November 21, 2024

Bengkel Hal Ehwal Penerbitan dan Hak Cipta Penulis

Pada 10 Ogos 2024, bersamaan hari Sabtu telah diadakan Bengkel Hal Ehwal Penerbitan dan Hak Cipta Penulis bertempat di Pusat Komuniti IKRAM Ampang Jaya anjuran Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN).

Kira-kira 16 orang peserta telah menyertai bengkel yang disampaikan oleh Encik Vasanthan Gopalan, seorang peguam merangkap Pengurus Firdaus Press Publication (FPP). Bengkel yang bermula pada jam 9.30 pagi bukan sahaja dihadiri oleh peserta dari Selangor, malah ada juga peserta yang datang dari Johor dengan menaiki bas ekspres.

Peserta bengkel mendapat maklumat dan ilmu baharu, yang harus diketahui oleh penulis atau bakal penulis berkaitan hak dan undang-undang yang bersangkutan pembukuan/penerbitan.

“Apabila sudah mengetahui serba sedikit mengenai hak cipta penulis, baru tahu rupanya satu ketika dahulu usaha kita pernah diambil kesempatan,” kata Umi Sawiyah Ahamad, salah seorang peserta bengkel.

Diharapkan perkongsian berkaitan hak dan undang-undang serta perkara yang berkaitan dengan penulisan dan penerbitan ini dapat dimanfaatkan oleh penulis pemula mahupun penulis mapan.

Bengkel telah berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.

PENAWAN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Vasanthan kerana sudi berkongsi ilmu mengenai penerbitan dan pembukuan. Juga, terima kasih kepada semua peserta yang hadir dan yang menjayakan program tersebut.