Maksud: “Tidak ada pemberian ibu bapa yang paling berharga kepada anaknya daripada pendidikan akhlak mulia” (HR Bukhari).
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa anak merupakan aset terbesar bagi seorang hamba di dunia dan juga di akhirat. Anak-anak yang dilahirkan sebagai permata hati ayah dan bonda merupakan anugerah yang tidak dapat ditukar ganti.
Kata pujangga, anak-anak selain menjadi aset juga merupakan amanah terbesar yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Sebab itu Islam sangat memberikan perhatian besar kepada anak-anak dan pendidikannya. Anak juga aset dan modal insan yang sangat berharga kepada negara. Merekalah penerus generasi masa hadapan yang akan menentukan perkembangan sesebuah negara. Ibu bapa bertanggung jawab mencorak dan melakar kehidupan anak masing-masing menurut landasan yang dituntut oleh Islam.
Kualiti bukan kuantiti
Anak-anak yang berpendidikan dan berkualiti akan membesar menjadi orang dewasa yang berwibawa. Mereka mampu menjadi pahlawan membangunkan, menjaga dan mempertahankan maruah negara. Sebagai penerus generasi akan datang sudah tentu anak-anak tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran sosial mereka. Maka keluargalah merupakan persekitaran sosial yang pertama bagi anak-anak kita. Seterusnya diikuti rakan sebaya, rakan sekolah, rakan persekitaran tempat tinggal dan akhirnya masyarakat. Kesemua ini memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan pertumbuhan dan perkembangan anak-anak ini dari dimensi kualiti bukan kuantiti.
Anak-anak akan menjadi satu pelaburan yang paling menguntungkan di dunia dan akhirat. Walau bagaimanapun, mereka juga boleh menjadi bencana dan tiket ke neraka kepada ibu bapanya. Jika kedua-dua ibu-bapa tidak dapat melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing dengan seimbang maka hasrat melahirkan generasi madani tidak akan menjadi realiti. Kuantiti anak bukan ukuran kepada kebanggaan tetapi memberikan anak-anak contoh akhlak mulia dan pendidikan terbaik merupakan dua perkara asas yang menjadi kewajipan dan perlu digalas di bahu ibu bapa.
Pendidikan yang baik akan melahirkan anak-anak yang soleh. Pendidikan ini mesti dilaksanakan seawal mungkin iaitu seawal anak di dalam kandungan. Hal ini kerana anak-anak ibarat sehelai kertas putih bersih tanpa tompokan. Apa yang akan ditulis di atasnya terpulang kepada ibu bapa. Di usia awal inilah ibu bapa berpeluang untuk menerapkan asas-asas yang kukuh dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa dan akhlak anak-anak khususnya nilai-nilai agama. Hal ini demikian kerana jiwanya belum dicemari dengan sebarang keburukan.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis, yang bermaksud “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dan murni. Masa depan mereka bergantung kepada ibu bapanya sama ada ingin menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR: Bukhari)
Adab dan Akhlak
Segak dan galak juragan bangsa,
Meriah meniti alur mentari;
Adab dan akhlak hiasan nusa,
Sahsiah, mentaliti murni selari.
Maksud yang tersirat dalam pantun tersebut sangat indah dan penuh falsafah. Di sinilah tersirat peranan penting ibu bapa iaitu memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka agar menjadi juragan bangsa pada satu hari nanti. Pendidikan ini kelak akan membentuk sahsiah dan mentaliti anak-anak yang murni agar selari dengan tuntutan Ilahi. Ibu bapa merupakan pihak pertama yang bertanggungjawab memberi pengajaran tentang adab dan akhlak.
Adab dan akhlak penting dalam mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah. Hal ini sememangnya penuh cabaran jika tidak dimulakan lebih awal lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Banyak sumber yang boleh merosakkan jiwa anak-anak yang semakin berleluasa dan mudah dicapai oleh mereka. Jadi sebagai ibu bapa, hendaklah berusaha menanamkan keimanan dan nilai Islam yang utuh dalam diri anak-anak agar menjadi pasak teladan dalam menyokong perkembangan jiwa mereka.
Anak yang soleh dan solehah boleh menjadi penolong kepada ibu bapanya. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa sudah tua. Setiap kebaikan yang dilakukan oleh seorang anak akan membawa kebaikan kepada ibu bapanya. Sebaliknya, jika seorang anak melakukan dosa dan dia menirunya daripada ibu bapanya, maka mereka juga menanggung dosa-dosanya.
Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad yang bermaksud “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara, ilmu yang bermanfaat, sedekah yang mengalir, dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya.” (HR Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad)
Oleh itu, ibu bapa hendaklah berhati-hati dalam mendidik dan sebagai qudwah hasanah dapat memberi contoh akhlak mulia kepada anak-anak. Sejak awal perkahwinan, ibu bapa harus melengkapkan diri dengan ilmu agama agar dapat membimbing dan mendidik anak-anak di masa hadapan dengan baik.
Memiliki anak yang berbakti adalah impian dan harapan terbesar setiap ibu bapa. Memang tidak dapat dinafikan anak merupakan anugerah luar biasa yang dititipkan oleh Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang teristimewa. Berapa ramai pasangan yang telah berkahwin selama bertahun-tahun dan tidak dikurniakan anugerah yang luar biasa ini. Maka kita yang terpilih memiliki permata berharga ini perlu bersyukur akan rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan.
Rumusan
Maka, beruntunglah pasangan yang telah dianugerahkan permata dan menjadi buah hati yang hebat sepanjang hayat ini. Oleh sebab itu, sebagai ibu-bapa hendaklah membekalkan anak-anak dengan Pendidikan berkualiti dan pembelajaran hidup yang berguna di masa mendatang. Hal ini demikian kerana anak-anak kita merupakan aset yang sangat berharga dan tanpa anak-anak siapalah ibu-bapa.
Aset ini merupakan simpanan yang tidak akan habis walaupun kedua ibubapanya telah meninggal dunia. Manfaatnya akan mengalir dan memayungi ibu-bapa di alam barzah. Justeru, sebagai ibu bapa kita seharusnya menyediakan keperluan buat anak-anak kita sebagai pelapis generasi akan datang dengan sebaik mungkin. Hal ini perlu diberi perhatian supaya kita mempunyai simpanan yang berharga di akhirat nanti seperti makna yang tersirat dalam pantun berikut. Renung-renungkan.
Rendang saga di tepi dermaga,
Berenang kerisi seluang di jeti:
Kebanggaan bonda aset berharga,
Pelapis generasi pejuang sejati.
Sudut Pandangan
Penulis: Nurul Asmida bt Saad
Disember 2023
Rujukan
Shaikul Hadith Hazrat Maulaza Muhammad Zakariya Ramatullahi’alaih. Fadhilat Amal.
Cetakan Kelapan. 2007. Kuala Lumpur: Era Ilmu Sdn Bhd.
Darisman, Dede.
Konsep Pendidikan Anak Menurut Abdullah Nashih Ulwan. Online Thesis, [S.l.], v. 9, n. 2, nov. 2016. ISSN 2548-7361. Available at: <https://www.tesis.riset-iaid.net/…/tesis/article/view/18>. Date accessed: 22 dec. 2023.
More Stories
Erti Sebuah Kemerdekaan
Pengiktirafan MBBY
Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak