Thu. Apr 25th, 2024

Apa dosa mereka? Stigma sosial COVID-19

Editable vector silhouette of a man sitting with his head in his hand; background made with a gradient mesh

Sekali lagi kita tersentak dengan laporan harian COVID-19 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 14 April 2020, di mana virus mikro itu telah meragut 5 nyawa dan dengan kes baharu yang telah positif COVID-19 mencapai sehingga 170 orang hanya dalam masa 24 jam. Melihat kepada bilangan kes baharu COVID-19 yang mencapai tiga angka bagi setiap hari, jelas virus ini masih mengganas di sekitar kita, penyebarannya masih aktif, penularannya masih belum dapat dibendung. Pada hari ke 31 Perintah Kawalan Berkurung (PKP) bilangan kes kematian tidak berkurangan dan kes jangkitan turut tidak menyusut.   

 

Dalam keadaan negara mendepani situasi yang sukar ini, menyusul pula satu lagi masalah dalam kalangan masyarakat kita. Pandemik COVID-19 ini telah menimbulkan stigma sosial dan pandangan negatif serta diskriminasi terhadap mereka yang telah terdedah kepada jangkitan virus maut ini. Pesakit atau keluarga mereka yang telah dijangkiti virus ini pada hakikatnya sangat memerlukan sokongan padu dari masyarakat untuk terus tabah menghadapi musibah yang menimpa mereka. Adalah sangat mengecewakan apabila yang sebaliknya berlaku. Apabila stigma sosial dan diskriminasi telah mengambil tempat sokongan yang diharapkan dan kesan yang ditanggung oleh mereka yang diuji dengan penyakit sangatlah menyayat hati.

 

Ini dialami oleh seorang wanita yang telah disahkan positif COVID-19 bersama ahli keluarganya di sebuah kampung di negeri Kelantan. Melalui laman Facebooknya, Ahmad (bukan nama sebenar), menitipkan kisah bagaimana dia dan keluarganya dipandang hina oleh jiran tetangga sekampung sejurus berita mereka sekeluarga telah dijangkiti virus ganas ini. “Pada awal abah disahkan positif COVID, berita tentangnya viral satu kampung tak sampai 2 jam. Kami sekeluarga yang sedang menunggu giliran untuk ujian saringan pada waktu tu dah rasa tertekan. Orang kampung seolah2 memandang sinis, takut kepada kami sekeluarga,” begitulah luahan hati Ahmad yang kehilangan ibu yang tersayang kerana jangkitan COVID-19.  Hal yang lebih tragis berlaku di sebuah kampung di Indonesia di mana mereka sekeluarga yang disahkan positif COVID-19 diugut oleh masyarakat setempat. Antara ugutan yang terpaksa ditanggung oleh mereka adalah mereka diherdik oleh jiran sekitar untuk tidak keluar rumah walaupun hanya untuk keluar membeli makanan harian. Diberitakan akibat dari kekecewaan yang meruncing susulan dari ugutan demi ugutan, keluarga itu mengancam untuk membakar rumah mereka sendiri.

 

Inilah yang dikatakan stigma masyarakat atau stigma sosial. Dalam situasi wabak, stigma mengambil tempat dalam masyarakat bila mana seseorang telah sah dijangkiti, mereka dan keluarga mereka dianggap dan dipandang hina, jijik, jelek atau seolah-olah bersalah kerana telah dijangkiti. Yang lebih mendukacitakan apabila perkara itu berlaku pada mereka yang tidak dijangkiti tetapi kerana mereka mempunyai hubungan langsung dengan suatu kelompok yang telah diketahui umum telah dijangkiti virus wabak. Mereka ini dilayan dengan cara dilabel, distereotaip atau didiskriminasikan oleh masyarakat sekeliling. Tindakan melabel dan mendiskriminasi ini menonjolkan akhlak buruk seperti, mengejek, mencemoh, mencela, mengherdik, menggertak dan mengugut.

 

Memang tidak dapat disangkal ketika dalam keadaan wabak yang tidak menentu ini, masyarakat dibebani dengan berbagai-bagai emosi dan gangguan perasaan seperti rasa bimbang, keliru, takut, cemas dan panik. Namun, emosi yang gundah ini tidak boleh dijadikan justifikasi kepada sikap dan tindakan melabel dan mendiskriminasi mereka yang telah dijangkiti. Ini kerana tindakan seperti ini boleh mendatangkan satu kesan domino dalam masyarakat.  Keharmonian masyarakat akan terjejas bilamana kelestarian hubungan antara ahlinya telah mula dicemari dengan pelbagai tanggapan negatif. Ia berupaya mencetuskan pemulauan kelompok. Lebih buruk lagi, stigma ini memaksa mereka yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif menyembunyikan maklumat mereka dengan kontak virus COVID-19 tetapi tetap keluar bagi mendapatkan keperluan harian walhal mereka seharusnya dikuarantin.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datok Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, “Saya merayu kepada orang ramai dan pesakit untuk jujur dan tidak menyembunyikan maklumat hingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasiliti kami. Adalah satu jenayah sekiranya anda tidak mendedahkan atau menyembunyikan maklumat,” menerusi entri Facebook beliau berikutan kes seorang wanita yang hamil tidak memaklumkan staf kesihatan kontak rapatnya yang telah positif COVID-19. Sejurus selepas melahirkan anak di sebuah hospital di Kedah beliau didapati demam dan disahkan positif COVID-19.  Akibatnya, seluruh petugas kesihatan dan juga fasiliti hospital telah terdedah kepada jangkitan yang mengancam nyawa itu. Ketidakjujuran ini membawa padah yang sangat besar. Bukan sahaja ianya mengancam nyawa mereka yang telah berkorban masa dan tenaga memerangi virus ini, malah ketidakjujuran ini melibatkan kos yang tinggi di pihak kerajaan dalam urusan menginfektasi dan mengurus-selia seluruh fasiliti hospital berkenaan.

 

Begitu juga dalam kes pemulauan kelompok, apabila mereka ini dilayan dengan diskriminasi dan dipandang jelek ia boleh menjadi penyebab kepada tindakan individu dalam kelompok itu enggan keluar bagi mendapatkan rawatan. Seterusnya, ini menyebabkan kadar jangkitan yang lebih parah dalam kalangan mereka yang telah dipulaukan oleh masyarakat tersebut. Selanjutnya, memungkinkan penyebaran virus yang lebih pesat dan situasi yang lebih kompleks lantas menuntut tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang lebih rumit. Kesemua ini memaksa kita membayar harga yang sangat mahal akibat dari stigma sosial dan diskriminasi yang tersusul.

 

Menurut World Health Organization (WHO) ada tiga faktor utama bagaimana COVID-19 menyebabkan stigma sosial.

 

        Virus Corona adalah virus yang belum pernah wujud di dunia. Sehingga hari ini, ianya masih tidak dikenali dan tiada data atau maklumat mengenainya.

         Adalah menjadi lumrah manusia bahwa sesuatu yang tidak dikenali akan membangkitkan pelbagai emosi seperti kebimbangan, kegerunan, kekeliruan, serta kegelisahan. Ini yang dikatakan, takut pada perkara yang tidak diketahui (fear of the unknown).

         Kita sering menganggap “orang di luar sana” yang mengakibatkan perkara yang ditakuti itu.

 

Dalam kenyataan WHO Social Stigma associated with COVID-19 banyak bukti dari pengalaman pandemik yang terdahulu telah menunjukkan stigma yang berkaitan dengan penyakit berjangkit telah menghalang tindakan yang wajar diambil untuk membendung penularan virus wabak. Mengikut saranan dan garis panduan WHO yang dikeluarkan pada 24 Februari 2020, kaedah yang nyata berkesan bagi orang awam kekal sihat dan terlindung dari ancaman dan sebaran virus tersebut adalah:

 

i.                 tindakan membina keyakinan masyarakat terhadap kemampuan khidmat kesihatan yang dikendalikan oleh pihak berwajib seperti agensi-agensi kerajaan

ii.               melahirkan rasa empati dengan mereka yang telah dijangkiti dan yang terkesan dari jangkitan tersebut

iii.             mempunyai ilmu dan maklumat tepat mengenai penyakit tersebut

iv.              mengambil langkah-langkah yang efektif dan praktikal bagi orang awam kekal sihat dan selamat.

 

Selain dari itu, mengikut WHO, bagaimana kita berkomunikasi tentang COVID-19 adalah kritikal dalam usaha membendung stigma dan kebimbangan yang melampau serta mendidik orang awam mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk bersama membantu membanteras penyakit ini dari terus menular. Sikap dan suasana yang terbuka harus diwujudkan dalam kalangan orang awam dengan meluaskan penyebaran maklumat yang tepat tentang penyakit ini dan kesannya sehingga ianya boleh dibincangkan secara jujur, penuh maklum, dan berkesan. WHO menggariskan beberapa tips bagaimana untuk menangani serta mengelakkan dari lebih memburukkan keadaan stigma yang melanda masyarakat ketika ini:

 

i.                    Kata-kata yang baik: apa yang perlu dikatakan dan yang perlu dielakkan ketika membicara tentang virus COVID-19.

ii.                  Peranan anda: fikirkan ide yang mudah dan praktikal bagi mengekang stigma sosial.

iii.                Tip-tip komunikasi berkesan.

 

 

Dalam proses menghapuskan stigma masyarakat, perkataan dan gaya bahasa dipilih dalam komunikasi memainkan peranan yang sangat penting. Perkataan-perkataan tertentu, seperti “kes yang disyaki”, “pengasingan”, “berjangkit” atau gaya bahasa yang membawa konotasi yang negatif boleh mengakutkan lagi stereotaip dan diskriminasi yang sudah pun wujud, meningkatkan lagi rasa takut dan gelisah lantas berupaya memburukkan lagi stigma yang sedia ada. Stigma yang diperkukuhkan seperti ini akan menghalang orang ramai dari keluar untuk menjalankan saringan, ujian dan dengan itu terlepas dari dikenalpasti, dikuarantinkan dan dirawat sewajarnya. Pihak media dianjurkan supaya menggunakan gaya bahasa yang mesra-emosi dalam saluran komunikasi yang ada supaya orang awam dapat berasa tenang dan tidak dihantui dengan perasaan takutkan jangkitan. Laporan media yang menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang negatif berpotensi mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap mereka (atau keluarga mereka atau kelompok sosial meraka) yang disahkan positif COVID-19. Ini seterusnya boleh menjejaskan layanan yang diberikan masyarakat sekeliling kepada mereka dalam urusan seharian kehidupan.

Melalui pengalaman WHO dalam menangani epidemik H1N1 yang lalu, penggunaan bahasa yang inklusif telah dapat membantu mendidik masyarakat dalam mengatasi epidemik tersebut. Contoh-contoh bahasa inklusif yang disebut oleh WHO adalah seperti berikut:

 

Amalkan

 

Elakkan

 

– Menggunapakai nama rasmi penyakit coronavirus sebagai COVID-19.

 

– Tidak mengaitkan penyakit dengan sesuatu lokasi atau kaum seperti “Virus Wuhan” atau  “Virus Cina”.

 

 

– Merujuk kepada mereka yang disahkan positif sebagai “mereka yang dirawat kerana COVID – 19” atau “mereka yang pulih dari COVID – 19”.

 

 

– Tidak merujuk kepada orang yang disahkan positif sebagai “kes COVID-19” atau “mangsa COVID-19”.

 

– Membincangkan tentang mereka yang bersimptom sebagai “mereka yang berisiko COVID – 19”.

 

 

– Tidak mengatakan mereka sebagai “suspek COVID-19” atau “kes yang disyaki”.

 

– Mengatakan tentang kes “perolehan COVID-19” atau “berkontrak COVID-19”.

 

– Tidak mengatakan mereka sebagai yang “mentransmisikan COVID-19” atau “menyebarkan virus” kerana ini seolah-olah penularan itu disengajakan dan menyalahkan mereka yang telah terjangkit.

 

 

– Membincangkan tentang COVID-19 berdasarkan data saintifik dan maklumat rasmi dari pihak berwajib kesihatan.

 

 

– Tidak berkongsi maklumat yang palsu atau yang diragui kesahihannya.

– Bersikap positif dengan menekankan keberkesanan langkah pencegahan dan rawatan dan pemulihan.

 

 

– Tidak bersikap negatif atau melayan mesej yang memberi gambaran yang wabak ini adalah musibah yang tidak akan berakhir.

Kata-kata yang tidak tepat memberi gambaran salah seolah-olah penyebaran virus itu dirancang atau disengajakan dan menuding kepada mereka yang dijangkiti covid-19 sebagai pihak yang menyebabkan orang lain turut dijangkiti walhal mereka tidak bertanggungjawab terhadap jangkitan yang mereka alami. Ianya bukanlah sesuatu yang dipinta oleh diri mereka sendiri. Menggunakan terminologi yang membawa gambaran jenayah hanya akan menggukuhkan salah-faham yang beranggapan mereka yang telah disahkan positif sebagai pihak yang bersalah dan mesti dipertanggunjawabkan atas penularan penyakit ini dalam kalangan masyarakat setempat. Kesemua ini berpotensi untuk terus meningkatkan stigma, merapuhkan rasa empathi, dan menyebar-luaskan rasa keengganan untuk menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan bagi mendapakan rawatan yang sewajarnya.

 

Teknologi komunikasi yang canggih pula telah memudahkan penyebaran “Infodemik“, satu penularan salah-maklumat atau khabar angin, yang meluncur pantas, lebih pantas, daripada penularan wabak COVID-19. Maklumat yang salah boleh mengelirukan banyak pihak dan kekeliruan pada ketika ini hanya akan merumitkan lagi usaha-usaha untuk membenteras wabak. Perkara yang sangat diperlukan ketika ini adalah solidariti yang kolektif berserta maklumat yang tepat dan jelas untuk terus membantu mereka yang telah dijangkiti kembali pulih dan dapat menjalankan kehidupan normal dalam masyarakat.

Peranan media yang mapan berupaya memperbetulkan salah faham yang menular tanpa menafikan emosi yang terbentuk oleh maklumat yang tidak tepat ini. Usaha mendidik masyarakat awam mesti diperhebatkan lagi sebagai langkah-langkah pencegahan yang mesti diambil oleh setiap individu dan membentuk kesedaran yang tinggi untuk segera menjalankan saringan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Mendidik masyarakat melalui media ini boleh dilakukan dalam kaedah yang pelbagai. Gaya penceritaan adalah satu wasilah mendidik yang berkesan. Berkongsi cerita simpati mereka yang telah pulih dari positif COVID-19 bersendirian dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) atau pengalaman dikuarantin selama 14 hari berjauhan dari ahli keluarga yang tersayang. Pengalaman duka, suka and menginsafkan bagi staf kesihatan yang bersama mereka di hospital juga mampu memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai situasi sebenar di barisan hadapan. Menyatakan sokongan dan kata-kata semangat bagi mereka yang berkorban masa, tenaga serta ilmu dalam merawat dan mengurus pesakit COVID-19 melalui platform sosial media juga adalah satu cara mengekang stigma dan diskriminasi masyarakat, seterusnya membantu memutuskan rantaian virus COVID-19. Fakta yang tepat, dan bukan kebimbangan yang tidak berasas, akan berupaya membenteras wabak ini. 

 

Setiap daripada kita dari pelbagai pihak; kerajaan, rakyat, komuniti serta media dan tokoh-tokoh yang berpengaruh, mempunyai peranan yang tersendiri bagi menewaskan virus COVID-19 ini. Kita perlu secara sedar dan penuh bijaksana apabila kita berkomunikasi di media sosial dan mempamerkan tingkah laku dan akhlak yang positif lagi konstruktif dalam kita menangani pandemik yang melanda dunia ini.  

 

WHO menggariskan cadangan-cadangan seperti berikut bagi membantu mengurangkan stigma dari terus mengancam orang ramai:

 

i.                  Menyebarkan fakta: Kejahilan tentang sesuatu boleh menyebabkan banyak kekeliruan dan kegelisahan yang kemudian melahirkan stigma.  Menyebarkan maklumat yang tepat tentang penyakit COVID-19, bagaimana ia disebarkan, bagaimana seseorang itu mendapat jangkitan mampu memberi kesedaran kepada orang awam. Berkongsi langkah-langkah yang dapat mencegah jangkitan serta cara-cara penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah tindakan yang membolehkan orang ramai untuk lebih maklum dan lebih bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, maklumat pengumpulan data tentang kawasan-kawasan tertentu yang terjejas dengan virus COVID-19, ciri-ciri mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, bagaimana untuk bertindak dalam kes-kes kecemasan serta bagaimana mendapatkan khidmat kesihatan kerajaan yang disediakan mestilah diutamakan. Dalam konteks ini sosial media dapat memainkan peranan yang membina kerana media sosial mengizinkan pencapaian yang lebih luas dengan kos yang rendah.

 

ii.                Melibatkan tokoh-tokoh:  Mengusahakan mereka yang disegani, selibriti yang dihormati ramai serta “influencer” sosial media yang ramai follower untuk turut bersama memberi sokongan kepada mereka yang telah dijangkiti dalam usaha mengurangkan stigma. Satu contoh yang baik adalah seorang tokoh agama yang dikasihi ramai mengunjungi mereka yang tidak positif COVID-19 tetapi adalah ahli kelompok kluster yang diketahui umum telah terjangkit virus COVID-19.

 

iii.              Memperkasakan suara, cerita atau imej pemulihan COVID-19. Mereka yang telah pulih COVID-19, atau mereka yang telah menyokong ahli keluarga melalui tahap-tahap pemulihan apabila bersuara mampu memberikan gambaran pada orang ramai bahawa pemulihan adalah keutamaan dan bukanlah satu perkara yang mustahil. Kempen meraikan hero barisan hadapan negara juga boleh mengurangkan stigma terhadap meraka yang bertugas merawat mereka yang telah dijangkiti virus. Warga sukarelawan juga boleh memainkan peranan yang signifikan dalam mengurangkan stigma masyarakat.

 

iv.              Etika wartawan: Tumpuan khas yang diberikan oleh pihak wartawan kepada tingkah laku individu atau kelompok tertentu yang menggambarkan seolah-olah mereka yang positif COVID-19 bersalah menyebarkan virus. Pengulangan tentang pelbagai usaha menemukan vaksin bertemu jalan buntu berupaya meningkatkan ketakutan dan rasa cemas orang ramai kerana ianya memberi gambaran yang kita tidak berdaya untuk menamatkan jangkitan, dan pandemik ini kelihatan jauh lebih perkasa dari usaha kita semua.

 

v.                Rangkaian: Terdapat pelbagai inisiatif untuk menangani stigma dan stereotaip. Adalah penting untuk menjalinkan hubungan rangkaian dengan pelbagai badan yang bertindak dengan inisiatif ini bagi melahirkan suatu gerakan yang lebih padu dan tersusun dan membentuk satu persekitaran yang menyemarakkan sikap ehsan dan empathi untuk semua.

 

Virus Corona-19 adalah satu sejarah dunia. Ini kerana ianya belum pernah wujud dalam sejarah kehidupan manusia. Sehingga hari ini, ianya masih tidak dikenali dan tiada data atau maklumat mengenainya. Ketiadaan data ini menyulitkan usaha-usaha untuk mencari penawar atau vaksin bagi menamatkan hayatnya. Adalah sesuatu yang lazim bagi manusia untuk berasa gundah, gusar serta gelisah bila berhadapan dengan musuh yang tidak diketahui sifat dan karakternya.  Maklumat yang tidak tepat, kesalahfahaman dan khabar angin yang bertubi-tubi tidak membantu untuk meredakan rasa bimbang, takut dan risau yang kemudian secara tidak disedari melahirkan pula rasa stigma dan stereotaip dalam kalangan masyarakat. 

Emosi yang tidak menentu yang dialami secara berlanjutan dan dalam suasana yang tidak normal digandingkan dengan kekurangan maklumat yang tepat secara tabii nya membawa manusia kepada perasaan terlebih protektif pada diri dan ahli keluarga mereka. Maka secara langsung, pendekatan melabel mereka yang telah dijangkiti didapati adalah cara yang difikirkan paling mudah dan pantas untuk mengelak diri dari terkesan dengan wabak. Ini adalah sifat manusia yang pada asasnya lahir dari tabii ingin melindungi diri dan ahli keluarga mereka dari dijangkiti, namun bila ianya berlaku dalam skala yang besar akan membawa natijah yang memburukkan lagi keadaan wabak.

 

Stigma masyarakat yang berterusan akan menghalang orang ramai dari berlaku jujur tentang maklumat kesihatan atau hubungan kontak rapat mereka. Ketidakjujuran ini mempunyai tag harga yang sangat tinggi kerana ianya mengizinkan virus COVID-19 menerobos ke dalam persekitaran baru, membuka penempatan di “tapak semaian” yang masih segar, seterusnya membiak dan membentuk kluster jangkitan baru. Maka usaha-usaha untuk menamatkan rantaian virus wabak ini akan menjadi jihad yang tidak menemui noktah perjuangan. 

 

Perpaduan kolektif dan kerjasama global diperlukan untuk mencegah penularan lebih lanjut dan mengurangkan kebimbangan masyarakat. Peranan media sosial serta penglibatan figura-figura nasional boleh diperkasakan sebagai usaha mendidik masyarakat untuk mendapatkan fakta yang jelas dan rasmi dan bagi mendorong mereka mengambil langkah-langkah pencegahan wabak. Begitu juga dengan tokoh-tokoh dan “influencer” sosial, di mana mereka boleh memainkan peranan yang besar dalam menghapuskan stigma masyarakat terhadap mereka yang terkesan dengan wabak ini.

 

Kita yakin ini adalah satu musibah yang boleh di atasi bersama. Terdapat pelbagai langkah mudah yang boleh diambil untuk menjaga diri kita dan orang yang dikasihi terlindung dari jangkitan virus COVID-19 ini. Kita mesti bersama-sama memastikan kita mampu mencegah keadaan daripada menjadi lebih parah. Solidariti dan suasana ehsan sesama insan, bukan stigma dan diskriminasi, yang menjadi pemangkin kepada usaha-usaha pembasmian wabak seterusnya membebaskan warga dunia dari cengkaman virus Corona-19. Kita mesti menang!

 

Penulis: Dr. Zairus Norsiah Azahar