November 21, 2024

Ketagihan gajet

[Kekeluargaan]

Dalam meniti arus moden yang serba canggih dengan kemajuan teknologi ini, ibu bapa millennium memilih untuk memudahkan anak-anak memiliki dan menggunakan gajet sehingga membawa kepada gejala ketagihan gajet. Amat membimbangkan apabila ada ibu bapa yang memilih gajet sebagai “pengasuh” kepada anak kecil agar tidak mengganggu kesibukan kerja mereka. Hal ini sebenarnya telah menidakkan hak anak-anak untuk mendapat sentuhan asuhan kasih sayang dan belaian kemanusiaan daripada ibu bapa. Tanpa disedari, perbuatan sedemikian seolah-olah menyerahkan anak-anak ke atas ribaan gajet. Lama kelamaan menjadi penyebab kepada minda dan jiwa yang ketagihan gajet dan akhirnya gajet dijadikan teman hidup, gajet dianggap rakan setia, dan gajet dirasakan penawar rindu.

Ketagihan gajet ini membawa kesan buruk kepada anak-anak dari pelbagai aspek.

Pertama: kesihatan; Ketagihan gajet menyebabkan anak-anak kurang bergerak dan boleh membawa kepada masalah kegemukan dan tekanan emosi. Selain itu, pendedahan terhadap radiasi yang dikeluarkan oleh gajet juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan diri yang menjejaskan sistem kekebalan tubuh dan otak. Bahkan cahaya yang berlebihan memberi kesan terhadap penglihatan. Hal tersebut melibatkan kerosakan saraf mata akibat pendedahan terhadap cahaya dari paparan skrin gajet. Dalam masa yang sama, hal tersebut juga boleh menyebabkan peningkatan kes rabun jauh (myopia).

Pada dasarnya, ketagihan gajet ini termasuk dalam perkara yang sia-sia. Dalam al-Quran, Allah telah menegaskan ciri-ciri orang yang berjaya, iaitu mereka yang meninggalkan perkara yang sia-sia. Dalam surah al-Mukminun, ayat 1-3, Allah SWT telah berfirman:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (1), iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya (2), Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia (3).

Dalam hadis Nabi SAW, baginda menegaskan tentang indikator kesempurnaan keislaman seseorang adalah dengan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

Sabda Rasulullah SAW: Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR al-Tirmizi)

Kedua: emosi; Anak-anak yang menghabiskan masa lebih dari dua jam di hadapan skrin, lebih cenderung mengalami masalah psikologi seperti diserang kemurungan, kegelisahan, hilang tumpuan pembelajaran, kurang perhatian dan terbatas kemampuan mengurus dan mengawal diri sendiri.

Ketiga: kekeluargaan; Ketagihan gajet juga boleh menjerumuskan diri dalam kebinasaan apabila keakraban dan hubungan kekeluargaan semakin renggang.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 195, Allah SWT berfirman: dan janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri. Dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Keempat: akhlak; Anak-kanak yang ketagihan gajet lebih menonjolkan sifat memberontak dan sukar dikawal. Sehubungan dengan itu, beberapa langkah perlu diambil seperti yang berikut:

Pertama: ibu bapa wajib memantau dan mengawasi agar anak-anak dilindungi daripada terlalu taksub, dan menghindarkan anak-anak daripada bersifat ketagihan gajet.

Kedua: Ibu bapa perlu menghadkan masa penggunaan gajet

Ketiga: Ibu bapa perlu menerangkan peranan sebenar penggunaan gajet untuk pembelajaran, pencarian maklumat, perhubungan, kecemasan, dan kandungan hiburan yang sihat.

Keempat: perhatian dan kecenderungan anak-anak perlu didedah dan dididik dengan aktiviti fizikal dan riadah di luar rumah untuk membantu perkembangan jasmani, intelek, emosi dan sosial.

Kelima: langkah pengawalan dengan menetapkan kata laluan agar anak-anak tidak boleh menggunakan gajet sewenang-wenangnya.

Kesimpulannya, pengawalan penggunaan gajet dalam kehidupan harian dapat menjalinkan kemesraan dan kasih sayang dalam keluarga. Penggunaan gajet secara tidak terkawal telah merampas sebahagian besar masa dalam kehidupan harian dan kemesraan berkeluarga. Masa anak-anak hendaklah dipenuhi dengan pendidikan ibu bapa melalui perbualan dan bercerita.

Sedarilah bahawa sikap anak-anak mencerminkan perlakuan ibu bapa. Sifat dan tabiat terzahir oleh anak-anak mencerminkan nisbah asuhan dan pendidikan yang diperoleh daripada kedua-dua orang tuanya. Alangkah ruginya nikmat masa bersama insan yang tersayang tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Sewajarnya, hargailah apa dan siapa yang berada di depan mata kerana peluang dan kesempatan tersebut tidak akan berulang. Kadangkala, ada orang yang ramah dalam dunia media sosial tetapi menjadi pendiam apabila berada berhadapan.

Keadaan ini jika dibiarkan akan menyebabkan suasana komunikasi menjadi hambar, ada pihak yang terasa hati, rasa tidak dipedulikan dan akhirnya hubungan kekeluargaan akan makin longgar dan terlerai.

Hasil nukilan:

NURUL ASMIDA BT SAAD