Pendahuluan
Stres? Anda pernah alami stres? Mengapakah ramai orang stres? Dewasa ini stres ialah satu perkataan yang mudah keluar daripada mulut orang dewasa, remaja malah kanak-kanak. Menurut Kamus Dewan stres ialah keadaan resah, cemas, tegang dan sebagainya akibat tekanan mental atau fizikal. Apakah puncanya? Punca stres boleh dilihat daripada dua dimensi iaitu pengaruh media sosial dan realiti kehidupan masa kini.
Punca Stres:Pengaruh Media Sosial
Pengaruh media sosial banyak menimbulkan stres yang asalnya tidak perlu wujud. Manusia kini suka ‘berkongsi’ segala-galanya dalam kehidupan mereka, di media sosial, hinggakan termasuk apa yang dimakan dan minum. Berapa ‘views’ (dilihat) dan ‘likes’ (disukai) menjadi neraca kejayaan yang biasanya palsu. Menjadi lumrah manusia juga suka melihat kepada apa yang mereka tidak punyai atau tidak dapat lakukan. Hal ini boleh menimbulkan rasa kurang puas hati dengan diri dan kehidupan mereka sendiri. Lama kelamaan hal tersebut boleh menimbulkan stres dalam diri seseorang.
Pepatah Ingeris ada menyatakan ‘you would not miss something that you do not know you are missing.’ Terjemahannya kurang lebih ‘anda tidak akan merasakan kehilangan sesuatu jika anda tidak tahu apa yang anda kehilangan.’ Dengan sebab itu kanak-kanak masih boleh bermain dengan gembira walaupun berada di kem pelarian atau kawasan setinggan yang serba kekurangan kerana mereka tidak rasai kehilangan.
Punca Stres:Realiti Hidup
Stres juga sering terjadi atas sebab-sebab realiti hidup. Ketika ini tidak mudah bagi ramai orang mendapat pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga. Jika ada pekerjaan pun mungkin tidak cukup untuk menyara diri apa lagi keluarga, dalam situasi ekonomi dunia yang semakin merudum ini. Kerajaan Madani cuba mengurangkan beban ini dengan memperkenal bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) 2023 melalui sistem MyKasih. Badan bukan kerajaan NGO juga banyak memainkan peranan membantu gelandangan dan yang miskin bandar sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
Hubungan Kekeluargaan
Hubungan kekeluargaan yang tidak baik juga antara punca yang menyebabkan stres. Bantuan dan sokongan keluarga besar tidak lagi menjadi budaya dan cara hidup masa kini. Terpaksalah si isteri, ibu atau anak sekalipun menghadapi apa-apa cabaran secara sendirian. Beban ini mungkin menjadi terlalu besar untuk dihadapi seorang diri dan akhirnya menimbulkan tekanan jiwa dan mental.
Kejayaan Akademik
Kita juga tidak dapat menafikan bahawa kejayaan akademik masih menjadi buruan ibu bapa dan sekolah, malah di peringkat kementerian pendidikan sendiri. Dalam pentaksiran SKIPS, Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta 2023 baru-baru ini, salah satu instrumen yang dinilai ialah peratus yang mendapat 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Untuk mendapat markah penuh 80 peratus calon SPM harus mendapat 8A keatas. Adalah mustahil sekolah harian yang mengambil pelajar dari pelbagai kebolehan dan IQ untuk mencapai keputusan setinggi itu dalam SPM. Tetapi sekolah harus berbuat sesuatu untuk ‘memperbaik prestasi nya. Tekanan ini tidak dapat tidak akan mempengaruhi pelajar-pelajar. Tekanan yang sedikit adalah baik untuk memotivasi seseorang untuk lebih berjaya tetapi bukanlah hingga menjadi beban yang tidak dapat dikawal.
Jika pendekatan holistik diambil, proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan memberi kejayaan jangka panjang insya-Allah. Pertama mengajar dan belajar untuk memahami dan mendalami ilmu, bukan semata- mata untuk peperiksaan. Kedua, murid haruslah disiapkan dengan kemahiran dan kompetensi khasnya untuk belajar dan umumnya untuk kehidupan sendiri. Ketiga, penekanan utama dalam pendidikan adalah akhlak yang baik, bukannya berapa ‘A’. Hal ini yang akan menentukan wujudnya masyarakat yang harmoni dan bagi orang Islam, kesudahan yang baik atau husnul khotimah dalam kehidupan individu. Jika ilmu mantap di dada dan disokong oleh pelbagai kemahiran dalam mengendali kehidupan, dihiasi sikap dan akhlak yang baik, pencapaian akademik yang baik akan menjadi natijahnya. Mungkin tidak semua orang akan dianugerah 8A tapi cukup baik untuk meneruskan pembelajaran seadanya dan berjaya inshaaAllah. Yang penting, murid guru dan ibu-bapa tidak stres dalam menemani anak-anak mengharungi alam pembelajaran formal ini.
Penyelesaian
Islam tidak menafikan wujudnya fenomena stres. Islam memberi panduan untuk menangani dan mengatasinya melalui sikap dan amalan yang baik. Indah sungguh sifat seorang Muslim. Apabila dikurniakan sesuatu yang disukainya dia bersyukur tetapi jika diuji dengan kesusahan dan kepayahan dia bersabar. Sifat sederhana sentiasa dianjurkan oleh Islam agar tidak terlalu gembira apabila senang tetapi sentiasa ingat dan bersyukur dengan anugerah daripada Allah SWT. Sebaliknya jika diuji dengan kepayahan kita harus menjadikan solat dan sabar sebagai perisai seperti berkali kali diulang dalam al-Quran. Contohnya ayat 45 surah al-Baqarah yang bermaksud ‘Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu’.
Yakinlah bahawa Allah SWT berkuasa atas segala suatu, kita hanya mampu berdoa dan berusaha. Pada saat genting waktu Abu Bakar RA dan Rasul SAW diburu kafir Quraisy ketika berhijrah ke Madinah dan sedang menyorok di dalam gua Thur yang kecil dan sempit, Abu Bakar RA berasa sangat takut. Rasul SAW bersabda kepada sahabatnya itu seperti yang tercatit dalam surah at-Taubah ayat 40: “…. Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita..”. Kita boleh bayangkan tahap stres Abu Bakar ketika itu tetapi Allah SWT menurunkan ketenangan atas mereka berdua.
Sudut Pandangan:
Laili Ismail
More Stories
Erti Sebuah Kemerdekaan
Anak adalah aset berharga, saham terbesar dunia akhirat
Mak Ayah Jangan Merendahkan Kuasa Pelukan Anak