirnya dipersalahkan sedangkan usaha memperkasakan wanita telah bermula sejak kedatangan Islam lagi. 

Ini dibuktikan melalui kisah-kisah para sahabat wanita zaman Rasulullah saw yang telah berjaya sama ada di dalam mahupun luar rumah. Sebagai contoh, Ummu Salamah telah terlibat dalam peperangan Khaibar, Pembebasan Makkah, pengepungan Ta’if, peperangan Hawazin, Tsaqif dan turut mengikut baginda mengerjakan Haji Wada’. Tetapi dalam masa yang sama, Ummu Salamah dikenali sebagai isteri yang berilmu dan berjaya di dalam rumah, dan beliau juga menjadi rujukan para sahabat dalam persoalam hukum, terutama yang berkaitan dengan isu wanita. 

Rumah merupakan tempat penting untuk wanita. Di dalam setiap rumah, lelaki dan wanita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Ia seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk sesebuah keluarga menjalani kehidupan. Rumah juga adalah tempat wanita mencipta perubahan kerana pendidikan pertama bermula dari rumah dan wanita sebagai ibu adalah pendidik pertama bagi anak-anaknya. 

Perbahasan mengenai hak-hak wanita bukanlah baharu dalam dunia Islam, malah ia adalah tuntutan syariat Islam semenjak zaman Rasulullah SAW lagi. Namun perlu difahami, Islam tidak menuntut supaya wanita diberi hak-hak yang sama rata dengan lelaki, tetapi memberi hak-hak yang sepatutnya diperolehi oleh mereka. Islam merupakan agama yang sering mengingatkan umatnya agar menjaga hak-hak wanita. 

Kaum lelaki dan wanita yang diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Mereka dibekalkan dengan akal fikiran dan anggota badan untuk menjalani kehidupan seharian agar masing-masing dapat beribadat kepada Allah SWT. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1yang bermaksud: 

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula dari yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (Silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesunguhnya Allah SWT sentiasa memerhati (mengawas) kamu”. (Surah An- Nisa’, ayat 1) 

Ayat ini menjelaskan bahawa lelaki dan wanita berasal dari “diri yang satu” iaitu nabi Adam AS. Lelaki dan wanita sama-sama diciptakan dari tanah. Justeru, tiada perbezaan antara lelaki dan wanita dalam penciptaan kedua-duanya. Apa yang berbeza adalah tanggungjawab dan hak masing-masing yang berlainan mengikut keperluan dalam kehidupan. 

Perjuangan menuntut hak-hak asasi wanita di Malaysia, hendaklah diselaraskan dengan ajaran Islam yang memberi jaminan hak kesaksamaan antara lelaki dan wanita mengikut batas-batas tertentu. Islam mengiktiraf hak asasi wanita sepertimana yang digariskan dalam al-Quran dan as-Sunnah serta ditekankan oleh “Maqasid Syariah” di mana hak setiap umat Islam terjaga dan terpelihara. 

Antara hak asasi wanita yang digariskan dalam Islam ialah hak berpolitik, hak memilih pekerjaan, hak menuntut ilmu pengetahuan dan seumpamanya. Dalam Islam tidak terdapat satu pun larangan terhadap penglibatan wanita dalam bidang kehidupan bermasyarakat, termasuk dalam bidang politik. Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang sangat tinggi dan terhormat. Terdapat ramai tokoh-tokoh wanita yang memegang jawatan-jawatan penting dalam kabinet, kementerian dan juga agensi-agensi kerajaan dan swasta. 

Walaupun hak-hak asasi wanita itu perlu dipertahankan, namun terdapat sesetengah pihak yang masih menafikan hak mereka. Sebagai contoh, terdapat syarikat atau organisasi yang tidak membenarkan wanita Islam memakai hijab atau menutup aurat terutamanya wanita yang bekerja di kaunter hadapan yang berurusan dengan pelanggan syarikat tersebut.

Larangan berhijab ini adalah salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan mencabuli hak wanita Islam. Walaupun larangan ini telah ditarik balik di kebanyakan organisasi namun satu undang-undang kesaksamaan perlu dikuatkuasakan bagi memastikan organisasi swasta dan awam melindungi hak wanita untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka tanpa diskriminasi di tempat kerja. Untuk Malaysia mencapai status negara maju, hak asasi wanita perlu diperkasakan. Malah, masyarakat perlu memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada wanita yang telah menyumbang kepada pembangunan negara kita. 

Tidak dapat dinafikan juga, dalam memenuhi tanggungjawab terhadap rumah tangga, negara dan masyarakat, peranan wanita sangat penting dalam mencorak generasi Islam yang berkualiti. Wanita ada tanggungjawab besar dalam memastikan generasi yang lahir adalah generasi Islam yang penuh dengan ketaatan pada Allah SWT. Wanita juga mempunyai peranan besar terhadap negara dan masyarakat, iaitu melalui tanggungjawab berpolitik dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar melalui aktiviti dakwah. Tanggungjawab besar ini memberi penanda aras bahawa Islam memandang peranan wanita sangat penting dalam mencorak masa depan negara kerana di bahu mereka ada tugas berat iaitu untuk mendidik dan membentuk generasi muslim yang bertakwa. Generasi muslim yang bertakwa inilah yang akan memimpin manusia ke arah cahaya Islam. Generasi muslim ini juga yang akan menyelamatkan umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. 

Selain itu, perbincangan mengenai hak-hak wanita Islam dari sudut undang-undang kekeluargaan tidak pernah surut dalam mana-mana forum masyarakat sama ada formal ataupun tidak formal. Secara ringkasnya, hak-hak wanita Islam merangkumi hak-hak sebelum dan semasa perkahwinan, serta selepas perpisahan dengan pasangan sama ada bercerai hidup atau disebabkan kematian pasangan. 

Isu yang paling besar adalah hak-hak sebagai isteri, dan hak-hak tersebut turut merangkumi tanggungjawab seorang bapa kepada anak perempuannya ataupun anak lelaki kepada ibunya. 

Seringkali kita dengar isu keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Menurut laporan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak telah dilaporkan meningkat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan wabak COVID19. 

Berdasarkan hal ini, beberapa pihak berpandangan bahawa rumah bukanlah tempat yang selamat untuk kebanyakan wanita dan kanak-kanak. Malah rumah telah dianggap sebagai penjara atau lokasi yang menakutkan. Maka kesedaran perlu diambil untuk mengembalikan norma bahawa rumah adalah syurga bagi keluarga yang bahagia. Firman Allah di dalam Surah al-Nahl, ayat 80: 

“Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) dari kulit binatang ternak yang kamu rasa ringan (membawanya) di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai] sampai waktu (tertentu).” (Surah al-Nahl, ayat 80) 

Daripada ayat ini kita dapat fahami bahawa rumah menurut Islam adalah tempat utama keluarga untuk mencapai kerehatan, ketenangan serta kebahagiaan. Di dalam setiap rumah, lelaki dan wanita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk saling melengkapi antara satu sama lain. 

Ia seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk sesebuah keluarga menjalani kehidupan. Rumah juga adalah tempat wanita berupaya mencipta perubahan kerana pendidikan pertama bermula dari rumah dan wanita sebagai ibu adalah pendidik pertama bagi anak-anaknya. Justeru, wanita harus bangkit memperkasakan diri sendiri dengan ilmu dan berani menghadapi pelbaga cabaran sama ada di dalam dan di luar rumah. 

Sasaran sebenar kepada perbincangan yang menjurus kepada soal perlindungan atau pemerkasaan hak-hak wanita Islam ialah kaum lelaki sama ada bapa ataupun suami. Jika kaum Adam bersikap amanah, memahami tanggungjawabnya dan melaksanakannya dengan baik dan sempurna, maka sudah tentu tidak akan terbangkit soal “memperkasa” atau “memperjuangkan” hak-hak wanita Islam. 

Malangnya apabila kita lihat fenomena yang berlaku di sekeliling kita, kita dapat mengagak bahawa jumlah keluarga Islam di negara kita yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan adalah tinggi, terutamanya pembelaan terhadap hak wanita. 

Apabila kaum lelaki yang ditugaskan oleh Allah SWT gagal untuk menunaikan hak-hak berkenaan, maka di sinilah ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk mengambil tempat dan memainkan peranan agar wanita yang memerlukan pembelaan ini dibantu. Bantuan dan sokongan ini diberi supaya hak wanita yang dinafikan ini terbela; mereka dapat menjalankan kehidupan seperti biasa dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan. 

Pemerkasaan hak-hak wanita Islam perlu bermula dari diri wanita itu sendiri. Wanita Islam seharusnya mempunyai pengetahuan dan kefahaman asas yang sempurna tentang tujuan perkahwinan dan hak serta tanggungjawab suami isteri. Melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna adalah syarat wanita berkenaan mempunyai kelayakan untuk menuntut haknya. Walau bagaimanapun sekiranya ia enggan untuk melaksanakan tanggungjawabnya maka, ia perlu bersikap adil terhadap pasangan dan dirinya sendiri. Setiap permasalahan yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan, mempunyai jalan keluar dan penyelesaian yang tertentu. 

Hukum-hakam yang difahami perlu disertai dengan kefahaman bahawa hak-hak wanita Islam di Malaysia dilindungi oleh Undang-undang Keluarga Islam mengikut di mana negeri mereka bermastautin. 

Kefahaman yang ada juga perlu digabungkan dengan mengambil inisiatif untuk mencari tempat yang tepat sekiranya mereka mengalami sebarang masalah yang berkaitan dengan rumah tangga. 

Usaha pemerkasaan ini memerlukan sinergi daripada pihak-pihak tertentu bagi memastikan hak-hak wanita dapat. Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri dan undang-undang lain seperti Akta Keganasan Rumah tangga seharusnya mempunyai keupayaan untuk mengurus sebarang pertikaian yang dibawa ke Mahkamah Syariah. Semakan dan pembaharuan terhadap apa-apa juga undang-undang yang berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya ia sentiasa bersedia untuk menangani sebarang permasalahan baharu disebabkan perubahan-perubahan yang berlaku. 

Peruntukan-peruntukan umum yang digunakan bagi menyelesaikan isu-isu yang sudah acap kali dibawa ke hadapan hakim seharusnya diperkemas dan dipinda supaya undang-undang bersifat lebih efektif. Contohnya, tekanan mental yang dialami oleh isteri disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan dengan suami harus disebut secara khusus dalam seksyen-seksyen yang sesuai bagi menggantikan peruntukan umum yang selama ini digunakan. 

Kesempurnaan undang-undang yang dikanunkan atau digubal tidak akan memberi erti sekiranya pengamal undang-undang tidak mengoptimumkan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam undang-undang yang berkaitan. Dikatakan bahawa masih terdapat peruntukan-peruntukan yang sedia ada dibiarkan oleh kalangan pengamal perundangan sedangkan ia boleh memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai. Contohnya dalam kes tuntutan nafkah anak-anak pada bekas suami. Apabila bekas suami tidak mampu memberi nafkah atau menghilangkan diri, maka tuntutan sepatutnya dibuat kepada waris- waris lelaki bekas suami tersebut. 

Selain itu cagaran nafkah juga boleh dibuat sebagai jaminan supaya bayaran nafkah tidak diabaikan. Perkara-perkara ini telah pun diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam tetapi malangnya tidak dimanfaatkan. Peguam sewajarnya mempunyai dedikasi yang tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada anak guam. Apalah ertinya kemenangan berpihak kepada pihak penuntut, tetapi keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak dapat dimanfaatkan dan hanya tinggal sebagai paper judgement semata-mata. 

Apabila hujahan kes dibuat, peguam tidak sepatutnya hanya bergantung dengan undang-undang per se, rujukan yang mendalam dan komprehensif sewajarnya dibuat. Rujukan berkenaan seharusnya bersandarkan kepada nas-nas syarak daripada al-Quran, 

Hadis, ijmak dan juga pandangan-pandangan ulama yang muktabar dan kemudiannya merumuskan dapatan-dapatan tersebut serta menyesuaikannya dengan maslahah kes yang dihadapkan ke Mahkamah. 

Dalam hal-hal tertentu, hakim boleh “turun padang” untuk melicinkan perjalanan perbicaraan satu-satu kes. Contohnya, hakim syari’ tidak membicarakan kes dengan hanya mengikut kepada apa yang dikemukakan oleh pihak yang menuntut. Sekiranya ia beranggapan bahawa kes yang dikemukakan di hadapannya boleh diselesaikan dengan lebih lancar menurut pendekatan alternatif, maka ia boleh mengarahkan pihak-pihak yang bertikai untuk menyelesaikan pertikaian tersebut dengan pendekatan yang lebih wajar dan efektif. Atau dengan perkataan lain, jika seseorang hakim itu berpandangan bahawa tuntutan pihak plaintif perlu dipinda, maka sepatutnya hakim berkenaan tidak merasa terhalang untuk mengarahkan pihak berkenaan membuat pindaan yang sewajarnya. 

Pemerkasaan hak-hak wanita Islam juga memerlukan sokongan kuat daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka boleh menggesa pihak- pihak tertentu supaya bersikap lebih praktikal dan efektif. Walau bagaimanapun, bantuan secara langsung daripada pertubuhan-pertubuhan ini tentunya boleh menjadi pemangkin yang berkesan dalam usaha pemerkasaan hak-hak wanita Islam di negara ini. Contohnya, mewujudkan satu manual untuk rujukan wanita-wanita Islam yang malang untuk memilih tuntutan yang sesuai, borang-borang tuntutan yang bersesuaian dan dokumen yang diperlukan semasa berurusan di mahkamah dan persediaan atau pemilihan saksi. 

Kesimpulan yang dapat kita ambil: 

Pertama: Mengangkat martabat wanita dan memelihara hak-hak asasi mereka seperti yang dijelaskan dalam al-Quran dan as-Sunnah. 

Kedua: Masyarakat hendaklah bersama-sama memperkasakan hak wanita sepertimana hak-hak asasi manusia yang lain selaras dengan tuntutan Islam. 

Ketiga: Masyarakat perlu mengiktiraf dan menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh wanita terhadap pembangunan negara. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga; mereka beroleh rezeki di dalam syurga itu dengan tidak dihitung”. (Surah Ghafir, ayat 40) 

Nurul Asmida Saad (Seremban, Negeri Sembilan)

Pemenang tempat pertama

Pertandingan Esei PenaWan

Tema: Pemerkasaan Wanita