
Kenyataan Media
Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN)
Sempena Sambutan Hari Ibu 2025
“Sentuhan Kasih Ibu”
Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN) mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar IBU.
Tema hari ibu tahun 2025 “Sentuhan Kasih Ibu” memberi makna yang cukup signifikan kepada peranan ibu. Sudah tentu ibu adalah insan yang paling berpengaruh dalam kehidupan anak-anak.
Sentuhan kasih ibu begitu akrab dengan peranan ibu sebagai pendidik pertama dan model teladan yang mengesani jati diri anak-anak.
Ibu adalah individu terawal yang membentuk nilai, moral dan sikap anak-anak. Melalui dakapan, belaian, bimbingan serta sentuhan dan kasih sayang, anak-anak merasa selamat dan dihargai. Perasaan selamat ini mampu membantu perkembangan emosi dan intektual anak-anak secara sihat dan berterusan.
Ibu mengajar tentang disiplin dan tanggungjawab. Ibu mengenali bakat dan potensi. Menjadi keinginan hakiki para ibu mahukan anak-anak hidup dalam persekitaran yang kondusif serta peluang pendidikan yang sewajarnya.
Peranan ini tidaklah semudah ungkapan kata-kata dan bicara kerana halangan dan cabarannya bukan sedikit. Saban hari kita dipaparkan dengan kisah-kisah sedih dan menyayat hati bilamana tergamaknya seorang anak yang dikandung dan dilahirkan melakukan jenayah terhadap ibu. Namun dalam masa yang sama masyarakat turut dihidangkan dengan kisah-kisah tragis tentang pengabaian dan penderaan ibubapa terhadap anak-anak.
Asas sebuah Negara Rahmah adalah bermula dari rumah. Ibu adalah tonggak dan madrasah pertama yang memulai titik sebuah kehidupan. Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat adalah impian dan harapan setiap insan.
Sempena Sambutan hari Ibu 2025 dengan tema “Sentuhan kasih Ibu” yang senada dengan madah “Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa”, kita mengharapkan makna sebenar sentuhan kasih ini dapat diperluas dan dirasai oleh seluruh jiwa. Justeru itu PENAWAN ingin menyarankan dan mengajak semua pihak saling bahu membahu untuk;
1. Menyuburkan nilai murni dalam keluarga dengan menyedari bahawa anak adalah anugerah dan amanah yang wajib dihargai dan dididik sebaik mungkin melalui sentuhan kasih daripada ibu tanpa syarat.
2. Menghormati, menyayangi dan menyantuni ibu sepanjang hayat dengan menjalin ikatan dan sentuhan kasih anak yang tulus tanpa syarat. Sebagai anak, apa jua status kita dalam masyarakat, tidak pernah terangkat kewajiban sama ada anak lelaki atau perempuan menyantuni dan menjaga kedua ibubapa terutama yang telah lanjut usia melalui tingkah laku dan khidmat setulusnya dengan:
I. Berbuat baik: Anak-anak wajib bergaul dengan ibu sebaiknya. Dahulukan keperluan mereka selagi termampu tanpa mengabaikan hak isteri atau suami dan anak-anak.
II. Rendahkan diri, berlemah lembut dan gembirakan hati mereka.
III. Tunaikan hajat mereka dalam batas kemampuan kita tanpa berdolak dalik.
IV. Tegur mereka secara berhemah sekiranya mereka membuat kesilapan.
V. Semarakkan silaturahim dengan kawan-kawan ibu setelah ibu meninggal dunia.
VI. Kongsikan ilmu yang bermanfaat yang pernah ibu ajar kepada orang lain.
VII. Sedekah atas nama ibu sekiranya mampu.
VIII. Doakan ibu moga memperoleh keampunan dan rahmat Allah SWT.
Allah SWT mengingatkan kita tentang kedudukan ibubapa .
Firman Allah SWT.
وَوَصَّيْنَا الْاِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ اِحْسَانًا ۗحَمَلَتْهُ اُمُّهٗ كُرْهًا وَّوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۗوَحَمْلُهٗ وَفِصٰلُهٗ ثَلٰثُوْنَ شَهْرً
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula)…”
[QS al-Ahqaf 46:15]
Sebarang bentuk penderaan dan penganiayaan ibubapa melibatkan anak-anak mesti diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Semua pihak iaitu keluarga terdekat, jiran, masyarakat setempat, badan bukan kerajaan(NGO), pasukan keselamatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi kerajaan yang berkaitan perlu berganding bahu melindungi para ibu daripada sebarang bentuk pengabaian dan penderaan terutama kaum ibu warga emas.
Sesungguhnya “Sentuhan Kasih Ibu” yang sejati mampu melahirkan anak-anak yang sejahtera akalnya, teguh jiwanya, cergas fizikal dan cantik akhlaknya. Terbentuknya keluarga yang harmoni adalah nadi bagi pembinaan Masyarakat Madani demi tertegaknya Negara Rahmah.
Selagi nyawa dikandung badan, selagi waras akal fikiran, dendangkan keutamaan khidmat dan muliakan ibu.
Setiap hari adalah hari meraikan ibu!!!
PENAWAN mengucapkan selamat meraikan Hari ibu 2025.
Puan Hajah Mahayati binti Ibrahim
Pengerusi PENAWAN
monperatoto
More Stories
Kenyataan Media Hari Wanita
Bersama Untuk Tamatkan Keganasan Terhadap Wanita
Kenyataan Media PENAWAN sempena Hari Malaysia