November 23, 2024

Cabaran menangani anak-anak membesar

Menurut ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan, anak adalah amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada ibu bapa dan hati seorang bayi itu suci ketika baharu dilahirkan. Jika anak-anak dibiasakan dan diajar dengan kebaikan maka mereka akan membesar dengan kebaikan tetapi jika sebaliknya, mereka akan membesar dengan kejahatan.

Tidak kira masyarakat, bangsa mahupun agama, semua ibu bapa di dunia ini mahu setiap anak yang dilahirkan, dididik dan diasuh menjadi orang berguna serta berjaya dalam hidup. Namun, mengasuh dan mendidik tidak pernah mudah, sebaliknya kian mencabar dari hari ke hari. Setiap pilihan dan keputusan dibuat perlulah sentiasa rasional, berpaksikan rasa tanggungjawab dan hormat-menghormati. Dalam kebanyakan situasi, asuhan dilihat menjadi titik penting dalam membentuk modal insan cemerlang.

Cabaran Pertama: Asuhan

Menurut Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, bentuk asuhan ibu bapa boleh dianggap sebagai kata kunci paling kritikal dalam membentuk peribadi seorang anak berikutan cenderung meninggalkan pengaruh dalam kehidupan individu di masa akan datang. Menurut kajian yang dibuat oleh ahli psikologi Barat, Diana Blumberg Baumrind dan juga satu kajian tempatan yang dibuat oleh Profesor Madya Dr Azizi Yahaya dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia dengan jelas menyatakan terdapat tiga jenis gaya asuhan ibu bapa iaitu autoritatif, autoritarian dan permisif.

Ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan autoritatif mampu mengawal dan bertanggungjawab terhadap anak-anak. Gaya asuhan bersifat rasional dan demokratik ini dapat membentuk anak berfikiran positif, aktif bersosial, bertanggungjawab dan kompeten dari aspek kognitif. Hasil kajian itu juga mendapati bahawa komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak turut membantu mewujudkan suasana keluarga yang aman tenteram serta remaja bersikap positif.

Berbeza dengan ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan autoritarian, mereka selalunya lebih suka mengawal, tetapi kurang bertanggungjawab. Anak-anak yang dibentuk dengan gaya asuhan ini cenderung berfikiran negatif, sering memberontak, pendendam, kerap bimbang, cemas, khuatir, pendiam, pemalu, mempunyai konsep kendiri rendah dan kurang motivasi untuk berdikari. Paling utama, mereka mudah bermusuhan sekiranya dikecewakan. Gaya asuhan autoritarian ketara apabila ibu bapa lebih selesa memilih pendekatan hukuman dan peraturan ketat serta tidak membenarkan anak-anak mempertikaikannya. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran tidak sihat kepada perkembangan kendiri remaja sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala yang tidak sihat seperti buli, lepak, pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan dan sebagainya.

Akhir sekali adalah gaya asuhan permisif. Gaya ini merujuk kepada ibu bapa mesra dan bertanggungjawab, tetapi lemah dalam kawalan. Mereka cenderung mendidik anak menjadi seorang yang terlalu bergantung, kerap meminta dan impulsif. Kelompok ibu bapa yang mengamalkan gaya asuhan ini lazimnya tidak mengambil berat terhadap kebajikan dan keperluan anak-anak. Tindakan mereka mudah mendorong rasa kecewa dalam hati anak-anak. Justeru, tidak hairan jika anak merasakan ibu bapa mereka lebih mementingkan diri berbanding urusan keluarga yang sewajarnya,

Nampak jelas gaya asuhan autoritarian dan permisif mudah mendatangkan kemudaratan kepada remaja kini. Ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengawal segala pergerakan anak dipercayai akan melahirkan kelompok remaja yang kuat memberontak, emosinya tidak stabil dan sukar bersosial secara positif. Sementara ibu bapa yang terlalu permisif pula akan menghasilkan remaja yang kurang keyakinan diri dan mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala negatif seperti yang kita lihat, hari ini.

Oleh itu sebagai ibu bapa asuhan merupakan perkara paling penting dalam menghadapi cabaran membesarkan anak. Malangnya kebanyakan ibu bapa sering terlepas pandang. Asuhan dianggap sebagai didikan untuk membentuk peribadi dan sikap baik anak-anak. Namun, tidak ramai yang sedar bahawa asuhan juga boleh merosakkan kehidupan individu.

Cabaran Kedua: Memilih kawan

Sejak dulu, kaum ibu memang tidak pernah terpisah daripada pelbagai bentuk nasihat, khusus buat anak-anak tersayang. Peringatan paling popular sebaik anak menginjak alam remaja adalah gesaan supaya mereka selalu bijak memilih kawan.

Mengajar anak memilih kawan mungkin dianggap suatu bentuk diskriminasi atau prejudis oleh sesetengah orang. Namun, realitinya tiada seorangpun ibu bapa yang suka jika anak mereka bergaul dengan kelompok pembuli, penagih, pencuri atau kerap ponteng sekolah.

Pada zaman serba canggih ini, kesilapan memilih kawan sering dikaitkan sebagai punca remaja semakin berani bertindak liar dan sukar dikawal. Salah satu keperluan penting ketika menempuh usia remaja adalah bersosial dan berkawan. Mungkin hal ini kedengaran biasa, namun ibu bapa wajar memberi lebih perhatian terhadap hal ini.

Ketahui bahawa remaja perlu dididik untuk memilih kawan yang baik. Mulakan dengan diri sendiri dan tunjukkan teladan yang baik apabila berkawan. Hal ini penting kerana jika kita sendiri tidak melayan kawan dengan baik, anak-anak akan terikut sama. Berikan tunjuk ajar secara positif mengenai peranan anak dan rakan-rakan mereka terhadap satu sama lain.

Pastikan mereka boleh menerima sesiapa sahaja sebagai kawan dan bukannya terlalu memilih atau mendiskriminasi. Dalam masa sama, pastikan mereka tahu cara menangani tekanan daripada rakan serta mengelak sebarang pengaruh negatif yang boleh merosakkan diri.

Cabaran Ketiga: Ilmu kesihatan seksual

Satu daripada masalah sosial yang paling digeruni ibu bapa kepada anak remaja kini adalah ancaman seks luar nikah. Kebimbangan lebih dirasai oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan apatah lagi yang tinggal jauh daripada pandangan.

Malah statistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2011 menunjukkan hampir 5.8 peratus remaja di Semenanjung Malaysia berusia di antara 13 dan 14 tahun pernah melakukan hubungan seks luar nikah.

Lebih membimbangkan apabila kajian berkenaan turut mendedahkan bahawa kelompok remaja berusia 18 hingga 24 tahun adalah yang paling aktif kehendak seksual. Jadi sebagai ibu bapa mereka perlu lebih berani untuk berbicara mengenai ilmu kesihatan seksual dengan anak remaja.

Hal ini demikian kerana, semakin banyak perkara benar diketahui mengenai seks, kemungkinan besar mereka akan lebih takut untuk mengadakan hubungan luar nikah. Sebagai contoh ibu bapa perlu turut serta membantu dan memperlengkapkan diri anak perempuan, khususnya remaja, dengan ilmu kesihatan seksual serta reproduksi. Terangkan kepada anak remaja mengenai definisi seksual. Hal ini tidak hanya membabitkan aspek fizikal semata-mata, tetapi turut mengaitkan emosi, perundangan, sosial dan spiritual. Paling utama, pastikan kita sendiri memahami ilmu ini dari pelbagai dimensi.

Sementara bagi anak lelaki pula, tanamkan perasaan hormat dan bertanggungjawab kepada wanita. Didik mereka menjadi lelaki budiman, bertimbang rasa dan berfikiran matang. Paling penting, sentiasa bekalkan anak-anak dengan pengetahuan agama supaya mereka mempunyai pegangan yang lebih kukuh dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

Saranan Penambahbaikan

Saranan yang dapat diberikan adalah anak-anak perlu disediakan dengan ilmu, kemahiran dan jati diri supaya tidak tersasar dari jalan agama dan undang-undang. Selain itu ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak. Jika kita anggap mendidik anak ini sebagai satu ibadah nescaya kita akan sentiasa berlapang dada dan yakin ganjaran besar menanti.

Buruk macam mana pun perangai anak kita, jangan sesekali timbul prasangka buruk padanya. Secebis prasangka buruk boleh membunuh keikhlasan hati kita menyayangi dia. Tidak dinafikan anak-anak syurga ini datang dengan ujian. Memang salah satu tujuan mereka diciptakan adalah untuk menguji kita. Makin kita kuat, makin kuatlah ujiannya.

Ya memang penat untuk menghadapinya. Cuma penat setiap orang itu berbeza-beza situasinya. Hidup setiap manusia adalah Custom Made khas untuk individu tersebut sahaja. Jadi penat setiap orang berbeza-beza. Ada penat fizikal, ada penat minda, ada penat jiwa dan ada juga yang penat layan perasaan Tidak salah rasa stress diuji. Tidak salah rasa marah diuji. Tidak salah pun ada perasaan begini. Kita hanya makhluk lemah yang memang fitrahnya ada emosi dan rasa stress.

Cuma satu, kita ingat dalam hati sedalam-dalamnya, anak bukan musuh dan tidak akan pernah mahu jadi musuh kita, anak bukan sengaja hendak kita marah dan stress tetapi stress ini adalah tanda kelemahan kita sendiri. Kita yang perlu urus emosi dengan baik. Kita yang kena urus rasa stress ini sendiri. Kita yang kena faham keadaan anak, bukan sebaliknya.

Oleh itu, sebagai ibu bapa perlu ada sifat sabar dalam mendidik anak-anak. Sebut sabar itu mudah tapi yang benar-benar pernah melalui situasi yang mencabar sahaja akan tahu apa itu erti sebenar sabar. Apabila ada anak sendiri ujian dan cabaran itu akan datang berganda ganda lagi berbanding tiada anak. Sabar adalah penanda aras kasih sayang kita. Makin kita sabar makin tinggi kita menyayangi anak kita. Terdapat 3 tahap sabar:

  1. Menahan diri

Tahap pertama apabila anak buat sesuatu perkara yang menyakiti hati,  kita menahan diri sebaik mungkin daripada marah. Sabar je.

  1. Memaafkan

Tahap kedua pula ialah apabila kita tahu anak kita sengaja dan terus memaafkan anak walau apa kesalahan pun yang dia lakukan.

  1. Balas kebaikan

Tahap tertinggi adalah apabila kita boleh terima sahaja apa anak buat dan ikhlas memberi kebaikan pada dia. Walau salah kita boleh senyum dan buatkan spageti kegemaran untuk dia.

Sabar bukan matlamat tapi sabar adalah jalan mengejar matlamat utama iaitu syukur.

  1. Sabar dengan apa yang berlaku.
  2. Reda, terima sepenuh hati walaupun perit.
  3. Syukur, matlamat sebenar kita dalam hidup adalah untuk bersyukur.

Jom jadi ibu bapa yang tinggi tahap kesyukuran. Tenang dan bahagia sekeluarga.

Sebagai ibu bapa perlu ada sifat syukur. Dalam hidup ini semakin banyak kita ada rasa tidak cukup dan tidak bersyukur dengan nikmat yang sudah diterima nescaya semakin mudah resahlah hati ini pada nikmat nikmat yang belum lagi dirasai. Allah itu Maha Mengetahui, kita tidak akan pernah memahami keperluan diri sendiri lebih daripada Allah memahami keperluan kita. Hal ini ialah hakikat yang kita tidak akan boleh lupa sampai bila-bila.

Nikmat dan ujian yang kita terima hari ini, bukan kita yang tentukan tetapi nikmat dan ujian itu yang telah ditentukan khas untuk kita. Terima ujian dengan reda dan syukurinya seikhlas hati. Nescaya makin kita syukuri makin kuranglah resah dalam diri pada nikmat yang belum dirasai lagi.  Insya-Allah.

NURUL ASMIDA SAAD