SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1448H: MADANI DIHAYATI, UMMAH DIBERKATI
Sempena ketibaan ambang Maal Hijrah 1448H, Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN) ingin mengajak semua ahlinya dan seluruh masyarakat untuk bersama-sama menghayati erti penghijrahan yang sebenar, bukan sekadar memperingati peristiwa sejarah, tetapi sebagai pemangkin transformasi diri dan sosial.
Sambutan Maal Hijrah atau Awal Muharram ialah satu perayaan atau sambutan yang cukup dekat dan penting bagi masyarakat Malaysia yang beragama Islam. Peristiwa Hijrah merupakan peristiwa penting dalam lipatan sejarah perjuangan dakwah Nabi Muhammad s.a.w yang berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, membawa harapan dakwah yang lebih besar dan bersinar, jauh dari cengkaman dan ancaman masyarakat Mekah yang menolak dakwah Baginda. Selain itu, tujuan besar Hijrah bukanlah semata-mata ingin menyelamatkan diri tetapi visi dan misi dakwah yang semakin besar dan berkembang, memerlukan kepada suasana yang lebih kondusif. Baginda juga melihat peluang pentadbiran yang lebih tersusun dan realistik di Madinah, berbanding dengan di Mekah.
Daripada peristiwa Hijrah juga kita belajar bahawa Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat, ia adalah satu tekad murni untuk beralih daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik, dan daripada pasif kepada proaktif dalam melakukan dan menyebarluaskan kebaikan. Malah dari peristiwa Hijrah juga, kita belajar suri teladan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w yang sentiasa mencari peluang yang lebih baik untuk perkembangan agama Islam.
Menelusuri lembaran sejarah agung ini, kita tidak mungkin lupa pada kewujudan sosok-sosok wanita hebat dengan keberanian luar biasa. Lihat sahaja bagaimana Saidatina Khadijah R.A yang menjadi tonggak kekuatan ekonomi dan emosi pada fasa awal dakwah Rasulullah. Tugas menyampaikan risalah di tengah jahiliyah yang pekat bukan perkara mudah, ditambah pula dengan tentangan yang dahsyat yang datang dari kaum kerabat sendiri. Namun Saidatina Khadijah tidak pernah lelah menjadi pendukung utama Baginda Rasulullah. �Asma’ binti Abu Bakar R.A pula mempertaruhkan keselamatan diri demi menghantar bekalan makanan di Gua Tsur ketika Rasulullah dan ayahandanya bersembunyi dari musuh di dalamnya. Malah pada ketika itu, ada riwayat mengatakan beliau sedang berbadan dua mendaki Gunung Tsur yang bukan mudah untuk didaki walau bagi wanita biasa yang gagah. Kisah dua srikandi ini ialah bukti jelas bahawa wanita di era awal Islam bukanlah sekadar penonton sejarah, sebaliknya merupakan penggerak strategik dalam agenda perubahan ummah.
Dalam konteks hari ini, sebagai sebuah pertubuhan yang menekankan isu dan suara wanita melalui penulisan, PENAWAN melihat bahawa tuntutan Hijrah buat wanita moden ialah dari aspek penghijrahan minda, naratif, dan sosioekonomi. Wanita hari ini perlu berhijrah dan keluar daripada belenggu minda yang mengecilkan potensi diri, kepada kefahaman yang jelas bahawa mereka mempunyai peranan yang sama besar dalam membina masyarakat.
Melalui pena dan penulisan, kita dituntut untuk mengubah naratif masyarakat terhadap wanita. Sudah tiba masanya kita berhijrah:
Daripada budaya menormalisasikan stigma dan diskriminasi, kepada budaya yang mengangkat keadilan, keselamatan, dan penghormatan terhadap hak wanita.
Daripada meletakkan beban emosi dan mental secara sendirian di bahu wanita, kepada pembinaan ekosistem sokongan (sisterhood dan kekeluargaan) yang lebih rahmah dan saling menyokong.
Daripada sekadar meratapi isu dan cabaran, kepada keberanian menulis, bersuara, dan mengemukakan solusi yang berpaksikan ilmu serta Maqasid Syariah.
Hijrah bagi wanita hari ini adalah sebuah perjuangan untuk keluar daripada zon pasif atau zon selesa. Kita mahu lihat lebih ramai wanita berhijrah menjadi ejen perubahan, baik dalam rumah tangga sebagai madrasah pertama anak-anak, mahupun di pentas masyarakat sebagai penyumbang idea dan pembuat keputusan.
Justeru, bertepatan dengan misi pertubuhan ini yang ingin membawa perubahan positif kepada masyarakat, PENAWAN beriltizam untuk terus komited dalam menjayakan visi kami untuk menjadi NGO yang menerajui isu-isu pemerkasaan dan pembelaan wanita dan ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua ahlinya dan seluruh masyarakat untuk:
Hijrah Corak Fikir, daripada Sensasional kepada Solusi: Beralih daripada sekadar mengetengahkan masalah wanita kepada fasa menyediakan solusi konkrit melalui penulisan, advokasi, dan sokongan moral.
Wanita Memperkasa Wanita : Mengukuhkan jaringan sokongan sesama wanita. Hapuskan budaya menjatuhkan sesama sendiri (women undermining women) dan gantikan dengan budaya bantu-membantu dan mengangkat potensi satu sama lain.
Menjulang Naratif Tokoh Wanita Islam: Membaca, mengkaji dan menulis semula kisah-kisah kehebatan wanita dalam sejarah Islam (seperti contoh Saidatina Khadijah R.A sebagai ikon usahawan, atau Saidatinya Aisyah R.A sebagai gedung ilmu dan politik) sebagai rujukan pemerkasaan wanita moden.
Hijrah Budaya. Hentikan Stigma & Keganasan terhadap Wanita: Berhijrah daripada budaya yang menormalisasikan diskriminasi jantina, gangguan seksual, atau menyalahkan mangsa (victim-blaming).
Mengiktiraf Kepimpinan & Suara Wanita: Memberi ruang yang lebih adil kepada wanita dalam menjadi pembuat keputusan. Menyuarakan isu wanita bukan agenda liberal, tetapi tuntutan keadilan sosial yang selari dengan maqasid syariah.
Sokongan Kesejahteraan Mental & Domestik: Mengajak para suami dan ahli keluarga untuk bersama-sama mengamalkan konsep ‘Hijrah Domestik’, iaitu perkongsian beban tugas domestik yang adil di rumah bagi mengurangkan beban mental (mental load) yang sering ditanggung oleh wanita bekerja.
Kesedaran Kesihatan Mental Wanita Segenap Golongan: Membangkitkan dan menyebarluas kepentingan kesihatan mental wanita pelbagai golongan, tidak terhad kepada golongan isteri atau ibu, tetapi juga pelajar, wanita belum berkahwin dan warga emas.
Akhir kata, PENAWAN dengan besar hati ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1448H kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga tahun baharu ini membawa keberkatan, kedamaian, dan semangat baharu untuk kita terus menyumbang kepada ummah.
Nur Atiqah Yahya
Pengerusi PENAWAN

More Stories
KENYATAAN MEDIA
Kenyataan Media Hari Ibu
Kenyataan Media Hari Wanita