Angin lalu membawa rindu,
Resah jiwa bersulam gundah,
Ramadan berlalu penuh syahdu,
Moga taqwa digapai indah.
Burung merpati terbang rendah,
Hinggap memilin rumput berduri,
Lebaran dinanti menjelang sudah,
Silaturahim dijalin nikmat disyukuri.
PENAWAN dengan penuh takzim mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447H kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para penulis dan aktivis-aktivis kemanusiaan serta wanita yang terus gigih mengangkat martabat dan suara wanita ke pentas kesedaran masyarakat. Semoga Allah SWT terus mengurniakan kepada kita hikmah, keteguhan jiwa dan iltizam yang tidak pernah luntur meneruskan perjuangan mencerdikkan, memperkasa dan memberi khidmat untuk kemaslahatan ummah.
Syukur pada Ilahi, dalam kacau-bilau dunia yang sedang bergelut dengan peperangan dan penindasan, Allah SWT masih kurniakan kita nikmat untuk bersama-sama menyambut hari raya bersama keluarga dan insan tersayang di negara kita yang makmur. Nikmat ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga amanah yang menuntut kita terus mensyukuri dan memeliharanya dengan penuh tanggungjawab.
Sepanjang Ramadan yang lalu, kita mensyukuri nikmat berpuasa di rumah bersama keluarga, mengerjakan solat berjemaah di surau yang selesa, ada makanan untuk bersahur dan berbuka, dapat berkongsi rezeki bersedekah kepada yang memerlukan. Semoga Syawal yang menjelang ini memperbaharui tekad kita untuk terus menghargai nikmat kehidupan dan kehadiran insan-insan tersayang di sisi kita ibu bapa, pasangan, anak-anak, sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat seperjuangan.. Semoga setiap amalan dan kebajikan yang kita kerjakan sepanjang bulan Ramadan diterima dan diredhai oleh Allah SWT.
Untuk kaum lelaki, semoga ikhtiar dan pengorbanan yang dilakukan untuk terus mencari rezeki demi keluarga sambil tetap dalam ketaatan menjalankan tanggungjawab sebagai hamba-Nya, diganjari berlipat ganda oleh Allah. Untuk kaum wanita, para ibu dan anak-anak perempuan yang sama-sama bangun seawal pagi menyediakan juadah bersahur dan kemudiannya juadah berbuka di petang hari, ibu-ibu yang tidak dapat turut serta ke masjid beribadah kerana menjaga anak-anak di rumah, pasti juga Allah menyediakan ganjaran yang terbaik dan tertinggi juga atas usaha dan pengorbanan anda.
Pada bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita terus berdoa kepada Allah supaya kemelut dan pergolakan yang melanda dunia hari ini beransur pulih dan nasib semua umat terbela. Seperti mana kita yang selesa dan dikurniakan nikmat keamanan, ayuhlah terus berdoa dan berharap agar lelaki-lelaki, wanita-wanita serta anak-anak di Palestin, di Sudan, di Congo dan di mana-mana di seluruh dunia ini dibela hak dan maruahnya dan semoga mereka juga dapat hidup dalam keamanan selayaknya semua manusia di atas muka bumi ini.
Sesungguhnya Aidilfitri bukan sekadar perayaan kemenangan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga kemenangan hati yang kembali kepada fitrah kasih sayang, keinsanan dan kepedulian terhadap nasib sesama manusia.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir dan Batin.
Nur Atiqah Yahya
Pengerusi PENAWAN

More Stories
‘Voices from the Rubbles’
Selamat Hari Malaysia
Bengkel Penulisan Novel Remaja