November 21, 2024

Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak

Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak

Menurut Kamus Dewan memeluk bermakna mendakap atau merangkul orang yang kita sayangi. Sebagai mak dan ayah, pastilah orang yang paling kita sayangi ialah anak kita. Memeluk anak yang kita kasihi setiap hari sangat memberi impak yang besar dalam kehidupan anak.

Pelukan ikhlas, penuh kasih dan perhatian mak dan ayah lazimnya memberi impak positif. Salah satunya ialah perbuatan tersebut boleh menjadikan anak-anak bijak, yakin diri, patuh dan membesar penuh sopan-santun. Sebagai mak dan ayah, sudah pasti kita ingin anak-anak kita membesar sebagai generasi madani yang dipayungi kesantunan, memiliki jati diri dan perkasa serta menjadi kebanggaan keluarga, agama, bangsa dan negara.

Peluklah anak sama ada anak kita lelaki atau anak perempuan dengan menjaga batas-batas yang ditentukan agama. Hal tersebut merupakan cara termudah dan termurah untuk mak dan ayah membina hubungan pada zaman yang mana kita sering sibuk terkejar-kejar masa. Pelukan ini memberi kekuatan dalaman kepada mereka. Pelukan penuh kasih-sayang tanpa syarat boleh menimbulkan emosi positif yang boleh menghasilkan endorphin. Endorphin ini akan memberi tenaga positif kepada sel-sel dalam badan dan menjadikan seorang itu lebih berdaya dan berfikiran positif.

Kuasa pelukan ini amat menakjubkan. Biasakan memeluk anak-anak dengan pelukan kasih sayang sejak mereka kecil tanpa malu. Rutin tersebut perlu kekal sehingga mereka meningkat remaja dan dewasa. Banyak rahsia yang sukar dijelaskan di sebalik pelukan kasih-sayang daripada mak dan ayah. Rangkulan dan dakapan mak dan ayah merupakan sesuatu yang didambakan dan tidak akan dilupakan oleh anak-anak sepanjang hayatnya.

Pelukan kasih-sayang dan rindu mak dan ayah dapat meredakan ledakan emosi yang dialami anak. Apabila anak-anak mengalami ‘temper tantrum’ atau tekanan, sebenarnya anak sedang menghadapi masalah dengan regulasi emosi. Pelukan mengurangkan hormon stres (cortisol) dan menaikkan hormon kasih sayang (oxytoxin) yang meredakan emosi. Bukan itu sahaja, pelukan terhadap anak-anak sendiri juga dapat meredakan tekanan yang sedang dialami mak dan ayah.

Jika dikaitkan dengan pendidikan tarbiyatul aulad cara Nabi SAW, baginda sendiri sering memeluk dan mencium anak-anak dan cucu-cucu baginda. Hal ini kerana memeluk adalah salah satu bahasa kasih. Anak yang dipeluk berasa tulus kasih dan sayang mak dan ayahnya. Pelukan dan belaian penuh kasih mak ayahnya ditambah dengan disiplin yang betul menjadikan anak itu seorang yang berjiwa kuat dan berperikemanusiaan. Jika dari kecil kita sering memeluk anak, tidak ada sesiapa yang akan berasa kekok. Jika baru hendak bermula, teruskanlah, tidak ada salahnya.

Menurut Zaid Mohamad iaitu seorang Perunding Motivasi Keluarga, mak ayah kena yakin dan menerima kenyataan bahawa setiap anak berbeza-beza perilaku dan sikap. Sebagai mak ayah usah melenting jika anak kedua tidak mendengar kata sebagaimana yang sulung atau anak ketiga terlalu perlahan berbanding yang lain.

Ujar beliau lagi, sebagai anak mereka tidak inginkan reaksi ‘tengking atau tinggi suara’ daripada mak ayah apabila mereka melakukan kesilapan, tetapi mereka menginginkan pelukan kasih sayang terutama bagi anak yang degil, aktif dan suka meraih perhatian. Jika kita sebagai mak ayah terlalu kerap marah, tidak mustahil anak akan memberi reaksi sama kepada kita.

Kalau kita mengutamakan pelukan terhadap anak kita, anak akan menjadi lebih mudah dibentuk dan mendengar nasihat. Jadi sebagai mak ayah marilah kita menilai kembali bentuk layanan yang diberikan terhadap anak-anak kita agar mereka tidak terus menjauh diri dan membina jarak dengan kita pada masa depan. Hal ini sangat penting diberi perhatian kerana pada hari tua nanti kita pula yang sangat mendambakan pelukan dan perhatian daripada anak-anak kita.

Mak

kami merindukan jutaan pelukan hangat,

yang menyusup

di sela-sela setiap buih hembusan nafas,

Ayah

Dakapanmu amat kami harapkan

Rangkullah kami

mendampingi doamu kepadaNya,

Di kala sinar fajar masih terlelap..

Peluklah kami mak dan ayah

Kami ingin belai manjamu

seperti bayi waktu kami terlentang,

ketawa dan menangis,

kami didakap mesra

Sekian lama kami nantikan

Berkesinambungan

Berterusan

Sahabat-sahabat, mari memeluk mendakap, merangkul anak-anak kita dengan penuh kasih-sayang tanpa noktah sehingga hujung nyawa.

Penulis: Nurul Asmida Bt Saad

Rujukan

https://repository.uinjkt.ac.id/…/handle/123456789/46541

https://www.muftiwp.gov.my/…/4028-al-kafi-1545-hukum…

https://repository.uinsuska.ac.id/…/FILE%20LENGKAP…

https://www.hmetro.com.my/…/didik-anak-melalui-pelukan

https://www.hmetro.com.my/…/peluk-lebih-kerap-anak-lelaki

https://www.majalahpama.my/jangan-lepaskan-12-waktu…/