December 13, 2025

Majlis Hi-Tea PENAWAN 2025

Majlis Hi-Tea PENAWAN 2025: Cakna, Informatif, Kreatif yang berlangsung pada 6 Disember 2025 di Rumah Makan Cibiuk Kajang berjaya menghimpunkan kira-kira 30 orang ahli dan jemputan, sekali gus menjadikan majlis santai ini penuh meriah dan bermakna.

Acara bermula pada jam 2.30 petang dengan sesi ucapan aluan oleh penasihat PENAWAN, Dr Umi Kalthum Ngah sebelum diteruskan dengan pelancaran buku Voices from the Rubbles. Buku tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila semua stok yang dibawa untuk jualan habis terjual dalam masa yang singkat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran juara Pertandingan Menulis Esei Tema ‘Buli’, Yuszairena Nur Syahirah yang hadir dari Johor bersama suami dan dua orang anak. Pertandingan yang dijalankan pada Oktober lalu merupakan salah satu usaha PENAWAN untuk mencungkil sekali gus menghargai bakat dan kreativiti para peserta.

“Jangan berhenti menulis,” pesan Dr Umi kepada para pemenang pertandingan.

Majlis turut menyaksikan bacaan puisi oleh dua penyair yang tampil mempersembahkan karya masing-masing, iaitu Cikgu Pandian selaku wakil PEMUISI dan Cikgu Minah, ahli aktif PENAWAN. Persembahan mereka menerima tepukan gemuruh dan mencetuskan suasana penuh emosi serta penghargaan terhadap seni bahasa.

Majlis Hi-Tea PENAWAN 2025 membuktikan komitmen persatuan dalam menggerakkan aktiviti bercorak ilmiah, kreatif dan kebajikan bagi mengukuhkan hubungan sesama ahli serta memperkasa komuniti penulis dan pencinta bahasa.

Majlis berakhir kira-kira jam 4.30 petang.