September 16, 2024

Erti Sebuah Kemerdekaan

Kemerdekaan daripada perspektif pandangan umum merupakan peristiwa bersejarah yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka. Di hadiri dengan kemeriahan ribuan rakyat Malaysia ketika itu. Mereka semua telah menjadi saksi laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Bapa Kemerdekaan kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Putra Al-Haj.

Kemerdekaan daripada perspektif sebahagian generasi muda pula menganggap merdeka itu hanya bebas daripada cengkaman penjajahan. Bebas menghayatinya dengan sekadar melaungkan slogan Merdeka! Merdeka! Merdeka! serta mengibar Jalur Gemilang semata-mata. Ada juga yang memahami kemerdekaan itu perlu disambut dengan kemeriahan pertunjukan bunga api pada jam 12 tengah malam.

Sebenarnya, paling membimbangkan generasi muda pada masa kini telah diancam dengan ancaman halus oleh penjajah. Sedar ataupun tidak, pemikiran dan budaya asing penjajah telah merosakkan generasi sekarang malah telah meresap dalam kehidupan mereka. Pelbagai platform media sosial telah diguna oleh penjajah bagi merosakkan generasi muda.

Hal ini perlu diberi perhatian khusus daripada kalangan semua pihak agar generasi muda kita tidak terus hanyut dibadai ‘penjajah’ dengan mainan dan tipu daya mereka. Semua pihak terdiri daripada ibu bapa, badan berwajib, pihak swasta dan masyarakat amnya perlu mengawasi generasi muda dalam mengaplikasikan kecanggihan teknologi moden pada zaman sekarang.

Kemerdekaan daripada perspektif Islam merupakan satu rahmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada seluruh manusia tanpa membezakan agama, bangsa dan warna kulit. Rahmat Allah SWT ini diturunkan tidak hanya khusus kepada yang beragama Islam atau Melayu. Malah rahmat ini boleh dinikmati dan dirasai oleh semua lapisan masyarakat dan semua makhluk yang hidup di atas muka bumi ini. Islam melihat erti kemerdekaan itu sebagai bebas daripada sifat perhambaan, keterikatan, lepas daripada dikenakan tuntutan, tidak bergantung nasib kepada orang, bangsa atau negara lain.

Dalam erti yang lain kemerdekaan itu berbalik kepada kebebasan apa yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Kebebasan daripada hasutan hawa nafsu, kebebasan daripada hubbun atau cintakan dunia yang melampau sehingga mengenepikan akhirat, kebebasan daripada hasutan syaitan yang sentiasa mengajak kita kepada kemungkaran.

Justeru itu, marilah sama-sama kita memahami erti kemerdekaan yang sebenar iaitu memerdekakan diri kita daripada belenggu “penjajahan” dengan kembali memahami, menghayati dan mengamalkan Islam sebenar. Sentiasa berusaha supaya dapat membebaskan jiwa dan minda daripada kejahatan zahir dan batin. Mudah-mudahan segala usaha dalam memahami dan menghayati erti kemerdekaan menjadikan kehidupan kita mendapat keredaan daripada Allah SWT.

Dr Nurul Asmida Saad