“Awak belajar tinggi, dah tu di universiti yang islamik pula, boleh saya tahu kenapa sampai melakukan zina?” Puan Zainab menatap wajah Zura.
Selaku pengurus rumah bimbingan remaja dan wanita, puan zainab cuba mendapat maklumat tambahan daripada Zura.
“Sebab ermm, sebab…” Zura teragak-agak untuk menjelaskan perkara sebenar apa yang berlaku.
“Tidak mengapa, cakap je, dengan saya tak perlu rahsia,” Puan Zainab melihat Zura dengan secalit senyuman.
Zura seorang pelajar jurusan kejuruteraan di sebuah pusat pengajian tinggi telah terlibat dengan zina. Zura mengatakan dia melacurkan diri disebabkan masalah kewangan. Zura melakukan kerja terkutuk itu dengan beberapa pasangan dengan kadar bayaran mengikut status pasangan yang terlibat.
Akhirnya Zura mengandung. Kandungannya telah berusia 5 bulan semasa memohon kemasukan di pusat bimbingan tersebut. Zura perlu menangguhkan pengajian sehingga dia selesai menjalani pemulihan dan bimbingan di pusat tersebut selama 13 bulan.
Zura tahu langkah sumbangnya akan membinasakan masa depannya. Tetapi disebabkan dia terpengaruh dengan kawan (dakwaan Zura) untuk hidup mewah, maka dia terjebak di lembah kehinaan dengan kehendaknya sendiri. Dia telah menjual maruahnya untuk kemewahan dan keseronokan yg sementara. Dia tersilap langkah. Disangka bahagia rupanya tindakan liarnya mengundang derita. Terasa gelap dunia ini baginya apabila dia disahkan mengandung.
Sebelum Zura memasuki universiti lagi, Zura ada sejarah silam. Dia pernah terlanjur dengan rakan sekelasnya semasa dibangku sekolah. Tetapi dia tidak mengandung. Nasib seolah-olah menyebelahinya ketika itu. Apabila sudah bergelumang dengan dosa dan noda, Zura tidak lagi mendirikan solat, Al Qur’an yang dibekalkan oleh ibunya terperuk di dalam laci meja studinya. Helaian itupun sudah lama tidak dibuka.
Tudungnya pula entah ke mana apabila dia keluar dari kawasan universiti. Apabila balik ke kampus, baru dia mengenakan tudungnya kembali.
Di Pusat bimbingan tersebut, dia di bimbing supaya kembali kepada kebenaran, kembali bertaubat dengan sebenar-benar taubat seorang hamba Tuhan. Zura dan rakan senasibnya diajar kembali cara-cara beribadah terutama cara-cara berwudhu yang betul. Dalam masa yang sama dia diajar bacaan dalam solat dan cara solat yang betul.
Pada ketika yang lain, Zura diajar mengaji Al Qur’an dan ilmu fardu ain yang lain. Pendek kata apa yang dia abaikan selama ini menjadi rutin harian di pusat tersebut. Sedikit demi sedikit hatinya mula tersentuh. Hatinya mula lembut apabila melakukan ibadah yang sudah lama dia tinggalkan.
Hatinya tiba-tiba sangat sedih apabila suatu hari ada pengisian yang dibuat oleh salah seorang sukarelawan.
“Kita ini semua melakukan dosa, tetapi sebaik-baik orang yang berdosa itu kembali kepada Allah. Apa maksudnya kembali?”
Kita perlu bertaubat sungguh-sungguh. Kita berazam untuk tidak mengulangi lagi. Satu lagi kita niatkan semata-mata kerana Allah SWT. Bukan kerana kita dipaksa oleh mak ayah. Murnikan niat. InsyaAllah, Allah SWT ampuni dosa kita semua. Kan Allah itu Maha Pengampun”
Ia terakam kukuh di dalam mindanya. Tertancap teguh di dalam hatinya bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun. Sebanyak mana dosa walaupun setinggi langit dan sepenuh bumi dosanya, Allah pasti mengampunkannya dengan syarat tidak mensyirikkan Allah.
Satu persatu kata-kata itu menusuk-nusuk hatinya.
Akhirnya airmata Zura tertumpah jua apabila mengenangkan dosa-dosanya yang lalu. Bukan sahaja dia berdosa kepada Allah SWT tetapi dia juga berdosa kepada kedua-dua ibubapanya. Dia telah menghampakan harapan orang tuanya. Kalau dikira perbelanjaan di kampus, duit yang ayah Zura bekalkan kepadanya memang mencukupi. Tinggal dia kena bijak berbelanja.
Tetapi dia tergoda dengan kehidupan yang serba mewah. Dari telefon bimbit yang berjenama sehinggalah pakaian yang menyaluti tubuhnya.
“Ayah, mama , Zura tahu hancurnya hati mama dan ayah. Zura sedar pedihnya perasaan ayah dan mama kerana perbuatan Zura. Zura berazam akan belajar bersungguh-sungguh setelah keluar dari sini. Zura berazam tidak lagi meninggalkan solat. Zura berazam tidak akan ulangi dosa semalam. Zura akan buat mama dan ayah bangga suatu hari nanti, insyaAllah,” Zura nekad. Dia merenung titisan hujan di luar jendela sebagaimana titisan airmata yang membasahi pipinya.
“Zura, jom makan,” bahunya dicuit oleh Aida.
Aida merupakan seorang pelatih yang telah dahulu menghuni di rumah bimbingan tersebut. Banyak perkara yang Aida kongsikan membuatkan Zura semakin menyesali kehidupannya dahulu. Pengajian Zura yang tertangguh akan disambung kembali sebaik sahaja dia keluar dari pusat pemulihan itu nanti.
“Tuhan, maafi diri ini. Diri ini terlalu hina. Terlalu banyak dosa, malunya Ya Allah. Kuat dan teguhkan diri ini dalam kebaikan”
Zura mengesat air mata dengan hujung lengan bajunya.
* kisah ini berdasarkan kisah benar seorang siswi tersesat di lembah kehidupan*
Nukilan.
Anisah Mat Asi
More Stories
Pengiktirafan MBBY
Anak adalah aset berharga, saham terbesar dunia akhirat
Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak