November 21, 2024

PENDAHULUAN

Wanita dianggap sebagai golongan yang lemah oleh segelintir individu disebabkan  keterbatasan golongan wanita ini dalam beberapa aspek kehidupan. Tidak disangkal bahawa kudrat wanita adalah tidak sekuat kudrat lelaki. Namun begitu, dari aspek lainnya seperti mentaliti dan semangat, wanita cukup hebat dan berperanan besar dalam pembentukan masyarakat dan negara bangsa yang berjaya.

Seperti yang diungkapkan dalam lirik lagu nasyid Sumayyah “tangan yang disangka halus menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah” menunjukkan kemampuan dan kebolehan wanita adalah penting untuk diperkasakan demi kejayaan negara. Golongan wanita ini tidak harus dipandang rendah dan diabaikan namun sebaliknya harus diperkasa untuk turut bersama golongan lelaki  bertanggungjawab, bersuara dan bertindak membina Malaysia maju sesuai wawasan semua rakyat.

PEMERKASAAN WANITA

Pemerkasaan ini merujuk kepada peluang dan kuasa yang diberikan kepada seseorang individu mahupun kelompok untuk bersama dengan masyarakat secara menyeluruh.  Pemerkasaan golongan wanita ini adalah tugas semua pihak dan bukannya terletak pada satu badan tertentu sahaja seperti yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Berita Harian (2022) bahawa pemerkasaan wanita ini akan terus menjadi satu agenda penting negara.  Agenda ini bukan hanya digalas oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat namun merupakan tanggungjawab semua pihak. Oleh itu, dengan mengambil berat terhadap isu-isu semasa yang menjadi cabaran kepada golongan wanita ini, seharusnya pemerkasaan wanita ini dijalankan dan diteliti dengan lebih lanjut dan menyeluruh.

EKONOMI

Antara isu yang menjadi fokus utama adalah pemerkasaan wanita dalam aspek ekonomi. Pembangunan negara yang semakin pesat telah menjadikan kos sara hidup juga semakin bertambah.  Hal ini menjadikan wanita tidak mempunyai pilihan selain daripada terlibat sama untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara hidup mereka. Dahulu kita melihat wanita sebagai simbolik kepada identiti suri rumah yang melahirkan dan membesarkan anak serta menguruskan hal ehwal rumah tangga semata. Namun kini kita menyaksikan majoriti wanita bekerja untuk menjana pendapatan mereka di samping menjalankan peranan mereka dalam institusi keluarga.

Terdapat wanita yang berniaga  secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran dan ada juga wanita yang bekerja di sektor-sektor awam dan profesional seperti guru, doktor, jurutera dan sebagainya. Hal ini penting dalam membantu mereka menyokong ekonomi keluarga mereka dan mencukupkan segala keperluan serta kehendak mereka. Oleh itu, pemerkasaan wanita dalam sektor pekerjaan juga harus diluaskan bagi memudahkan negara mencapai ekonomi negara yang stabil.  Hal ini penting agar rakyat tidak kesulitan dalam menyara kos sara hidup mereka.

Peluang-peluang pekerjaan seharusnya diperbanyak dan tidak dihadkan kepada kaum lelaki sahaja namun juga mencakupi peluang pekerjaan yang layak untuk golongan wanita. Wanita memiliki kemahiran dan kelebihan tertentu yang berguna untuk menjadikan diri mereka sebagai satu sumber manusia yang lengkap.

Bukan sahaja itu, latihan-latihan dalam dunia pekerjaan tertentu juga harus disediakan dalam memperkasakan golongan Wanita.  Hal  ini agar mereka terdedah dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang diperlukan serta  membolehkan mereka berkecimpung dalam dunia pekerjaan yang sebenar. Suryani (2009) menjelaskan dengan peningkatan taraf pendidikan dan latihan, wanita tidak lagi sekadar berperanan sebagai suri rumah sahaja. Oleh itu, latihan dan peluang-peluang pekerjaan seharusnya disediakan bagi mereka untuk memperkasakan lagi ekonomi golongan ini dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

KESIHATAN

Di samping itu, isu kesihatan golongan wanita juga harus dipandang serius dan pemerkasaan wanita dalam aspek kesihatan ini juga harus ditekankan. Kesihatan dari segi fizikal mahupun mental perlu diambil berat kerana kesihatan golongan wanita ini amat berharga dan penting dalam institusi keluarga mahupun negara. Dato Liow Tiong Lai Menteri Kesihatan Malaysia pada tahun 2008 melalui ucapannya menyatakan keluarga adalah institusi asas yang harus diperkasakan sebagai langkah pertama pembangunan negara.  Selain itu wanita berperanan besar dalam pembangunan sesebuah keluarga. Selain daripada peranan biologi dalam reproduktif, kaum wanita juga mempunyai kelebihan secara fitrahnya sebagai insan yang paling dekat dengan anak-anak, mendidik dan membesarkan anak-anak serta menjadi contoh tauladan dalam keluarga.

Malah, wanita juga adalah isteri yang menjadi teman setia dan penyokong utama suami dalam memimpin keluarga ke arah kesejahteraan hidup. Fungsi wanita yang pelbagai ini amat penting dan menjadi tonggak kesejahteraan sesebuah keluarga yang seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera dan progresif. Oleh itu, golongan wanita ini harus menerima penjagaan kesihatan yang baik kerana tanpa penjagaan kesihatan yang baik, golongan wanita ini akan terjejas untuk menjalankan peranannya dalam keluarga mahupun komuniti.

Pendedahan terhadap penyakit-penyakit yang berbahaya seperti kanser ovari, kanser payudara, kanser serviks, leukimia dan lain-lain harus ditingkatkan dan disediakan bagi memberi kesedaran kepada golongan wanita untuk melakukan pemeriksaan awal di klinik-klinik kesihatan.  Bajet 2023 menyatakan kerajaan akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan menggunakan peruntukan sebanyak 11 juta ringgit. Pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan dirintis menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah diasaskan oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya.

KESIHATAN MENTAL

Bukan sahaja itu, kesihatan mental juga harus diberi tumpuan kerana saban tahun kita menyaksikan peningkatan kes kemurungan dalam kalangan wanita. Intan Mas Ayu Shahimi dalam Harian Metro (2020) melalui artikel bertajuk “Perkasa Kesihatan Wanita” menyatakan Program Healthy Is The New Happy! A Better You Today yang diadakan bertujuan memperkasakan kesihatan wanita. Hal ini dilihat sebagai dorongan untuk meningkatkan kualiti hidup, sekali gus memperkasa peranan wanita sebagai pemimpin masa depan dan  juga menyentuh soal kesihatan mental dalam kalangan wanita yang jumlah penghidapnya kian meningkat saban hari. Oleh itu, program-program seumpama ini seharusnya diperbanyak bagi memberi kesedaran dan informasi berguna kepada golongan wanita berkaitan kesihatan mereka.

PENDIDIKAN

Seterusnya, pemerkasaan wanita juga perlu dijalankan dalam dunia pendidikan. Dalam membina negara bangsa yang berjaya, wanita adalah individu terpenting dalam membentuk generasi-generasi bijak pandai yang akan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Tanpa insan-insan intelek, sukar untuk negara bangsa berjaya itu direalisasikan dan diwujudkan. Dengan menyediakan ilmu dan pendidikan kepada golongan wanita, kita mampu melahirkan insan-insan yang hebat bakal peneraju negara.

Rumah dan sekolah pertama bagi semua kanak-kanak adalah ibu mereka. Segala yang diajari dan ditunjukkan oleh golongan wanita yang berperanan sebagai ibu akan memberi kesan dan dampak terhadap perkembangan anak-anak mereka. Jika ibu tersebut datangnya daripada seorang wanita yang mendapat pendidikan secukupnya secara formal mahupun tidak, maka mereka akan cenderung mendidik anak-anak dengan acuan yang baik dan mengikut pengetahuan yang diperolehi.  Namun, jika ibu yang datangnya daripada seorang wanita yang kurang berpendidikan dan tidak mendapat pendidikan secukupnya sama ada formal mahupun sebaliknya maka sukar untuk anak-anak itu dibentuk menjadi acuan yang terbaik.

Malah, tanpa pendidikan juga sukar untuk golongan ibu tersebut berkongsi info tentang persoalan yang ditanyakan oleh golongan kanak-kanak.   Dunia kanak-kanak penuh dengan tanda tanya dan persoalan yang memerlukan jawapan bernas sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Mustahil untuk kita wujudkan Malaysia yang maju jika negara diterajui oleh generasi yang kurang berilmu. Namun begitu,  jika negara dipimpin oleh pemimpin yang berilmu dan mempunyai sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat yang juga cukup berkebolehan pasti kemajuan negara akan lebih terjamin dan mudah untuk dicapai. Oleh itu, golongan wanita seharusnya diperkasakan dalam dunia pendidikan demi pembentukan negara bangsa yang berilmu dan berjaya.

KESELAMATAN

Kemudian, golongan wanita juga haruslah diperkasakan dalam aspek keselamatan mereka. Wanita haruslah diberikan perlindungan bagi memperkasakan lagi keselamatan mereka. Wanita adalah golongan yang terdedah dengan masalah keganasan rumah tangga dan gangguan seksual yang menyebabkan mereka tidak merasakan aman dan berbahaya dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Malah, gangguan yang mereka hadapi tersebut menyebabkan sebilangan besar kaum wanita tertekan dan menghadapi masalah kesihatan yang buruk sehingga menyebabkan beberapa daripada mereka bertindak untuk membunuh diri.

Khairy Jamaluddin melalui Berita Harian (2021) menyifatkan keganasan terhadap wanita sebagai pelanggaran hak asasi wanita, masalah isu kesihatan, integriti tubuh badan serta hak seksual dan reproduktif. Tambah beliau lagi, wanita yang didera lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang berbanding wanita yang tidak mengalami penderaan dan gangguan. Oleh itu, dalam memperkasakan keselamatan kaum wanita, seharusnya golongan ini diberikan perlindungan secara undang-undang.  Alhamdulillah Malaysia juga telah mewujudkan inisiatif dalam memperkasakan golongan wanita ini

UNDANG-UNDANG

Laman web MKN (2022) menyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan enam inisiatif bagi memperkasakan wanita semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan salah satu daripada inisiatifnya ialah pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual. Dengan wujudnya rang undang-undang sedemikian maka keselamatan kaum wanita ini akan lebih dilindungi dan terjaga. Bukan sahaja itu, dalam memperkasakan keselamatan kaum wanita juga, seharusnya golongan ini diberikan tunjuk ajar cara menyelamatkan diri mereka apabila berhadapan dengan gangguan-gangguan ini. Media televisyen, akhbar dan sosial seharusnya memperbanyakk siaran-siaran yang tertumpu kepada keselamatan kaum wanita ini dan menyiarkan kandungan-kandungan yang boleh memberikan kesedaran kepada semua pihak untuk melindungi keselamatan kaum wanita.

SOSIAL

Selain itu, wanita juga perlu diperkasakan dari aspek sosial. Wanita juga mempunyai hak dalam bersuara dan menyatakan idea dan pandangan mereka. Mereka juga mempunyai kebebasan untuk bersosial dan berkomunikasi dengan masyarakat. Oleh itu, penubuhan persatuan-persatuan yang mengangkat dan memperjuangkan wanita ini sangat penting dalam memperkasakan sosial kaum wanita. Dalam persatuan ini, mereka akan bertemu dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan wanita. Malah, ianya baik untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama wanita di samping mengetengahkan suara-suara wanita yang perlu diperjuangkan. Terdapat banyak persatuan dan pertubuhan berkaitan wanita dan salah satunya adalah Pertubuhan Penulis Isu-Isu Wanita (PenaWan) yang dibentuk bagi membela isu-isu wanita melalui media dan penulisan, membina takungan, penulis pakar dan membuat jaringan.  Bukan sahaja itu, di Malaysia juga mempunyai persatuan Ibuprenuer yang merupakan satu perusahaan sosial yang menjadi platform bagi suri rumah untuk menjana pendapatan melalui jualan makanan seperti kek, pastri dan lain-lain. Dalam memastikan usaha memperkasakan wanita mendapat kesan dan impak yang berterusan, 60% hasil jualan diberikan kepada golongan ibu dan 40% pula diserahkan untuk kos operasi manakala 100% hasil keuntungan pula disumbangkan semula untuk mengurangkan  jurang jantina di negara ini.

Selain itu, Girl2Leader juga adalah usaha dan inisiatif yang berfokus membantu golongan wanita muda menjadi pemimpin yang berpotensi pada masa akan datang. Organisasi Girl2Leader ini menganjurkan program yang mendorong wanita untuk mengenali hak mereka untuk bersuara dan membawa perubahan kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan. Oleh itu, persatuan-persatuan umpama ini haruslah diberi sokongan dan diraihkan bagi memperkasakan lagi golongan wanita khususnya dalam aspek sosial dan memastikan kaum ini tidak diabaikan dalam masyarakat.

POLITIK

Seterusnya, wanita juga perlu diperkasakan dalam dunia politik. Penglibatan wanita dalam dunia politik masih dilihat kurang memberangsangkan. Hal ini selari dengan kenyataan  dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Muhammad Ika Danial Abdullah dalam Berita Harian (2022) yang menjelaskan fokus dan usaha jitu perlu dilipat ganda sekiranya  ingin mencapai kesaksamaan gender dalam dunia politik dan ekonomi yang ternyata masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Menurut laporan GGGR yang dikeluarkan pada tahun 2021, Malaysia berada pada kedudukan      ke-128 daripada 156 buah negara dalam pemerkasaan politik golongan wanita. Negara kita menunjukkan kemajuan agak mendatar selama beberapa dekad berkaitan dengan penglibatan wanita dalam arena politik. Contohnya dalam Dewan Rakyat pada ketika ini hanya 15 peratus kerusi diduduki oleh kaum wanita di mana  lebih rendah berbanding standard universal iaitu  sebanyak 30 peratus.

Merujuk Bajet 2022 tahun lalu, Menteri Kewangan memaklumkan perlu ada sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam semua syarikat senaraian awam sebagai permulaan pengenalan lebih banyak dasar mesra jantina pada masa akan datang. Oleh itu, golongan wanita seharusnya diberikan pendedahan dan kesedaran terhadap kepentingan penglibatan mereka dalam politik. Tanpa kesedaran terhadap kepentingan ini, sukar untuk menarik kaum wanita ini untuk terlibat bersama menerajui politik negara. Galakan dan sokongan harus diberikan khususnya kepada calon-calon wanita yang dilihat mempunyai potensi sebagai ahli politik yang akan memperjuangkan nasib rakyat.

SUKAN

Pemerkasaan wanita dalam dunia sukan juga harus diutamakan. Jika kita mengimbau sejarah, penyertaan wanita dalam bidang kesukanan ini pada mulanya adalah amat sedikit dan tidak mendapat sebarang sambutan.  Hal ini terbukti dalam sejarah perkembangan sukan pada tahun 1896. Pada ketika itu, Sukan Olimpik Moden telah diadakan untuk kali pertamanya di Greece namun tiada seorang pun daripada kalangan wanita yang dibenarkan untuk terlibat dalam pertandingan berkenaan. Puncanya adalah disebabkan kepercayaan masyarakat pada waktu tersebut berkaitan penggunaan tenaga fizikal wanita akan mengakibatkan sistem peranakan dan pusingan haid wanita rosak dan terganggu. Namun begitu, kesedaran masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam dunia sukan ini semakin berkembang dan semakin diterima dalam masyarakat. Seperti lelaki, wanita juga mempunyai minat dan bakat yang tersendiri. Oleh itu, golongan ini juga seharusnya diberikan peluang dan kesempatan yang sama untuk menceburi diri dalam bidang kesukanan ini.  

Buletin DBP di dalam Berita Terkini MAIPS yang disiarkan pada 28 Januari 2022 menyatakan Raja Muda Perlis turut memberi nasihat kepada rakyat agar memberi dorongan dan sokongan terhadap penyertaan wanita dalam sukan.  Hal ini dapat memberi mereka galakan seperti memberi peluang melanjutkan pelajaran dan mendapatkan pekerjaan. Dalam pada itu, usaha untuk mewujudkan dan memperbanyak peluang pekerjaan dalam bidang kesukanan juga harus dilaksanakan seperti jurulatih dan pegawai sukan wanita.

KESIMPULAN

Akhir sekali, dapatlah disimpulkan bahawa pemerkasaan wanita haruslah dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti aspek ekonomi, kesihatan, pendidikan, keselamatan, sosial, politik dan sukan. Peranan wanita kini dapat kita lihat sangat besar dan kompleks secara holistik. Wanita pada masa kini adalah individu yang menjadi penyumbang besar terhadap hala- tuju dan kejayaan sesebuah negara dalam mencapai hasrat pembangunan negara bangsa yang berjaya.

Tanpa pemerkasaan wanita dalam beberapa aspek yang telah dinyatakan tersebut, sukar untuk kita membentuk sebuah Malaysia yang berdaya saing dan maju ke hadapan berbanding negara luar. Oleh itu, ekonomi kaum wanita ini mesti diperkasakan agar mereka berkemampuan untuk menjana pendapatan mereka di samping mengurangkan kadar kemiskinan dan membolehkan mereka menyara kos sara hidup serta mengurangkan bebanan yang ditanggung. Malah, pemerkasaan dalam aspek kesihatan juga perlu ditekankan agar golongan wanita ini tidak terdedah dengan risiko kesihatan yang berbahaya seperti kanser serviks, kanser payudara dan sebagainya.

Pendedahan terhadap penyakit-penyakit berbahaya ini perlu disediakan bagi meningkatkan kesedaran golongan wanita untuk menjalankan pemeriksaan awal di mana-mana klinik kesihatan berdekatan. Kesihatan kaum wanita ini penting untuk dijaga kerana tanpa kesihatan yang baik sukar untuk golongan ini menjalankan peranan mereka dalam kelompok masyarakat. Kemudian, pendidikan kaum wanita juga mestilah diperkasakan kerana mereka adalah sekolah pertama bagi semua generasi. Wanita adalah ibu yang menjadi madrasah bagi anak-anak. Oleh itu, golongan wanita ini mestilah tidak ketinggalan dalam pendidikan bagi memudahkan mereka mendidik generasi-generasi yang akan menjadi peneraju negara.

Seterusnya, keselamatan kaum wanita juga haruslah diperkasakan lagi kerana golongan ini seringkali menjadi sasaran keganasan dan gangguan seksual dimana sahaja sama ada di tempat kerja, rumah, sekolah dan sebagainya. Keselamatan mereka penting untuk diperkasakan agar mereka berasa lebih aman dan selamat untuk menjalankan kegiatan seharian mereka. Bukan sahaja itu, pemerkasaan sosial golongan wanita juga harus giat diperkasakan bagi membolehkan golongan ini berinteraksi dengan masyarakat dan memperjuangkan nasib dan hak mereka. Pemerkasaan wanita dalam dunia politik juga juga amat penting bagi memastikan golongan ini turut mendapat tempat untuk menjadi salah satu pemimpin dan wakil rakyat yang berkebolehan seterusnya menyumbang kepada keberhasilan negara yang lebih baik di masa akan datang. Tidak kurang juga dalam dunia sukan, wanita seharusnya diperkasakan lagi untuk terlibat dalam kesukanan ini demi membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat. Justeru itu, semua pihak haruslah menyokong dan memastikan pemerkasaan wanita ini dapat dijalankan dengan baik dalam aspek-aspek yang sudah dijelaskan demi kepentingan pembangunan negara dan kejayaan negara bangsa.

RUJUKAN

Berita Harian. (2021). Keganasan terhadap wanita adalah isu kesihatan – Khairy. Dicapai pada 30

Desember 2022 daripada https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/12/899996/keganasan-terhadap-wanita-adalah-isu-kesihatan-khairy

Berita Harian (2022). Teks Ucapan Bajet 2023. Dicapai pada 1 Januari 2023 daripada

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/10/1009616/teks-ucapan-bajet-2023

Berita Terkini MAIPS. (2022). Pemerkasaan Wanita Di Pentas Arena Sukan. Dicapai pada 1

Januari 2023 daripada https://www.maips.gov.my/index.php?option=com_k2&view=item&id=1876:pemerkasaan-wanita-di-pentas-arena-sukan&Itemid=834&lang=ms

Intan Mas Ayu Shahimi. (2020). Perkasa Kesihatan Wanita. Harian Metro. Dicapai pada 30

Desember 2022 daripada https://www.hmetro.com.my/amp/WM/2020/01/532766/perkasa-kesihatan-wanita

 Laman web MKN. (2022). Enam Inisiatif Memperkasakan Wanita. Dicapai pada 30 Desember

2022 daripada https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/17/enam-inisiatif-memperkasakan-wanita/

Muhammad Ika Danial Abdullah. (2022). Malaysia komited laksana proses kesaksamaan Gender.

Berita Harian. Dicapai pada 30 Desember 2022 daripada https://www.bharian.com.my/amp/rencana/komentar/2022/01/909451/malaysia-komited-laksana-proses-kesaksamaan-gender

Suryani Motik (2009) Significants role of women entrepreneurs in economic development. 5th

Women  Leader Meeting 2009. Singapore.

OLEH SAUDAH MAJID

Pemenang tempat ketiga

Pertandingan Esei PenaWan (Tema: Pemerkasaan Wanita)