November 21, 2024

“Eh, Rina, kenapa mata kau bengkak? Kau menangis?” Hanis merenung wajah Rina sebaik saja mereka bertemu di sebuah kedai runcit.

“Mana ada,” Rina cuba melarikan anak matanya daripada direnung Hanis.

“Rina, pasal Johan kan?” Hanis memegang tangan Rina dan menariknya ke satu sudut berhampiran pintu masuk kedai berkenaan.

“Ermmm…,” Rina cuba menahan air matanya daripada menitis, namun semakin ditahan semakin melimpah keluar dari kelopak matanya.

“Rina, Johan tahu tak kau ke kedai ni?” Hanis meliarkan pandangan ke setiap sudut kawasan kedai berkenaan kerana bimbang kemungkinan Johan muncul tiba-tiba.

“Tahu, sebab aku cakap nak beli susu anak, nak beli lauk juga,” Rina menyeka air mata dengan hujung lengan baju kurungnya.

“Rina, meh dengar apa yang aku nak cakap ni.” Hanis cuba memujuk Rina untuk bangkit dan melepaskan diri daripada Johan,suaminya. 

Ini bukan kali pertama Rina dipukul oleh Johan. Sejak PKP,keadaan Rina semakin tertekan. Tangan Johan semakin ringan membalun tubuh Rina. Bukan itu sahaja, ugutan Johan akan merampas anak mereka menyebabkan Rina sanggup diperlakukan sedemikian rupa. 

Isu keganasan rumahtangga merupakan isu global. Isu yang digeruni oleh mangsa yang kebanyakannya wanita bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. 

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Pindaan) 2017 telah dikuatkuasakan di seluruh Malaysia. Akta ini memperuntukkan undang-undang yang khusus dalam hal-hal keganasan rumahtangga dan penyelesaian bagi kes-kes yang berkenaan.

Apakah yang ingin dicapai apabila seorang lelaki dan seorang wanita membuat keputusan untuk bernikah?

Dalam Islam, perkahwinan merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” (Surah az-Zariyat: 49).

Perasaan ingin berpasangan dengan rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah manusia. Ia boleh direalisasikan dengan cara yang halal melalui ikatan perkahwinan. Perkahwinan mampu menghindarkan diri dari perkara yang tidak bermoral seperti zinadan dalam masa yang sama dapat menjaga nasab keturunan.

Melalui perkahwinan juga, terjalin hubungan silaturahim antara dua keluarga, saling mengenali antara pasangan, ibu bapa mentua, ipar-duai dan saudara-mara. Ada ketikanya merentasi batas bangsa dan adat budaya. Asbab perkahwinan, manusia berkembang-biak untuk memakmurkan bumi ini.

Apakah jaminan Allah melalui ikatan perkahwinan?

Firman Allah SWT:

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَأيٰتٍ لِّقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (ar-Rum, 30: 21)

Sekiranya tujuan perkahwinan itu kabur dan bercelaru, malah jika hanya untuk memuaskan hawa nafsu semata-mata tanpa pertanggungjawaban, ia boleh menjerumuskan pasangan berkenaan ke dalam tsunami rumahtangga. Dengan sendirinya ia tidak memenuhi tujuan perkahwinan yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri. Kehidupan menjadi porak-peranda dan anak-anak pula menjadi mangsa keadaan.

Untuk menghindarkan keadaan ini berterusan, pasangan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor atau individu yang dipercayai. Kerjasama antara kedua-dua pasangan sangat diperlukan bagi menyelamatkan rumahtangga yang telah dibina. 

Sekiranya tidak dapat berbuat demikian, jangan biarkan diri didera oleh pasangan. Selamatkan diri  dengan meminta bantuan daripada orang sekeliling seperti jiran tetangga, sahabat yang dipercayai atau ahli keluarga. Ambil gambar sebagai bukti penderaan dan buat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Ini untuk memudahkan siasatan dibuat.

Dapatkan tempat perlindungan sementara bagi menyelamatkan diri. Anda boleh menghubungi Talian Kasih  15999 atau Whatsapp 019261 5999 untuk mendapatkan pelindungan, kaunseling dan sebagainya.

Kehidupan seperti roda. Setiap ujian ada tempuh hayatnya. Anda berhak untuk hidup bahagia. Berpisah secara baik apabila tidak nampak lagi jalan untuk ‘berdamai’. Jangan biarkan diri anda dibelenggu oleh pasangan yang mementingkan diri sendiri.

Nukilan Anisah Mat Asi