Sat. Apr 20th, 2024

“Su, abang dah tak ada (meninggal),” Uda bersuara perlahan.

Uda, kakak aku yang paling rapat dengan aku. Mungkin perbezaan umur aku dengan Uda hanya dua tahun. Manakala umur kakak aku yang lain jauh perbezaannya.

Dia memberitahu berita sedih itu kepada aku. Ketika itu aku sedang berkemas di rumah ayah untuk pulang ke rumah aku di selatan tanah air setelah kami berhari raya bersama mak dan ayah. Mak dan ayah pun turut terperanjat dengan berita yang cukup mengejutkan.

“Apa Uda, abang dah tak ada?”aku bertanya kembali kepada Uda. Seakan tidak percaya mendengar berita sedih itu. Berulang kali aku bertanya kepada Uda.

“Ya Su, abang dah tak ada, Uda kat kecemasan ni,” suara Uda sayup kedengaran dengan berlatar belakangkan suara-suara lain.

Hati aku diruntun sedih. Baru semalam aku bersama suami dan anak-anak menziarahi Uda sekeluarga.

Menurut Uda, mereka sedang bersarapan selepas menyalai daging. Tiba-tiba abang Mohamad, suami Uda mengadu sakit dada dan berpeluh secara tiba-tiba. Atan satu-satunya anak lelaki Uda membawa segera ayahnya ke hospital yang jaraknya 22km.  Di dalam kereta suami Uda masih sempat lagi berwasiat kepada Uda dan anak lelakinya. Sampai ke hospital doktor bertungkus lumus untuk menyelamatkannya. Namun akhirnya abang Mohamad kembali ke pangkuan Illahi. Doktor mengesahkan bahawa abang Mohamad kena serangan jantung.

Tinggallah Uda bersama empat orang anak-anaknya. Dua diantaranya masih kecil. Alhamdulillah dengan pencen suami dan gaji Uda sebagai pembantu pra sekolah, dia dapat menyara anak-anaknya walaupun sukar.

Imbas kembali

“Mommy, jika abang tak ada, abang nak mommy jayakan tanah adik beradik abang yang telah abang usahakan sekarang. Hasil tu kiralah. Belanja mengurus bahagi dua, lepas tu tolak lah harga baja, harga racun, upah potong buah, susun pelepah,”abang Mohamad memandang Uda yang sedang membancuh kopi di dapur.

“Dah tu adik beradik abang dapat duit bersih semua ya, betul?”tanya Uda minta kepastian.

Uda cuba menunaikan pesanan abang Mohamad. Dia bersama anak lelaki tunggalnya bertungkus lumus menguruskan kebun kelapa sawit enam ekar yang dimilikinya bersama tiga ekar lagi kebun kelapa sawit abang iparnya.

Cabaran untuk membesarkan anak-anak bukannya mudah. Tambahan pula, menguruskan kebun kelapa sawit biasanya kerja kaum lelaki. Tetapi Uda bertekad untuk melakukan sebaik mungkin untuk menunaikan pesanan suami tercinta.

Ironinya abang iparnya sendiri tidak mempedulikan tanah berkenaan. Dia hanya dapat duit bersih daripada Uda setiap bulan. Lagipun jika dikira upah pengurusan sebenarnya tiada lebihan duitpun. Tetapi Uda tetap hulurkan juga.

Pada hujung minggu, Uda akan ke kebun kelapa sawit berkenaan. Begitulah rutin dia saban minggu, bulan malah lebih sepuluh tahun.

 Setelah lebih sepuluh tahun menguruskan kebun tersebut, tiba-tiba…

“Kak, kami nak kebun kelapa sawit abang kami, kami berhak tau,”kata Mie adik ipar Uda.

Baru seminggu abang ipar Uda meninggal dunia. Dia juga meninggal secara tiba-tiba. Tiada punca penyakit yang dapat disahkan oleh doktor. Dia meninggal di dalam tidur.

“Boleh aja Mie, tapi kena bayarlah perbelanjaan sepanjang kakak mengurus kebun arwah,”Uda bersuara selembut boleh.

“Mana boleh kak, akak dah makan hasil lebih 10 tahun, dah cukup tu,”Mie bertegas dengan Uda.

“Mie, arwah tak pernah kerjapun kebun ini, dari mula akak yang usahakan selepas abang Mohamad meninggal. Diapun tak pernah beri duit untuk penyelenggaraan kebun seperti baja, racun dan semua yang berkenaan dengan kebun sepanjang lebih 10 tahun kecuali tiga ratus ringgit sahaja. Alhamdulillah Atan ada, kalau tak entah jadi apa kebun tu,” Uda masih lagi bersabar dengan sikap adik iparnya.

“Kami tak nak bayar, kami nak tanah tu, kalau akak nak racun pokok kelapa sawit tu, racunlah. kami tak kisah. Kami boleh tanam semula,”

“Beginilah Mie, kalau tak nak bayarpun tak apa, akak beli dengan harga yang akak mampu bayar. Lagipun titik peluh akak yang mengusahakan sampai sekarang. Kelapa sawit tu baru lima tahun kutip hasil. Itupun tak seberapa. Kalau nak kira bayar racun, baja, upah orang ambil buahpun tak cukup,”

“Ok, akak beli jangan tak jadi pulak. Nanti saya beritahu adik beradik dulu.” Mie terus mematikan telefon bimbitnya.

Uda terkedu. Dia tidak tahu apa yang sepatutnya dia buat agar pertelingkahan itu tidak berlarutan. Malam itu dia tidak dapat tidur. Dia sedih memikirkan ipar duainya. Nostalgia silam menganggu fikirannya. Fikirannya menerawang dari satu peristiwa kepada satu peristiwa. Seolah-olah dia sedang menonton wayang gambar di pawagam.

Sudahlah selepas abang Mohamad meninggal, ipar duainya tidak pernah mempedulikan anak yatim iaitu anak-anak saudara mereka sendiri. Kini tanah sekangkang kera pulak jadi rebutan. Memang Uda tahu itu telah jadi harta pusaka tapi Uda hendak sedikit bayaran atas penat lelahnya mengusahakan kebun berkenaan.

Semasa majlis pernikahan anak-anaknya pula, ipar duainya tidak pernah membantu. Mereka datang seperti tetamu-tetamu yang lain. Mujurlah orang kampung sangat memahami. Orang kampung bergotong royong membantu majlis pernikahan dan kenduri kendara sehingga majlis berjalan dengan lancar.

Uda terkenang abang Mohamad. Abang Mohamad sangat rajin berkerja dan suka membantu adik beradiknya. Tetapi kesannya cukup pedih buat Uda apabila abang Mohamad meninggal, usaha Uda selama ini langsung tidak dihargai oleh ipar duainya.

“Mie, akak dengar awak suruh orang amik buah sawit, betul ke?”Uda dapat berita daripada orang kampung.

“Haah, abang Zahar (biras Uda) yang suruh orang amik buah,” Mie menjawab selamba.

“Kata nak jual kat akak. Kenapa pergi amik buah tak beritahu akakpun?” Uda dah mula naik suara.

“Tak jadi nak jual. Kami nak usahakan,” jawab Mie tanpa rasa bersalah.

“Berilah tahu akak, Mie dah janji nak jual kat akak, tiba-tiba suruh orang amik buah, pasal apa?”

“Ikut kamilah.” Mie membakar kesabaran Uda.

Kesabaran Uda semakin menipis. Dia terus menutup telefon bimbitnya. Dia pergi menyiasat siapa yang mengambil buah di kebun berkenaan.

“Auntie, Adi takkan ambil buah tu, Adi tahu auntie yang usahakan dari awal. Memang Zahar ada contact Adi. Merekapun nak jual kebun tu kepada Adi. Adi tak akan beli kebun tu. Kesian kat auntie,” Adi berterus terang tanpa berselindung apabila Uda menelefonnya.

“Allahu akhbar, Adi. Adi, mengapalah mereka buat macam tu kat auntie.” Uda kesal. Kesal dengan sikap Mie dan adik beradiknya.

Malam berikutnya Uda menelefon Su adiknya.

“Su, Uda nekad untuk racun je pokok tu sebab mereka tak nak kelapa sawit. Mereka nak tanah je,” Uda bersuara. Ada getaran dihujung suaranya. Uda sedang menahan hiba.

“Uda, Su faham Uda sangat sedih, penat lelah Uda macam sia-sia. Tapi masa Nabi SAW melepaskan pasukan perang, antara pesanan Nabi SAW jangan musnahkan pokok-pokok, ni kan pula bukan perang. Maaf sangat Uda, rasa sayang pulak jika racun pokok tu.”

“Abang kitapun cakap sama macam Su, sedekahkan aja. Moga ada pahala buat Uda, tapi tu lah. Penat Uda menghadapi ni semua. Moga Uda dapat buat pahala cara lain. Uda nekad nak racun pokok walaupun Uda sangat sedih,”

“Uda, Su tak boleh nak kata apa-apa kalau macam tu. Anak-anak Uda pun dah buat keputusan yang sama. Moga Allah rahmati kita semua,”

“Su, amiklah pengajaran, Udapun ada pesan dengan anak-anak, tak perlu bersusah payah untuk uruskan harta orang, urus harta masing-masing je. Uda yakin Uda dah buat yang terbaik untuk melaksanakan pesanan abang Mohamad.”

Aku kagum dengan Uda. Dalam usia yang semakin meningkat, dia menempuhi pelbagai ujian dengan tabah. Aku harap Uda dapat memaafkan ipar duainya. Aku juga berharap jika ada kalangan ahli keluarga kita yang menjadi ibu tunggal seperti Uda, jadilah orang yang pertama yang membantu bukan orang yang tidak mempedulikan ibu tunggal dan mengabaikan anak yatim.

(Cerpen ini berdasarkan kisah benar).

AMA

20/9/2021