November 21, 2024

A Little Knowledge is Dangerous

Ini berlaku satu ketika dulu. Isteri saya sedang mengandung. Beliau ke klinik sebab ada masalah kesihatan. Ketika doktor sedang menyediakan senarai ubat untuk di makan, tiba2 isteri saya bersuara.

 

“Saya tak boleh makan ubat kan doktor… ubat ni ada drug dan saya sedang mengandung”

Doktor (berbangsa India) tu menoleh pandangannya pada isteri saya dengan wajah kehairanan.. mungkin juga kemarahan.

“Siapa cakap!!! You know a little knowledge is very dangerous”

 

Ungkapan tu terngiang dalam telinga saya sehingga kini. Ilmu yang sedikit tu kadangkala bahaya.

Saya teringat masa belajar di luar negara. Bertemu dengan pelbagai jenis orang. Bila sembahyang saya perasaan caranya agak berlainan. Di gerak2kan jari telunjuknya ketika bertahiyat. Saya bingung. Macam ni pun ada..

 

Kemudian bila saya mendalami ilmu feqah… baru saya tahu ia adalah pandangan ulama feqah yang lain dan memang ada asasnya dari Rasululullah saw.

Kami belajar untuk bersikap terbuka dengan mereka yang mengamalkan selain dari mazhab Syafi’i. Of course jika amalan tersebut ada asasnya. Kami mula belajar erti khilaf dalam feqah.. dan apa bentuk sikap yang perlu kita hayati. Sikap… hanya mazhab aku yg betul yg lain tu salah… adalah sikap yang tidak boleh di guna pakai. Ia menimbulkan ketegangan tak kena tempat.

 

Mengandaikan semua amalan masyarakat dari Syafi’i pun bahaya. Kerana memang ada amalan yang tidak ada asas. Kalau kita tak pasti pun… jangan lakukan sehingga kita yakin dengan hujjah yang diutarakan. Jika kita tak pasti betul atau salah sesuatu amalan tu… KIV dulu. Jangan lah ketidak pastian kita itu menghuru harakan keadaan.

 

Kadangkala untuk merubah kebiasaan masyarakat tu bukan satu perkara yg mudah. Mungkin perlu dibetulkan oleh orang yang ber otoriti dalam masyarakat. Tak perlu saya sentuh di sini apa bentuk amalan tersebut. Nanti timbul polimik tak berkesudahan. Cukup sekadar meletakkan garis panduan.

 

Meletakkan syarat kita semua kena ikut satu mazhab dalam setiap keadaan akan menyukarkan hidup kita. Yang sedihnya melemparkan label2 pada mereka yang cuba untuk mengamalkan selain dari Syafi’i …. wahabi… liberal … sesat etc. A little knowledge is dangerous.

 

Tapi masyarakat kita sudah semakin terbuka. Dalam bab bayaran zakat dah boleh terima pakai bayaran bukan ikut mazhab Syafi’i. Dalam bab jual beli pun dah banyak menggunakan pandangan mazhab lain. Ini pun kerana ianya dilaksanakan oleh pihak yang berotoriti.

 

Pernah saya belajar dari seorang ustaz yang berkata… dalam bab belajar tauhid pun ada khilaf…. tapi khilaf ini dalam bab furuk… bab ranting. Namun ada yg merasakan ia bab pokok yang harus dibenteras.

 

Terdapat sebuah athar daripada salaf yang menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan menghukum seseorang itu pada permasalahan yang terdapat khilaf padanya iaitu:
لا يُعَذِّبُ اللَّه بِمَسْأَلَةٍ اخْتُلِفَ فِيهَا

 

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan mengazab (manusia) disebabkan perkara yang diperselisihi padanya.” [Imam al-Sakhawi (902 H) berkata aku merasakan ini adalah perkataan sebahagian para salaf. Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 731/1)

 

Written by :
Dr. Hishamuddin Alham