Sun. Apr 28th, 2024

Kuali, Wanita Dan Masakan

Kuali?

Siapa yang tidak kenal kuali. Tanpa kuali, tidak lengkaplah fungsi sesebuah dapur itu. Kehadiran kuali membolehkan masakan enak  dihasilkan dan anda mampu menyajikan air tangan sendiri kepada keluarga.  Meski sebuah peralatan biasa tetapi kini martabatnya telah diangkat. Di pasaran terdapat pelbagai jenis pilihan kuali  yang diperbuat  daripada aluminium, kuali tidak melekat , kuali  daripada batu granit dan banyak lagi. Harganya juga berbeda dan mampu mencecah ribuan ringgit. Pemilihannya juga  bergantung kepada citarasa dan keselesaan individu. Kuali bukan sahaja  digunakan untuk menyediakan masakan bergoreng tetapi juga berkuah. Berbeda pula dengan penggunaan periuk dimana  sedikit sukar  menggoreng di dalam periuk  kerana ia juga memerlukan penggunaan minyak yang lebih banyak.

Sinonim dengan kepentingan dan peranan kuali di dapur, wanita juga merupakan elemen penting yang memainkan peranan besar dalam institusi keluarga dan masyarakat. Sebuah keluarga juga masyarakat tidak dapat berfungsi dengan sempurna jika tiada sentuhan dan kehadiran seorang wanita. Wanita memainkan peranan yang penting dan memikul tanggungjawab yang besar dalam pembinaan dan pembangunan sesebuah institusi keluarga juga masyarakat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan memerhati dan menghayati peranan wanita seawal zaman kebangkitan awal Islam lagi. Peranan yang besar telah dimainkan oleh isteri-isteri Rasulullah (SAW) dan para sahabiyah dalam mendidik generasi serta menyokong aktiviti dakwah Islamiah memberi sumbangan besar terhadap pembentukan kerajaan awal Islam di Madinah (Abdul Rahman et. al, 2010).

Dewasa ini, selaras dengan perkembangan zaman dan perubahan masyarakat  peranan dan tanggungjawab wanita tidak terhad di dalam rumah sahaja. Perubahan ini membuka luas peluang pekerjaan yang menuntut penglibatan kaum wanita dalam pelbagai sektor ekonomi, industri dan sosial. Berbeza dengan zaman sebelum merdeka, pembangunan negara ini menyebabkan sebahagian besar wanita berkerjaya dan perlu keluar rumah untuk turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.  Peranan dan tanggungjawab wanita tidak lagi terhad sebagai isteri dan ibu di rumah. Negara yang sedang membangun dan meningkat maju menjadikan keterlibatan wanita di dalam masyarakat perlu dan penting dalam mencapai kestabilan dalam mengecapi kejayaan negara. Wanita turut berperanan besar dalam pembangunan institusi keluarga, masyarakat dan juga negara.

Situasi wanita berkerjaya dan berpendidikan tinggi ini telah menimbulkan stigma dikalangan masyarakat yang mengaitkan golongan wanita ini semakin kurang skil  memasak dan beransur mengabai  fungsi kewanitaan. Wanita sering dikecam dengan lunturnya sifat kewanitaan jika mereka berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Keluhan saperti  ‘sia-sia sahaja berpendidikan tinggi’  kedengaran disana sini, seolah-olah tidak menggalakkan wanita melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.  Persepsi demikian wujud  mungkin juga disebabkan oleh kelemahan yang ditunjukkan sebahagian  wanita itu sendiri

Dalam masyarakat yang masih berpegang kuat kepada budaya tradisional,  wanita dan masakan sebenarnya sukar untuk dipisahkan. Meskipun tukang masak terbaik dunia adalah seorang lelaki. Wanita tidak seharusnya merendahkan martabat mereka dengan menyisihkan diri mereka daripada ‘kuali’ ataupun membiarkan diri terus terbelenggu dengan tahap tidak kompeten di dapur. Wanita setinggi manapun pendidikannya tetap disarankan untuk memiliki sekurang-kurangnya keupayaan asas mengendalikan urusan dapur. Hasilnya tidak semestinya perlu hebat,  sekurang-kurangnya semua wanita harus mampu menyediakan masakan asas yang mudah. Malahan di era digital ini   terdapat banyak informasi  berkenaan resipi dan masakan lalu-lalang di media sosial. Gunakanlah kemudahan ini sebaiknya dan bantu ubah persepsi dan stigma masyarakat  yang mengaitkan pelajaran tinggi dengan kelunturkan keupayaan wanita  mengendalikan urusan dapur dan penyediaan makanan.

Buktikan kepada  dunia bahawa persepsi ini tidak benar dan secara tidak langsung dapat mengangkat  martabat wanita berilmu dan dapat diberi  pengiktirafan sewajarnya. Terdapat banyak kelebihan apabila wanita mampu memasak dimana makanan  lebih bernutrisi, bersih, sihat kerana dapat dikenal pasti sumber bahan,  dikawal bahan perasa, kandungan gula, garam dan minyak. Ia  lebih enak dan menjimatkan. Selain kelebihan ini, makanan yang disediakan ikhlas dari hati itu pasti diberkati. Bak kata-kata masak dari hati, masak dari iman.

Meski kini terdapat bermacam kemudahan perkhidmatan penghantaran  makanan siap bermasak  untuk memudahkan kita yang sedia sibuk dengan rutin harian yang pelbagai. Begitu juga terdapat perkhidmatan pembantu rumah untuk meringankan beban wanita berkerjaya mengurus rumahtangga. Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk menggunakan kemudahan ini bagi  meringankan bebanan tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Sekali -sekala wanita berusahalah memasak untuk keluarga dengan bantuan   pembantu rumah yang  menyediakan bahan-bahan masakan dan mengemasnya.

Kuali, wanita dan masakan bagaikan sudah tersimpul. Setiap wanita mempunya kekangan dan kelebihan yang berbeza. Masyarakat tidak perlulah  menjadi penilai dan penghukum. Cukup sekadar  kita fokus menjaga kesejahteraan keluarga sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing. Wanita perlu terus berusaha meningkatkan potensi diri, melaksanakan tanggungjawab dan memain peranan mereka sebaiknya tanpa mengabai  martabat wanita dan ilmu. Hanya wanita sahaja mampu merubah  persepsi yang melemahkan  yang dilontarkan segelintir masyarakat kepada para wanita agar fungsi sebagai seorang wanita itu dilihat cukup lengkap walau tidak terlalu hebat mahupun serba sempurna .  

Rujukan

Ab. Rahman, Asyraf and Wan Ahmad, Wan Ibrahim and Ismail, Zainab (2010)  Peranan wanita dalam pembangunan keluarga dari perspektif Fi Zilal al-Quran. Journal of Governance and Development, 6. pp. 14-21. ISSN 2289-4756

Tulisan : Amelia Ahmad Khalili