oleh Maryam Abu Ahmad
DIA dipukul sehingga luka berdarah oleh bapa tirinya, sedang ibunya hanya sekadar melihat. Langsung tiada inisiatif menghentikan perbuatan kejam tersebut. Dia terseksa buat seketika sebelum bapa saudaranya campur tangan lalu membawanya pergi. Dia adalah mangsa keganasan rumahtangga akibat perceraian ibu bapa. Sadis sekali.
Sebagai masyarakat Malaysia, kita perlu memahami bahawa, menerusi kisah benar tersebut, keganasan rumah tangga merupakan perbuatan jenayah yang menghancurkan kehidupan. Pelaku keganasan itu telah merampas keadilan yang berhak dimiliki mangsa.
Pada Jun 1996, Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) akhirnya dilaksanakan setelah lebih satu dekad kempen dilakukan oleh gabungan wanita-wanita badan Non Government Organization/NGO, termasuk WAO, bersama dengan pihak kerajaan.
AKRT ini menjenayahkan keganasan rumah tangga, melindungi hak dan keselamatan pemandiri keganasan rumah tangga, dan memerlukan pihak polis dan mahkamah untuk mengambil tindakan atas pelaku. Walau bagaimanapun, selepas lebih 20 tahun, masih terdapat banyak perkara yang perlu diperbaik.
https://wao.org.my/wp-content/uploads/2018/08/Perspektif-Mengenai-Keganasan-Rumah-Tangga.pdf
Berbalik kes mangsa, penuh sedu dia bercerita kisah pilu hidupnya semasa kecil apabila saya bercakap tentang kesihatan mental. Saya terkejut. Kesukaran ini namanya trauma. Trauma ini telah memberi kesan seumur hidup kepadanya, walaupun kejadian tersebut telah berlaku 40 hingga 50 tahun lalu.
Saya bersyukur apabila diberitahu dia tidak jadi pendera apabila dewasa. Dia tidak mahu ahli keluarganya turut menderita sepertinya. Dia sedar dan amat memahami kesan akibat didera. Dia mampu mengurus emosi dalam keluarga.
Walau bagaimanapun, dia sukar mengelakkan diri daripada mengalami sorot balik (flashback). Apabila bersendirian dan suasana sunyi dia akan teringat peristiwa kejam tersebut. Ingatannya masih kuat tentang kronologi penderaan tersebut. Bunyi suara, rasa tidak selamat, kesakitan dipukul, suasana ketika itu dan sebagainya menguasai fikirannya. Selalunya dia murung, membeku (freeze) sehingga dia kembali berpijak di bumi dunia nyata.
Sukar saya untuk membayangkan derita mental mangsa sepanjang hidupnya. Namun begitu berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya cadangkan kepadanya supaya mendapatkan rawatan kaunseling sebagai sokongan krisis tersebut sekiranya keadaan semakin teruk.
Siri rawatan trauma melalui kaedah sorot balik boleh menyebabkan mangsa pengsan. Dari pengamatan secara kasar, dia sebenarnya tidak memerlukan ubat. Dia cuma perlu rawatan, bimbingan agar dapat meluahkan perasaan tentang kejadian tersebut dan dipandu untuk mengurus keadaan sorot balik. Dia juga sangat memerlukan sokongan daripada semua pihak.
Trauma ini sukar difahami orang sekeliling. Dia pernah cuba bercerita beberapa kali dengan orang yang terdekat dan sahabat rapat. Tetapi kisahnya dianggap biasa sahaja. Anggapan mereka itu hanyalah sebahagian pengalaman hidup sebagai manusia. Lebih malang lagi mereka memberi alasan hal tersebut sudah lama berlaku. Sudah jadi sejarah. Sukar bagi mangsa mendapatkan empati orang lain.
Luka perasaan akibat trauma ini terlalu dalam. Luka tersebut boleh berdarah pada bila-bila masa. Seorang mangsa biasanya sukar untuk membuka mulut dan bercerita. Reaksi penolakan tidak berada dalam senarai sebagai reaksi. Mangsa hanya mahu ditenangkan.
Kesan keganasan rumahtangga atas kesihatan mental individu adalah benar. Bagaimanakah dengan kesedaran dalam kalangan masyarakat? Saya berasakan kesedaran masyarakat berkenaan kesihatan mental mangsa keganasan dalam rumahtangga masih lagi rendah. Masih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat supaya terbuka dalam isu ini.
Pihak berwajib perlu berusaha untuk meningkatkan lagi dasar dan mengubah pemikiran masyarakat. Rakyat Malaysia perlu bangkit bersama-sama berganding bahu untuk mengubah kehidupan. Keberanian mangsa yang telah terselamat dari keganasan rumah tangga dan masih meneruskan kehidupan mereka perlu dibela dan dihargai.
Keganasan rumah tangga masih lagi dianggap sebagai suatu perkara peribadi keluarga. Stigma serta kurang pemahaman tentang keganasan rumah tangga menyebabkan ramai individu mengambil pendekatan yang pasif terhadap isu ini kerana percaya isu ini ‘bukan masalah mereka’. Namun sebenarnya, keganasan rumah tangga adalah masalah setiap orang.
Keganasan rumah tangga merupakan satu kesalahan yang serius. Isu ini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia yang serius. Saya berharap sebagai sebuah komuniti, kita boleh bersatu, bekerjasama untuk memberikan noktah kepada semua bentuk keganasan rumahtangga. Kita juga perlu gigih berusaha mewujudkan masyarakat di mana setiap individu memiliki empati yang tinggi agar semua orang dapat menikmati hak samarata
“Apabila anda rasa tertekan dan teraniaya dan perlukan bantuan dan perlindungan sila hubungi Rumah Teratai, Sebuah rumah perlindungan wanita teraniaya. Sila hubungi Pengurusnya, Puan Mariam Safiyyah 011 5769 5171. Untuk maklumat lanjut sila lawati Rumah Teratai di sesawang http://rumahteratai.com/teratai
More Stories
Belenggu
Retak Menanti Belah – Adakah Pandemik Punca Bertambahnya Perceraian di Malaysia?-
Keganasan Rumah Tangga: Kesan Psikologi Mangsa