November 21, 2024

Keganasan Rumah Tangga: Kesan Psikologi Mangsa

Pada 18 Mac 2020, hari pertama fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) telah mengumumkan bahwa Talian Kasih, satu saluran hotline bagi menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan, termasuk keganasan rumah tangga, tidak akan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Namun, 20 minit selepas pengumuman tersebut dibuat, ianya telah ditarik balik (https://twitter.com/KPWKM/status/1240180779075768326). Ini berikutan desakan berterusan diterima daripada warga maya yang prihatin yang mahukan Talian Kasih terus beroperasi sepanjang tempoh PKP. Malah pengumuman tersebut turut mendapat reaksi mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan bahwa dalam tempoh  PKP, talian ini dilihat sebagai satu khidmat asas bagi masyarakat yang sangat kritikal. Ini kerana, dijangkakan ramai yang akan hilang sumber pendapatan dalam tempoh PKP dan dalam situasi yang tertekan ini wanita dilihat sebagai kumpulan yang paling rentan (terdedah). Justeru itu, khidmat talian ini adalah satu keperluan yang mendesak ketika ini.

Talian ini amat penting kerana ia menyediakan perkhidmatan bagi orang awam mengajukan pertanyaan dan membuat laporan mengenai krisis masyarakat setempat. Antara laporan yang sering diterima di Talian Kasih adalah kes-kes keganasan rumah tangga. Syukur suara maya rakyat didengari pihak berwajib. Betapa rakyat Malaysia menyedari bahawa keganasan rumah tangga perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan ditangani dengan bijaksana.  Pada 16 April 2020, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Majlis Keselamatan Negara, mendedahkan sebanyak 135 panggilan diterima melalui Talian Kasih berkaitan keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP.

Keganasan rumah tangga sering menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa, tanpa menidakkan bahawa ada juga wanita sebagai pemangsa. Namun isu keganasan rumah tangga khususnya terhadap wanita merupakan masalah rentas budaya dan bangsa yang turut mendapat perhatian ekslusif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 1993, satu deklarasi dikeluarkan oleh PBB khusus bagi menghapuskan keganasan terhadap wanita (Declaration on the Elimination of Violence against Women Proclaimed by General Assembly resolution 48/104 of 20 December 1993).

Antara kandungan deklarasi tersebut ialah:

  • Mendefinisikan keganasan terhadap wanita sebagai “sebarang tindakan atau tingkah laku keganasan yang berdasarkan gender yang menyebabkan, atau berkemungkinan menyebabkan, bahaya atau penderitaan dari sudut fizikal, seksual atau psikologi kepada wanita, termasuk ancaman tindakan tertentu, paksaan atau sekatan kebebasan, samada berlaku dalam kehidupan awam atau persendirian.”
  • Mengenalpasti bahawa “keganasan terhadap wanita adalah satu daripada mekanisma sosial yang penting di mana wanita dipaksa berada di kedudukan lebih inferior berbanding lelaki.”
  • Meluaskan lagi definisi keganasan dengan memasukkan unsur bahaya fizikal dan psikologi yang berlaku ke atas wanita, termasuk tindakan di tempat umum atau peribadi.

Dengan ini Deklarasi ini menyifatkan keganasan terhadap wanita adalah menyeluruh, walaupun tidak hanya terbatas kepada 3 perkara iaitu: keganasan yang berlaku di dalam keluarga, di dalam masyarakat umum dan keganasan yang dilakukan atau diiktiraf oleh sesuatu negeri atau negara.

Keganasan yang berlaku di dalam rumah tangga tidak terhad kepada penderaan berbentuk fizikal semata. Menurut Puan Hjh. Azlina Roszy bt Mohamad Ghaffar, Konsultan Psikologi Klinikal, Klinik Psikologi Azlina, manifestasi keganasan pasangan atau ahli keluarga juga berlaku dalam bentuk penderaan seksual, psikologi dan ekonomi.

Penderaan didefinisikan sebagai perbuatan menyeksa atau menyakiti yang melibatkan hubungan dua pihak iaitu “pendera” dan “mangsa dera”, di mana ia  melibatkan penyalahgunaan sesuatu perkara atau salahlaku yang bermaksud kesalahan dalam menggunakan sesuatu atau kesalahan dalam memperlakukan sesuatu.

Penderaan Fizikal

Penderaan fizikal melibatkan perbuatan pendera menyakiti atau menyeksa tubuh badan mangsa dera dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsa. Contohnya menampar, memukul, memulas tangan / lengan, menikam, mencekik, membakar, menyebabkan tercekik, menyebabkan melecur, menendang, ugutan dengan menggunakan objek seperti senjata atau membunuh. Ini juga termasuk kesemua gerakan fizikal yang lengkap seperti menumbuk, menendang, menarik rambut, mencakar dan lain-lain yang menyebabkan kerosakan fizikal yang mencukupi untuk dirujuk ke hospital. Keganasan yang melampau boleh mengakibatkan kematian.

Selain itu, bentuk ugutan, baik secara lisan mahupun bertulis, untuk melakukan perlakuan fizikal juga dianggap sebagai penderaan fizikal. Penderaan fizikal dianggap berlaku walaupun tiada kesan lebam atau kerosakan fizikal pada mangsa. Ini juga termasuk amalan tradisi yang membahayakan seperti amalan berkhatan anak perempuan yang membuang hampir keseluruhan genitalia luaran (female genital mutilation – FGM) dan amalan mewarisi isteri, satu amalan budaya di mana selepas kematian suami, si isteri beserta hartanya akan diwarisi oleh salah seorang dari adik-beradik lelaki mendiang/arwah suaminya.

Penderaan Seksual

Penderaan seksual melibatkan sebarang bentuk hubungan seksual yang dipaksa ke atas mangsa oleh pendera. Ini adalah satu deraan untuk melakukan hubungan seks melalui ugutan, tindakan menakut-nakutkan atau paksaan fizikal di mana mangsa dipaksa merelakan perlakuan seks yang tidak dikehendakinya atau memaksa seks kepada orang lain. Contohnya pencabulan, sumbang mahram, rogol, sentuhan tidak wajar, gangguan seksual, liwat, memaksa ibu melihat anak perempuan dirogol, memaksa bapa merogol anak gadisnya atau suami memaksa isteri bersetubuh dengan lelaki lain.

Dalam hal ini, mangsa boleh jadi kanak-kanak, orang dewasa atau warga emas. Penderaan seksual juga biasanya diiringi oleh penderaan fizikal dan psikologi. Sebagai contoh, pedofil biasanya mengancam untuk mencederakan ahli keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa mereka sekiranya kanak-kanak itu memberitahu ahli keluarga tentang apa yang berlaku ke atas mereka. Terdapat kes yang membabitkan dadah yang sukar dikesan seperti Rohypnol yang mungkin diletakkan dalam minuman mangsa supaya mangsa khayal dan tidak mengingati peristiwa yang berlaku.

Penderaan Psikologi

Penderaan psikologi juga dikenali sebagai penderaan mental atau emosi. Penderaan ini berlaku apabila seseorang mengawal maklumat yang diperolehi oleh seseorang lain bertujuan untuk memanipulasi realitinya. Pendera menentukan apa yang boleh dipercayai atau tidak. Misalnya, seorang pedofil memberitahu kanak-kanak tersebut bahawa mangsalah yang menggoda pedofil tersebut untuk melakukan pencabulan ke atasnya. Pedofilia ialah individu dewasa yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak pra-baligh.

Penderaan psikologi mengandungi perkataan-perkataan dan perbuatan yang penuh emosi (emotionally manipulative content) yang sengaja direka bertujuan memaksa mangsa tunduk kepada tekanan pendera. Ini menyebabkan kecederaan emosi kepada mangsa. Ia berlaku apabila mangsa dipaksa menonton aksi seorang lain yang didera secara lisan, emosi, fizikal atau seksual.  Satu contoh yang tragis ialah bila seorang bapa tiri merogol anak tirinya dan dipersaksikan oleh ibu mangsa sendiri. Bukan sahaja anak gadis yang menjadi mangsa keganasan, malah ibu yang menyaksikan kezaliman ini melalui satu trauma hidup yang membawa kepada kemudaratan psikologi yang berpanjangan.

Ini termasuklah tingkah laku yang ditujukan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu, dan berlaku dalam bentuk; ancaman untuk meninggalkan atau mendera, mengurung di rumah, memerhati dan mengintip-intip gerak geri, ancaman untuk mengambil hak penjagaan anak, kemusnahan barang-barang, pengasingan dari orang lain, serangan lisan seperti sumpah seranah, caci maki, ugutan cerai dan menghina serta mengaibkan mangsa.

Penderaan lisan lazimnya menggunakan perkataan atau bahasa badan untuk mengkritik mangsa dengan tujuan merendah-rendahkan, melekeh-lekehkan, mengugut atau menghina. Tingkah laku sebegini adalah sesuatu yang sukar dikenalpasti atau dibuktikan. Hal ini boleh menyebabkan mangsa mengalami kegoncangan keyakinan diri, kehilangan harga diri dan berupaya menyebabkan mangsa mengalami kemurungan. Kesannya, mangsa dera merasakan diri mereka tidak berguna, tiada nilai dan tidak mustahil akhirnya menghukum diri sebagai tidak layak mendapat kebaikan yang ada dalam hidup.

Penderaan Ekonomi

Penderaan ekonomi lebih menjurus kepada tindakan pengabaian kewangan seperti menafikan hak, tidak memberi perbelanjaan yang wajar, enggan menyumbang dari segi kewangan, menafikan keperluan asasi seperti makanan, dan mengawal capaian mangsa ke atas penjagaan kesihatan, pekerjaan dan sebagainya. Pengabaian berlaku apabila seseorang gagal memenuhi keperluan asas mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya. Keperluan asasi adalah termasuk makanan, perlindungan, pakaian, kebersihan, kasih sayang, dan jagaan yang mencukupi secara wajar.

Pengabaian kanak-kanak dianggap berlaku apabila ibubapa atau penjaga yang bertanggungjawab gagal memenuhi hak asasi anak atau tidak menjaga kanak-kanak secukupnya. Ia mungkin berlaku disebabkan kemiskinan atau tekanan hidup tetapi masih tetap dianggap satu pengabaian. Atas kegagalan memenuhi hak mereka yang dibawah jagaan, pihak berkuasa boleh mengambil kanak-kanak tersebut dari ibu-bapa atau penjaga dan tanggungjawab penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang diabaikan ini diletakkan di bawah jagaan agensi kerajaan yang berwajib.  

Tanda-tanda Penderaan

Antara tanda-tanda penderaan adalah seperti berikut:

  • Kelihatan tanda-tanda kecederaan fizikal seperti lebam tubuh badan, bengkak, luka, terbakar, atau lebam mata.
  • Pemangsa atau mangsa memberikan alasan yang tidak munasabah atas kecederaan seperti terjatuh tangga.
  • Mangsa menunjukkan perubahan personaliti seperti mudah marah, murung, moody, defensive.
  • Mangsa sering menyendiri atau sentiasa dalam keadaan takut.
  • Mangsa menjadi murung dan lebih mudah tersinggung dari pola normal.
  • Mangsa sukar tidur malam atau mengalami keletihan yang melampau.
  • Mangsa mungkin mengalami perubahan berat badan mendadak kerana berlaku peningkatan atau penyusutan selera makan yang teruk.
  • Estim diri mangsa merudum kerana perasaan rasa rendah diri yang kronik lagi berlarutan.
  • Fokus mangsa mudah tersasar, sukar memberi tumpuan.
  • Mangsa mengabaikan penjagaan dan kebersihan diri (berbau busuk, tidak mandi atau tidak menyuci diri selepas menggunakan tandas).
  • Perubahan pada penampilan peribadi mangsa atau tempat tinggalnya kerana kehilangan motivasi untuk menghargai kehidupan.
  • Mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan (kebiasaannya kanak-kanak atau orang tua).
  • Sekiranya penderaan seksual berlaku terhadap kanak-kanak yang lebih dewasa atau orang dewasa, mangsa mungkin bertindak untuk mengambil reaksi ‘acting out’, menjadi hiperseksual, mengamalkan seks bebas, bertukar-tukar pasangan, mengambil dadah dan lain-lain.
  • Penderaan terhadap warga emas, mangsa mungkin mengalami kekeliruan.

Keganasan rumah tangga memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. Kesan-kesan ini ada yang tidak mendatangkan maut dan ada yang boleh membawa kepada maut.

Kesan yang tidak mendatangkan maut memberi kesan kepada fizikal dan kesihatan mental mangsa (Sumber: “Violence against Women”, WHO Consultation, 1996). Antara kesan fizikal ialah:

  • Kecederaan seperti patah atau luka organ dalaman
  • Kehamilan yang tidak dikehendaki
  • Masalah-masalah ginekologi
  • Penyakit kelamin termasuk HIV/AIDS
  • Pengguguran
  • Penyakit Pelvic Inflammatory Disease (PID)
  • Sakit pelvik kronik
  • Sakit kepala
  • Hilang keupayaan kekal
  • Asthma (lelah)
  • Penyakit Irritable bowel syndrome (IBS)
  • Tingkah laku cenderung mencederakan diri sendiri
  • Merokok, melakukan hubungan seks rambang

Manakala kesan terhadap kesihatan mental pula:

  • Kemurungan (depression)
  • Ketakutan
  • Kebimbangan yang melampau (anxiety)
  • Penghargaan kendiri yang rendah (self-esteem)
  • Disfungsi seksual
  • Masalah makan
  • Kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD)
  • Kecelaruan pasca trauma (PTSD)

Kedua-dua kategori ini, meskipun tidak membawa kepada maut, menjejaskan kualiti keseluruhan kehidupan mangsa.

Kesan keganasan atau penderaan yang boleh membawa kepada maut pula ialah:

  • Bunuh diri (suicide)
  • Membunuh ahli keluarga (homicide)
  • Kematian sewaktu melahirkan (maternal mortality)
  • HIV/AIDS

Selain itu, mangsa juga berhadapan dengan kesan jangka panjang. Kajian-kajian antarabangsa mendapati bahawa wanita yang pernah didera semasa kecilnya atau menyaksikan sendiri ibunya didera apabila dewasa kerap mengahwini lelaki yang mempunyai profil seorang pendera. Lelaki yang dibesarkan dalam keluarga di mana bapanya sering mendera besar kemungkinan akan turut menjadi seorang pendera dalam rumah tangganya kelak. Ini disebut sebagai teori modelling di mana pemikiran, perasaan, sikap dan tingkah laku pemangsa telah dibentuk oleh unsur-unsur dan peranan yang dimainkan oleh individu-individu yang signifikan dalam rangkaian sosial mereka, yakni individu-individu yang bersama mereka dalam persekitaran mereka membesar seperti ayah, ibu, dan ahli keluarga terdekat. Kesihatan mental pemangsa, seperti ayah atau ibu, yang terjejas, akan melahirkan tindak laku, sikap, serta pendekatan yang tidak sihat dalam membesarkan anak-anak mereka sendiri dan ini akan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan mental anak-anak tersebut.

Seorang pendera mempunyai profil tersendiri. Ciri-cirinya adalah seperti berikut:

  • Penghargaan kendiri (self-esteem) yang rendah
  • Cemburu yang keterlaluan dan sifat posesif yang melampau
  • ‘Dual personality’ – bertukar-tukar antara terlalu lemah lembut dan terlalu agresif 
  • Keupayaan daya-tindak yang rendah terhadap marah dan stres (poor coping strategy
  • Hayunan mood yang ekstrim  
  • Membesar dalam persekitaran rumah yang kerap berlaku penderaan dan keganasan
  • Kemahiran sosial yang lemah – tidak mempunyai ramai kawan
  • Kemahiran komunikasi sangat rendah
  • Dalam keadaan yang sering mengesyaki (suspicious) – sering membuat tuduhan melulu
  • Mengawal ahli keluarga dan rumah dengan cara paksaan
  • Percaya bahawa keganasan boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah atau untuk berseronok  
  • Terbabit dalam penyalahgunaan alkohol atau dadah
  • Sering menyalahkan, memperkecilkan, menghina, menakut-nakutkan, memalukan dan mengugut 
  • Boleh jadi seorang yang sangat berkarisma di khalayak umum

Walau bagaimanapun, beberapa fakta perlu diambil kira dalam isu keganasan rumah tangga ini. Antaranya;

  • Pendera tidak semestinya seorang lelaki
  • Seorang yang pernah didera semasa kecil tidak semestinya akan menjadi seorang pendera
  • Pendera sukar dikenalpasti. Ramai mangsa memberitahu bahawa mereka tidak pernah mengesyaki pasangan mereka adalah pendera sehinggalah apabila telah memasuki alam rumah tangga

Pendera tidak hanya mengakibatkan kesakitan fizikal. Pada hakikatnya, kesan psikologi adalah jauh lebih buruk dari kerosakan fizikal

Faktor yang mendorong kepada keganasan rumah tangga adalah seperti berikut (Heise, 1994):

  • Aspek sosiobudaya

Dari sudut aspek sosiobudaya, sosialisasi masyarakat yang mementingkan suatu gender sahaja. Ini membawa kepada definisi budaya mengenai peranan jantina dan jangkaan tentang peranan jantina di dalam hubungan lelaki perempuan. Aspek ini membentuk kepercayaan bahawa lelaki adalah secara semulajadi lebih superior dari wanita di mana nilai-nilai tradisi membenarkan lelaki ‘memiliki’ atau ‘mempusakai’ wanita. Ia memberi tanggapan bahawa unit keluarga adalah hakmilik lelaki secara mutlak dan di bawah kawalan lelaki sepenuhnya. Ada juga adat tradisi perkahwinan di mana wanita membayar mahar atau dowry kepada pihak lelaki untuk membolehkan mereka berkahwin.

Nilai-nilai sosiobudaya yang sebegini seolah-olah mengizinkan satu justifikasi keganasan boleh diterima umum sebagai satu cara menyelesaikan konflik yang berlaku dalam sebuah rumah tangga.

  • Aspek ekonomi

Dalam aspek ekonomi wanita sering menjadi mangsa atas faktor kebergantungan-penuh kepada lelaki atau suami sedangkan sumber tunai atau kredit pula terhad. Selain itu, mangsa lazimnya tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang mantap serta peluang latihan pasca sekolah yang terhad yang kemudian menyempitkan keupayaan mereka menyertai pasaran pekerjaan dalam sektor formal mahupun tidak formal. Status kewangan sering menjadi penyebab kepada kegagalan dalam mengurus emosi dan tingkah laku dalam kehidupan berumah tangga dan seterusnya memberi laluan kepada penderaan dan keganasan.

  • Aspek perundangan

Di samping itu, wanita juga berhadapan dengan diskriminasi undang-undang dalam aspek warisan, hak pemilikan, penggunaan tanah yang dikongsi, dan pemberian selepas berlakunya penceraian atau kematian. Status wanita yang rendah dari segi undang-undang samada secara bertulis atau amalan budaya menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada keganasan rumah tangga. Undang-undang mengenai penceraian, hak penjagaan anak, alimoni, dan hak mempusakai sering tidak memihak kepada wanita.  Kebanyakan wanita juga tidak mengetahui definisi undang-undang mengenai rogol dan penderaan domestik kerana tahap celik undang-undang yang rendah dalam kalangan mereka. Begitu juga layanan yang tidak mesra-gender atau tidak sensitif terhadap wanita oleh pihak polis dan pihak perundangan.

  • Aspek politik

Dari aspek politik, terdapat kurangnya suara wanita di dalam pemerintahan, politik, media, profesion perundangan dan perubatan bagi tujuan semak-dan-imbang dalam menjaga keselamatan dan kebajikan wanita. Aduan keganasan rumah tangga juga sering dipandang ringan kerana sterotaip bahawa keluarga adalah hak urusan peribadi dan di luar bidang kawalan negara. Isu ini turut berisiko mencabar status quo dan undang-undang agama. Ia juga kesan daripada kurangnya organisasi wanita sebagai kumpulan pendesak dan kurangnya penyertaan wanita dalam sistem politik negara.

Mangsa keganasan rumah tangga memerlukan bantuan yang tidak sedikit untuk keluar dari kemelut tersebut. Antara bantuan yang diperlukan ialah:

  • Menyediakan tempat perlindungan sementara
  • Mendapatkan kaunseling individu, sama ada melalui telefon, bersemuka,  atau e-mel
  • Merujuk kepada undang-undang yang melibatkan pihak polis, guaman, dan hospital
  • Mengurus pengangkutan ke hospital, balai polis, mahkamah dan lain-lain
  • Membuat rujukan kepada pakar kesihatan yang lain seperti pakar O&G, psikiatris, psikologis klinikal dan lain-lain
  • Memperkenalkan kumpulan sokongan sebagai tempat yang selamat untuk mangsa berbincang dan mendapat maklumat/pendidikan dan bantuan mengenai keganasan rumah tangga
  • Menyalurkan maklumat lain dan rujukan, misalnya peluang pekerjaan, latihan, perumahan, persekolahan anak-anak dan lain-lain.

Pandangan Islam Terhadap Keganasan Rumah tangga

Islam melarang keganasan dari berlaku dalam rumah tangga muslim seperti mana mafhum hadis Rasulullah s.a.w.: `

“Tidakkah kamu malu memukul isterimu sepertimana kamu memukul haiwan sedangkan kemudiannya kamu berkehendak kepadanya di malam hari?”

(Sahih Al-Bukhari, vol. 8, hadith 68).

Dalam satu hadis yang lain pula,

“Janganlah kamu pukul hamba-hamba Allah (kaum perempuan).”

  (Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Garis panduan kehidupan juga telah di firman Allah s.w.t:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Maksudnya:

“Kaum lelaki itu pengawal dan pemimpin kaum wanita kerana kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada sebahagian dari mereka (lelaki) melebihi sebahagian yang lain (wanita), juga kerana kaum lelaki membelanjakan harta mereka (untuk nafkah). Para isteri yang salih ialah para isteri yang ta’at, menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami dengan mematuhi perintah Allah yang memelihara mereka, dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu nasihati mereka dan (jika masih degil) pulaulah mereka di tempat tidur dan (jika masih degil) maka pukullah mereka. Kemudian jika mereka ta’at kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyulitkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Maha Besar.”

(An-Nisa’ 4:34)

Menurut tafsir Fi Zilalil Quran, karangan Ilmuwan Syed Qutb, Islam menyediakan beberapa mekanisma untuk mengatur institusi keluarga, mengawal-selia urusan-urusannya, melakukan pengagihan profesion dan menentukan kewajipan-kewajipan iaitu menjelaskan segala tindakan dan peraturan untuk mengendalikan urusan institusi yang penting ini. Lelaki sebagai pemimpin, kerana dia menanggung nafkah, bertanggungjawab membela dan melindungi institusi keluarga ini. Kepimpinan lelaki tidak menghilangkan hak wanita untuk memilih jodohnya dan hak wanita menentukan urusan dirinya dan menguruskan hartanya. Wanita pula sebagai pengurus rumah tangga haruslah taat di dalam menguruskan institusi keluarga, dalam konteks tidak melanggar syariat Allah.

Memukul adalah langkah terakhir jika isteri derhaka kepada suami dan melanggar perintah Allah. Memukul yang disebut dalam Islam adalah bagi tujuan mendidik atau bermaksudkan pencegahan, dan bukan bertujuan menghina, melepas geram, membalas dendam atau memaksa isteri menerima sesuatu yang tidak disukainya.

Peranan Kerajaan & Masyarakat

Dalam menangani isu keganasan rumah tangga, beberapa peranan perlu dimainkan oleh agensi-agensi kerajaan dan ahli masyarakat bagi membantu kedua-dua pihak, pendera dan mangsa dera keluar dari kemelut ini. Antaranya:

  • Mendidik masyarakat tentang fenomena keganasan rumah tangga
  • Mendidik wanita tentang hak-hak mereka di sisi agama dan perundangan negara
  • Menawarkan bantuan kepada pemangsa atau pendera
  • Mendengar penuh empati dan menyarankan mangsa membuat aduan kepada pihak yang berwajib
  • Latihan peka-gender kepada agensi-agensi kerajaan seperti polis, agensi guaman, agensi kesihatan, pejabat agama, pegawai mahkamah
  • Kempen pencegahan melalui semua capaian media yang sedia-ada.

Kesimpulannya, isu keganasan rumah tangga ini tidak akan berakhir tanpa kerjasama semua pihak. Adalah menjadi satu hak asasi seorang individu untuk menjalani kehidupan tanpa dibebani dengan perasaan ketakutan yang berlarutan yang mencengkam kebebasannya dan menghakis jatidirinya.  Perkara atau situasi yang menghalang seseorang dari dapat hidup sebagai manusia yang merdeka jiwanya mesti dibenteras seawal yang mungkin. Keganasan rumah tangga mesti dibendung dari terus membarah dan ia perlu diuruskan dengan kebijaksaan semua pihak bagi melindungi insan-insan malang dari terus berada dalam lingkaran jahat yang tak berpenghujung.

Diolah oleh Maryam Abu Ahmad

Berdasarkan ceramah Puan Hjh. Azlina Roszy bt Mohamad Ghaffar

“Jika ada insan insan yang teraniya dan perlukan Perlindungan wanita  yg teraniaya. Sila hubungi Pn Azlina Roszy (hp 012-3717270)/ Cik Mashitah Nabees (hp 013-711 1720) “